Dadah bernilai RM2.85 bilion dirampas dalam tempoh sembilan bulan - Utusan Malaysia

Dadah bernilai RM2.85 bilion dirampas dalam tempoh sembilan bulan

HUSSEIN OMAR KHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 167,601 kes dengan 186,257 tangkapan direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tempoh Januari hingga September tahun ini dalam usaha membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di seluruh negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan berkata, dalam tempoh sama, nilai rampasan dadah dan racun direkodkan sebanyak RM2.85 bilion berbanding RM1.98 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

Menurutnya, peningkatan sebanyak RM865.45 juta atau 43.63 peratus itu membuktikan tindakan penguatkuasaan terhadap kegiatan pengedaran dadah dan bahan terkawal.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Berdasarkan statistik dalam tempoh terbabit, Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 23,195 kes dengan 26,368 tangkapan, diikuti Kedah sebanyak 18,843 kes dengan 19,601 tangkapan dan Kelantan sebanyak 18,008 kes dengan 19,712 tangkapan.

“JSJN merekodkan 36,612.72 kilogram (kg) dadah dan 30,580.19 liter dadah berbentuk cecair bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.

“Nilai rampasan dadah dan racun direkodkan sebanyak RM2.85 bilion berbanding RM1.98 bilion bagi tempoh sama tahun lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, JSJN turut merekodkan rampasan bahan di bawah Akta Racun sebanyak 45,382.70 kg dan 106,092.56 liter sepanjang tempoh berkenaan.

“PDRM melalui JSJN terus mempergiat usaha membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di seluruh negara menerusi pelaksanaan operasi penguatkuasaan, tindakan risikan serta kerjasama strategik dengan pelbagai agensi penguatkuasaan.

“JSJN memandang serius ancaman kegiatan pengedaran dadah yang semakin mencabar, khususnya membabitkan rangkaian sindiket terancang, penggunaan pelbagai kaedah penyeludupan serta eksploitasi teknologi dan saluran komunikasi bagi menjalankan aktiviti jenayah,” katanya. 

Menurutnya, JSJN akan terus memperkukuh strategi penguatkuasaan melalui pendekatan lebih proaktif, bersepadu dan berasaskan risikan bagi memastikan setiap kegiatan pengedaran dadah dapat dikesan dan diambil tindakan sewajarnya.

Ujarnya, keutamaan turut diberikan kepada usaha memutuskan rangkaian bekalan dadah, mengekang aktiviti penyeludupan serta mengenal pasti individu dan kumpulan yang menjadi penggerak utama kegiatan pengedaran dadah di negara ini. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini