Terbelit hutang bapa, rumah tangga hampir runtuh

Terbelit hutang bapa, rumah tangga hampir runtuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam perkahwinan kebahagiaan itu mudah untuk dikongsi. Namun ketika ujian datang, di situlah teruji siapa yang tetap memilih untuk bertahan.

Minggu ini saya kongsikan kisah Amran dan Shima (bukan nama sebenar), yang pernah diuji dengan satu beban yang tidak pernah mereka sangka. Pemergian bapa bukan sahaja meninggalkan kesedihan mendalam, tetapi turut meninggalkan hutang yang akhirnya menjadi ujian terbesar dalam perkahwinan mereka.

Hutang yang ditinggalkan hampir RM200,000 menjadi beban, sehingga hampir meruntuhkan rumah tangga yang baru dibina. Kisah ini diceritakan sendiri oleh Shima (bukan nama sebenar) dalam pertemuan yang diatur baru-baru ini.

Menurut Shima, tujuan kisah itu dikongsikan bukan untuk mengaibkan sesiapa, jauh sekali untuk membuka kelemahan atau kesilapan orang yang telah tiada. Sebaliknya, sebagai pengajaran  setiap keputusan yang dibuat hari ini boleh memberi kesan kepada orang yang kita sayangi pada masa hadapan.

Bercerita lanjut, kata Shima, selepas beberapa bulan melayari alam perkahwinan, suami diuji dengan pemergian bapa yang amat disayangi. Belum pun reda kesedihan, suami dikejutkan dengan kenyataan arwah bapa meninggalkan hutang dalam jumlah yang besar.

Tanpa pengetahuan keluarga, bapa berhutang dengan ceti haram untuk tujuan perniagaan. Sejak itu, kehidupan mereka berubah. Hampir setiap hari telefon bimbit suami mula menerima panggilan dan mesej berbau ugutan.

Ada yang menuntut bayaran, ada juga yang mengancam nyawa jika tidak dijelaskan.

Menurut Shima, keadaan itu memberi tekanan emosi yang sangat berat kepada suami.

“Tidur suami tidak lena, fikirannya kusut, sentiasa resah malah takut untuk menjawab sebarang panggilan daripada nombor tidak dikenali,” imbasnya.

Suami yang sebelum itu ceria dan penyayang berubah menjadi pendiam. Kadang-kadang termenung, sedih dan marah-marah tanpa sebab yang jelas. Dia melihat perubahan itu setiap hari.

Sepanjang tempoh itu, bukan sahaja suami yang menanggung tekanan, dia turut merasainya.

Menurut Shima, dia hidup dalam ketakutan, sentiasa bimbang akan gangguan dan ugutan daripada ceti haram yang tidak pernah berhenti.

Setiap kali terdengar bunyi kenderaan di luar rumah, dia akan menjenguk ke luar jendela.

Rumah yang sepatutnya menjadi tempat selamat dan membahagiakan, bertukar sebaliknya.

Dia juga berasakan ada seseorang yang memerhatikan sepanjang perjalanan dia pergi dan balik ke tempat kerja.

Konflik semakin memuncak apabila ceti haram mula datang ke rumah. Mereka menampal notis ugutan di pagar rumah.

Di tempat kerja, bukan sahaja suami, dia juga tidak dapat memberi tumpuan. Tekanan itu kata Shima mula memasuki hubungan mereka suami isteri. Sikap penyayang suami, berubah menjadi pendiam, mudah marah dan cepat tersinggung.

“Saya yang berasa perlu dilindungi, mula terluka. Ketika itu saya mula terfikir tentang perkahwinan kami. Jika saya tahu keluarga suami sedang berdepan masalah sebesar itu, mungkin saya akan berfikir panjang sebelum membuat keputusan berkahwin,” ujarnya.

Mereka mula bertengkar.Tambah Shima, yang paling menyedihkan, ketika ujian itu datang adik-beradik suami seakan-akan melepaskan tanggungjawab. Masing-masing mula saling menyalahkan antara satu sama lain dan akhirnya semua beban terpaksa dipikul suami seorang diri.

Daripada sebuah keluarga yang sebelum ini rapat dan harmoni, hubungan mereka mula renggang. Sehinggalah pada suatu malam kata Shima, buat pertama kalinya, dia melihat suami menangis dan hampir putus asa. Ketika itu kata Shima, hatinya benar-benar tersentuh.

“Saya sedar, selama ini saya hanya melihat masalah sendiri dan lupa orang yang paling menderita adalah suami. Sebagai isteri, saya sepatutnya sentiasa bersama-sama suami dalam apa juga situasi. Menjadi penenang dan bukan memburukkan lagi keadaan,” ujarnya.

Shima sedar, suami bukan sahaja kehilangan bapa, terpaksa menjaga ibu yang sedang bersedih, dan dia juga diburu hutang yang bukan miliknya. Menyambung cerita kata Shima, jika sebelum itu dia sering bertanya mengapa semua itu terjadi kepada mereka, tetapi mengubah pertanyaan sebaliknya.

“Saya bertanya kepada suami ketika itu, apa yang saya boleh bantu dan kami lakukan bersama untuk mengatasi masalah tersebut?,” ujarnya.

Menurut Shima, selepas mencapai kata sepakat, suami mengambil keputusan untuk membuat pinjaman bank bagi melangsaikan semua hutang ceti haram yang ditinggalkan arwah bapanya.

Sebagai isteri kata Shima, walaupun dia menyokong tindakan suami, di hati tetap risau.

Ini kerana mereka baru sahaja membina kehidupan, belum sempat mengumpul simpanan, kini suami terpaksa menanggung komitmen hutang yang akan mengikat bertahun-tahun lamanya.

Menurut Shima, hari hutang arwah bapa dilangsaikan, perasaannya bercampur baur. Gembira, lega dan sedih.

“Lega kerana hutang dengan ceti haram berjaya dilangsaikan dan berharap tiada lagi gangguan, tetapi pada masa sama sedih. Ini kerana kami terpaksa memulakan kehidupan berumahtangga dengan komitmen yang besar,” ujarnya.

Sambung Shima, pertengahan Julai ini genap 15 tahun usia perkahwinan mereka .

“Saya bersyukur, walau diuji sedemikian rupa, kami tetap bertahan. Allah masih izinkan kami untuk bersama. Kadang-kadang saya kasihan melihat suami bekerja keras sehingga ke hari ini.

“Ada kalanya mengambil kerja tambahan untuk memastikan keperluan keluarga dipenuhi dan komitmen dengan bank dapat ditunaikan,” ujar ibu kepada tiga orang anak berusia lima, 10 dan 13 tahun itu.

Selepas segala yang berlaku, dia sedar ujian Allah SWT itu bukan untuk memisahkan, tetapi menguatkan lagi hubungan yang dibina. Terdapat banyak ayat al-Quran yang menjadi rujukan tentang hubungan suami isteri yang perlu saling menjaga, melindungi dan menyokong antara satu sama lain.

Sebagaimana Firman Allah SWT, Mereka (isteri-isteri) adalah pakaian bagimu dan kamu pula adalah pakaian bagi mereka,”-(Surah Al-Baqarah 187).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN