Perak sedia bantu Azeem, termasuk jika dia mahu ke luar negara

Perak sedia bantu Azeem, termasuk jika dia mahu ke luar negara

Azeem Fahmi
MUHAMMAD AZEEM FAHMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan Perak sedia membantu jaguh pecut remaja negara, Muhammad Azeem Fahmi, termasuk menambah elaun bagi memastikan prestasi atlet tersebut pada tahap terbaik.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed berkata, Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak diminta memperhalusi beberapa komitmen dengan atlet berusia 18 tahun itu.

“MSN Perak sudah diarahkan untuk memberi segala bentuk bantuan yang diperlukan oleh Azeem walaupun dia akan berlatih di luar negara atau belajar di luar negara, tetapi komitmen MSN dengan Azeem mesti diteruskan.

“Sebelum ini ada elaun, wajib untuk kita teruskan kalau perlu ada penambahan, kita akan pertimbangkan sebab kita nak Azeem berada bersama dengan kontinjen Perak,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Pertubuhan Usahawan Teknologi, Inovasi dan Kreativiti Kinta Perak (Putik), Program SIL dan Aplikasi Stopover di di sini hari ini.

Menurut Khairul Shahril, kerajaan negeri juga turut mencadangkan agar Azeem melanjutkan pengajian ke luar negara bagi mendapatkan pendedahan yang lebih baik.

 

KHAIRUL Shahril Mohamed (kiri) melakukan gimik pelancaran Putik, Program SIL dan Aplikasi Stopover di Ipoh hari ini. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

“Kerajaan negeri juga sedia berbincang dengan keluarga Azeem berkaitan bentuk komitmen yang diperlukan jika berhasrat ke luar negara,” katanya.

Sementara itu, Khairul Shahril menerima baik keputusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meluluskan permohonan kerajaan negeri untuk menaik taraf balapan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat, di sini yang menjadi pusat latihan kepada atlet-atlet olahraga negara.

Menurutnya, keputusan tersebut dilihat wajar kerana fasiliti sedia ada trek balapan yang tidak memenuhi piawaian akan memberi impak negatif kepada prestasi atlet.

“Pagi semalam, saya menghubungi Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkaitan dengan trek balapan di SMK Gunung Rapat.

“Sebenarnya kita sudah mohon lama untuk naik taraf trek itu dan menteri beritahu beliau sudah luluskan untuk menaiktaraf trek berkenaan,” katanya.

Khairul Shahril berkata, SMK Gunung Rapat merupakan sekolah kluster yang digunakan atlet untuk berlatih, sekali gus melahirkan jaguh sukan berprestasi tinggi.

Semalam, KBS sedang mempertimbangkan untuk menaiktaraf trek balapan SMK Gunung Rapat yang menjadi tempat pelari pecut negara itu berlatih sekaligus melahirkan lebih ramai atlet berbakat dan berpotensi dalam sukan olahraga.

Selasa lalu, Azeem mencipta sensasi apabila memecah rekod 100 meter (m) kebangsaan dengan catatan 10.09s, sekali gus memadam rekod milik Khairul Hafiz Jantan, 10.18s yang dicatatkan pada Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2016. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya