“Dari dulu, saya dikelilingi orang yang terbabit dengan rakyat termasuk arwah emak yang aktif membantu penduduk di Petrajaya,” ujar Datuk Seri Nancy Shukri.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) itu berkata, darah politik yang ada dalam dirinya banyak dipengaruhi oleh ibu bapa.
Ibunya, Bibi McPherson merupakan ketua wanita sekitar 1960-an dan aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak.
Malah, ibunya turut turun ke kampung-kampung untuk menerangkan dasar-dasar kerajaan seperti merancang keluarga.
“Saya pun selalu mengikut emak bila ada aktiviti memasak untuk askar. Masa itu saya kecil lagi, seronok tolong tarik keluar kual dan dari situlah, tumbuh minat untuk berkhidmat kepada masyarakat serta aktif dalam NGO,” katanya.
Manakala, arwah ayahnya, Shukri Majidi pernah bertanding parti bebas ketika pilihan raya Sarawak yang pertama pada 1973 tetapi tiada rezeki untuk menang.
“Ayah banyak bertukang di rumah dan mahir membuat bakul dan tikar. Malah, sering membantu orang mengarang surat-surat rasmi. Arwah meninggal dunia pada 1989 sebab penyakit jantung,” katanya.

Kerja dengan Ketua Menteri
Sewaktu memegang jawatan sebagai Pengerusi Sarawak Federation Of Women Institute, Nancy terbabit dalam pelbagai aktiviti termasuk penganjuran persidangan antarabangsa dan berjumpa Ketua Menteri ketika itu, Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud untuk berbincang mengenai badan NGO itu.
Ketika itulah beliau mendapat perkhabaran yang kepimpinan parti politik Sarawak mencari wanita untuk menjadi ahli politik.
Namun, beliau terkejut apabila Tun Abdul Taib Mahmud (ketika itu adalah Ketua Menteri Sarawak), bertanya kepadanya, bagaimana jika beliau dilantik sebagai setiausaha politiknya.
“Saya memang sering berurusan dengan Tun berkaitan aktiviti NGO dan tak sangka ditanya begitu dan hanya menjawab, terserah pada Tun sendiri.
“Pada Disember 2006, saya dapat panggilan untuk mengangkat sumpah jawatan berkenaan. Pada masa itu, saya tidak tahu sangat pasal politik sebab saya bukan orang parti, namun, saya suka membaca isu-isu politik,” katanya.
Sebelum dilantik sebagai setiausaha politik, Nancy merupakan Ketua Bahagian Undang-Undang di Dewan Bandaraya Kuching Utara.
Pada masa itu, Nancy turut mengusahakan sebuah kafe di Kuching tetapi terpaksa ditutup sebab tiada yang boleh menguruskannya.
“Masa mula bekerja di pejabat Ketua Menteri, saya risau bila Tun berpesan buat kerja yang terbaik kerana kepimpinan memerhatikan saya. Tapi saya tidak faham maksudnya itu,” katanya.










