KUCING merupakani haiwan yang tenang dan gemar berehat, malah tidak pelik jika mereka menghabiskan sebahagian besar masa dengan tidur.
Namun bagi pemilik yang peka, perubahan pada tahap tenaga si manja iaitu daripada lincah kepada pasif sering menimbulkan persoalan sama ada ia sekadar tabiat biasa atau isyarat awal kepada masalah kesihatan.
Dalam sesetengah keadaan, kucing yang kelihatan cepat letih dan semakin kurang aktif dianggap mengalami perubahan normal akibat faktor usia, cuaca panas atau rutin harian yang berubah.
Menurut pakar, kelesuan yang berpanjangan tidak seharusnya dipandang ringan, terutama apabila disertai perubahan selera makan dan tingkah laku.
Lebih mencabar, kucing mempunyai naluri semula jadi untuk menyembunyikan kesakitan. Sebagai haiwan pemangsa, mereka jarang menunjukkan diri dalam keadaan lemah, menjadikan tanda awal penyakit sukar dikesan oleh pemilik.
PETANDA KESIHATAN
Menurut doktor perubatan veterinar, Dr. Salehatul Khuzaimah Mohamad Ali, keletihan pada kucing berlaku apabila sistem badan tidak berfungsi secara optimum, sama ada dari segi penghantaran oksigen, metabolisme tenaga, atau fungsi organ utama.

Apabila satu daripada sistem ini terganggu, kucing akan menunjukkan tanda-tanda lesu dan kurang aktif, menghabiskan lebih banyak masa tidur walaupun pada waktu biasanya mereka aktif.
Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan tahap tenaga harian kucing, malah boleh memberi kesan kepada mood, selera makan, dan corak tidur mereka.
“Secara saintifik, keletihan berlaku apabila oksigen, tenaga atau fungsi organ tidak mencukupi. Antara punca kucing cepat letih termasuk anemia, penyakit jantung, masalah paru-paru, penyakit buah pinggang kronik, penyakit hati, diabetes serta jangkitan sistemik,” katanya kepada Seri.
Keletihan yang berpanjangan selalunya menjadi tanda awal penyakit dalaman dan bukannya simptom ringan.
Masalah kronik lain seperti osteoarthritis yang menyebabkan kesakitan pada sendi, serta penyakit gigi dan mulut yang sering terlepas pandang, juga boleh menyebabkan kucing mengurangkan pergerakan mereka.
Akibatnya, kucing lebih banyak berehat atau menyorok untuk mengurangkan kesakitan, sekaligus menyukarkan pemilik mengesan masalah sebenar.
DIET BERSESUAIAN
Pemakanan memainkan peranan sangat penting dalam mengekalkan tahap tenaga dan kesihatan kucing.
Salehatul Khuzaimah berkata, kekurangan protein berkualiti boleh menyebabkan kehilangan jisim otot, manakala kekurangan vitamin B kompleks, zat besi dan taurine boleh menjejaskan penghasilan tenaga di peringkat sel serta fungsi jantung, menjadikan kucing cepat penat dan kurang bertenaga.

Tekanan emosi dan perubahan persekitaran turut memberi kesan fisiologi yang nyata kepada kucing.
“Tekanan kronik menyebabkan hormon kortisol dirembes secara berpanjangan yang boleh melemahkan sistem imun, mengganggu kitaran tidur, mengurangkan pembentukan otot, serta meningkatkan penggunaan tenaga badan secara tidak normal,” katanya.
Keadaan ini akhirnya boleh membuatkan kucing kelihatan lesu, kurang bermain, hilang selera makan, lebih suka menyendiri, dan kadang-kadang menyorok di sudut rumah atau tempat tersembunyi untuk berasa lebih selamat.
CORAK SEMULA JADI, TINGKAH LAKU
Tidak semua kucing yang kelihatan kurang aktif berada dalam keadaan tidak sihat. Secara semula jadi, kucing merupakan haiwan ‘senjakala’ yang paling aktif pada waktu subuh dan senja, selari dengan naluri memburu mereka.
Doktor perubatan veterinar, Dr. Wafaa Abdul Washeff berkata, mata kucing disesuaikan untuk penglihatan optimum pada cahaya rendah. Selepas proses domestikasi dan hidup bersama manusia, kucing berkemungkinan menyesuaikan jam biologi mereka dengan rutin pemilik, tidur bersama waktu siang manusia.

“Pada waktu siang yang panas dan terang, kucing cenderung menghabiskan masa untuk berehat tanpa aktiviti fizikal,” katanya.
Namun, perubahan tingkah laku yang ketara, termasuk kelesuan berpanjangan dan kurang bermain, tidak boleh dianggap normal.
Katanya, faktor umur, tekanan, atau persekitaran baharu turut boleh mempengaruhi tahap tenaga kucing, manakala naluri mereka untuk menyorok ketika sakit membuat pemerhatian pemilik sangat penting bagi mengesan tanda awal penyakit.
PEMILIK PERLU PEKA
Pemilik memainkan peranan penting dalam memastikan kucing mengekalkan tenaga dan kesihatan yang baik.
Wafaa berkata, penyediaan makanan yang lengkap dan seimbang, air bersih yang cukup, serta aktiviti fizikal yang bersesuaian dengan peringkat umur kucing, membantu mengekalkan stamina dan kesejahteraan mereka.
Pemeriksaan kesihatan berkala oleh doktor veterinar, pemantauan berat badan dan otot, penjagaan gigi dan bulu, serta penyediaan persekitaran yang selamat dan bebas stres merupakan langkah penting untuk mengesan masalah kesihatan lebih awal.
Dengan pemantauan yang konsisten dan penjagaan yang betul, kucing boleh mengekalkan tahap tenaga, aktiviti, dan kualiti hidup yang baik walaupun mereka semakin meningkat usia.










