Seronok bercuti, haiwan peliharaan jangan terabai

Seronok bercuti, haiwan peliharaan jangan terabai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Percutian bersama keluarga sememangnya menjadi waktu yang dinanti-nantikan, namun bagi pemilik haiwan peliharaan, keseronokan itu perlu disertai dengan tanggungjawab untuk memastikan haiwan kesayangan berada dalam keadaan selamat dan terjaga sepanjang ketiadaan di rumah.

Ramai beranggapan haiwan peliharaan mampu berdikari dan boleh ditinggalkan bersendirian selama beberapa hari tanpa sebarang masalah.

Hakikatnya, tanggapan itu tidak sepenuhnya tepat kerana haiwan peliharaan juga boleh mengalami tekanan emosi, kebimbangan dan kemurungan sekiranya keperluan asas serta interaksi dengan manusia diabaikan.

Doktor Perubatan Veterinar dan Pengurus Vetico Animal Clinic, Dr. Wafaa Abdul Washeff berkata, sebelum meninggalkan rumah, pemilik perlu membuat persediaan rapi bagi memastikan kebajikan dan keselamatan haiwan peliharaan terus terpelihara.

Menurutnya, perkara paling utama ialah memastikan bekalan makanan dan air minuman mencukupi serta disediakan dalam beberapa bekas yang berasingan sebagai langkah berjaga-jaga

“Pada masa sama, pastikan tiada ruang yang membolehkan haiwan peliharaan keluar dari rumah atau terperangkap di dalam bilik yang pintunya boleh tertutup dengan sendiri,” katanya kepada Seri.

Beliau berkata, pemilik juga perlu memastikan tiada bahan toksik, tumbuhan beracun atau sumber elektrik yang mudah dicapai oleh haiwan peliharaan bagi mengelakkan sebarang risiko sepanjang ketiadaan mereka.

Selain memenuhi keperluan asas, pemilik disarankan menyediakan permainan atau aktiviti seperti enrichment toys atau puzzle feeder supaya haiwan peliharaan mempunyai aktiviti sepanjang berada bersendirian di rumah.

Bagaimanapun, anak haiwan peliharaan yang masih menyusu atau berusia di bawah tiga bulan tidak wajar ditinggalkan tanpa penjagaan kerana memerlukan pemantauan yang lebih rapi dan berterusan.

Tempoh bergantung kepada karakter haiwan

Ramai beranggapan haiwan peliharaan mampu tinggal bersendirian selama beberapa hari, namun tempoh itu sebenarnya bergantung kepada karakter mereka.

Katanya, haiwan peliharaan yang sangat manja serta mempunyai ikatan rapat dengan pemilik lebih mudah mengalami tekanan emosi apabila ditinggalkan bersendirian, malah tempoh 24 jam sudah dianggap agak lama bagi sesetengah haiwan.

“Bagi rumah yang mempunyai dua atau lebih ekor haiwan peliharaan yang serasi dan tidak bergaduh sesama sendiri, tempoh tiga hingga empat hari mungkin masih boleh dipertimbangkan, bergantung kepada karakter masing-masing,” katanya.

Namun, pemilik tetap digalakkan mendapatkan bantuan pet sitter atau individu yang dipercayai untuk datang memeriksa keadaan haiwan peliharaan sekurang-kurangnya sekali sehari.

Ujarnya, kehadiran seseorang bukan sekadar untuk menambah makanan atau air minuman, malah penting bagi memberi interaksi supaya haiwan peliharaan tidak berasa sunyi atau tertekan.

Sediakan makanan dan kotak pasir secukupnya

Bagi memastikan keperluan asas haiwan peliharaan terus terjaga sepanjang ketiadaan pemilik, penyediaan makanan, air minuman dan kotak pasir tidak boleh dipandang ringan.

Dr. Wafaa berkata, makanan kering lebih sesuai ditinggalkan kerana tahan lebih lama berbanding makanan basah atau separa basah yang mudah rosak jika dibiarkan terlalu lama.

Beliau menyarankan makanan dan air minuman disediakan dalam beberapa bekas yang diletakkan di lokasi berbeza sebagai langkah keselamatan.

“Langkah ini penting sekiranya salah satu bekas terbalik, dimasuki serangga, tercemar akibat muntah atau berlaku perkara lain yang menyebabkan makanan dan air minuman tidak lagi sesuai digunakan. Dengan adanya bekas tambahan, haiwan peliharaan masih mempunyai sumber makanan dan minuman yang lain,” katanya.

Dari aspek kebersihan pula, pemilik perlu menyediakan jumlah kotak pasir yang mencukupi mengikut tempoh ketiadaan dan bilangan haiwan yang dipelihara.

Menurutnya, formula yang disarankan ialah menyediakan satu kotak pasir bagi setiap ekor haiwan, ditambah sebuah kotak pasir tambahan.

“Jika pemilik bercadang meninggalkan rumah lebih daripada dua hari, sebaiknya sediakan lebih banyak kotak pasir kerana ia akan lebih cepat penuh dan kotor. Kotak pasir yang bersih penting bagi memastikan keselesaan serta mengelakkan haiwan itu,” katanya.

Katanya, penggunaan alat pemberi makanan dan air automatik kini semakin popular dalam kalangan pemilik haiwan peliharaan.

Alat tersebut sememangnya membantu memastikan bekalan makanan dan minuman sentiasa tersedia.

Walaupun terdapat alat tersebut, pemilik tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada alat automatik.

Menurut Dr. Wafaa, terdapat beberapa langkah mudah yang boleh dilakukan bagi mengurangkan tekanan haiwan peliharaan ketika ditinggalkan bersendirian.

Antaranya ialah meninggalkan pakaian yang mempunyai bau pemilik, menggunakan produk berasaskan feromon yang bersifat menenangkan, menyediakan permainan interaktif serta memasang muzik pada tahap perlahan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN