TERPAKSA memilih minat yang digemari atau pendidikan bukanlah satu keputusan mudah di kala khidmat dan bakatnya semakin digilap serta menjadi tunjang utama pasukan.
Berbelah bahagi antara saranan serta nasihat keluarga dan masa sama kekecewaan menyelubungi diri membuatkan individu bernama Zhafri Yahya antara pemain bola sepak yang bukan sahaja berjaya dalam pendidikan, malah minat sukan yang ditinggalkan seketika.
Menyertai kelab bola sepak Perbadanan Kemajuan Selangor (PKNS FC) bawah 21 tahun (B-21) dan pada masa sama menerima tawaran Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bukanlah mudah buat dirinya.

“Asalnya saya memang kecewa juga, masa itu boleh tahan gaji dengan PKNS FC, biasalah sudah dapat pegang duit dan dapat melakukan apa yang digemari (bola sepak).
“Pada masa sama juga ayah menyarankan agar memberikan tumpuan penuh melanjutkan pelajaran di peringkat IPTA dan tinggalkan bola sepak.
“PKNS FC ada juga memberi tawaran belajar saya tetap bermain dengan mereka tetapi setelah mengambil kira semua perkara, ayah menyarankan agar saya meneruskan pengajian di UiTM (Universiti Teknologi Mara), Seri Iskandar, Perak,” ceritanya kepada Mingguan Malaysia.
Tambah penjaring gol pertama Kuala Lumpur City (KL City) ketika menentang JDT dalam saingan Piala Malaysia musim lalu ini, tempoh pengajian selama tiga tahun berjaya ditamatkan dengan sempurna.
“Alhamdulillah saya menamatkan pengajian Diploma Ukur Bahan dan mungkin juga jodoh dalam sukan bola sepak saya diterima untuk bersama skuad Selangor B21.
“Sebenarnya semasa peperiksaan terakhir di UiTM Seri Iskandar, saya dirisik pengurusan Selangor B-21 untuk menjalani sesi latihan dan pemilihan.
“Bagaikan jodoh itu kuat selepas seminggu menjalani latihan saya dipilih menyertai Selangor B21 dan disitulah bermulanya karier bola sepak,” ujar anak bongsu daripada lima beradik.
Sedikit lari daripada adik-beradik lain yang menceburi bidang pembinaan, Zhafri bagaimanapun tetap mendapat sokongan padu dari dua abang dan kakaknya yang lain.

“Mereka (abang dan kakak) pada mulanya agak sangsi dengan keputusan saya untuk aktif dalam bola sepak selepas menamatkan pengajian.
“Pada masa itu semua abang dan kakak mahukan saya berkerja sebagai kakitangan kerajaan mahupun kerja yang mampu menjamin masa depan.
“Tetapi bila saya terangkan satu persatu apa yang diperoleh sebagai pemain bola sepak profesional mereka bersetuju dan memberikan sokongan padu,” katanya.
Berkongsi serba sedikit kemahuannya pada usia remaja, Zhafri memaklumkan dia adalah seorang yang pendiam dan tidak memiliki apa-apa hasrat ingin dicapai.

“Perjalanan karier bola sepak saya ini boleh dikatakan lancar, dipermudahkan, saya bermula dengan bermain di padang bola sepak Taman Meru Indah, Klang, Selangor.
“Bila bermain dengan mereka yang lebih senior, bakat saya dapat dilihat ketika berusia 18 tahun dan dari situlah saya diberikan sokongan agar menyertai sesi pemilihan.
“Kini impian saya pastinya ingin berjaya dalam kerjaya diceburi, memastikan pasukan diwakili sama ada Malaysia mahupun KL City meraih kejuaraan,” tegasnya yang sentiasa mesra dengan peminat mahupun rakan-rakan media lain.












