Hitam putih rahsia rumah kecil tampil luas

Hitam putih rahsia rumah kecil tampil luas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGI sesetengah orang, menghias rumah bersaiz sederhana atau kecil dengan tema hitam dan putih mungkin dianggap berisiko.

Namun, bagi Tuan Nadia Farhana Tuan Ghazali, 35, pilihan tersebut menjadi kekuatan utama yang menjadikan kediamannya tampak lebih luas, kemas dan selesa didiami.

Menurut Nadia, pemilihan tema hitam dan putih bukan dibuat secara kebetulan. Warna tersebut memang dekat di hati dia dan suami, selain menjadi penyelesaian paling sesuai untuk rumah jualan semula yang asalnya kelihatan agak kusam.

“Warna putih dipilih sebagai rona dominan kerana ia mampu memantulkan cahaya dan memberi ilusi ruang yang lebih lapang.

“Hitam pula digunakan sebagai elemen penyerlah supaya ruang tidak kelihatan kosong atau membosankan,” jelasnya.

Kata Nadia, sebaik sahaja elemen hitam dan putih mula disusun di dalam rumah, keyakinan mereka semakin kuat untuk meneruskan konsep tersebut secara konsisten di setiap ruang.

Perabot ringkas mesra ruang

Di ruang tamu, pasangan ini memilih sofa berbentuk L yang praktikal dan mesra tetamu. Rekaan tersebut bukan sahaja memudahkan pergerakan, malah sesuai untuk menerima kunjungan ahli keluarga dari kampung atau rakan-rakan walaupun ruang kediaman terhad.

Bagi mengelakkan suasana menjadi terlalu gelap, perabot berwarna kelabu cerah dipadankan dengan langsir dua tona bagi mengekalkan keseimbangan visual.

Elemen dekorasi pula kebanyakannya berwarna hitam, namun digunakan secara terkawal agar tidak membebankan ruang.

Walaupun warna putih sering dianggap sukar dijaga, Nadia memilih cat dan perabot yang mudah dibersihkan.

Katanya, dengan pemilihan jenis cat yang betul, dinding boleh dicuci dengan mudah walaupun mereka mempunyai anak kecil.

Imbangan warna dan pencahayaan

Menurut Nadia, penggunaan warna hitam perlu dikawal agar tidak membuatkan ruang kelihatan sempit dan gelap.

“Kami gunakan putih sebagai asas, kemudian hitam sebagai rona pelengkap. Selepas itu barulah disokong dengan cahaya semula jadi,” katanya.

Selain pencahayaan semula jadi, lampu di bahagian kabinet serta pemilihan kipas yang sesuai turut membantu mengawal pencahayaan dan suhu agar rumah tidak terasa panas.

Bagi menambahkan sentuhan eksklusif, Nadia menyelitkan perincian berwarna emas pada pemegang kabinet dan beberapa elemen kecil lain. Sentuhan ini menaikkan seri ruang tanpa kelihatan berlebihan.

Keseluruhan kediaman tersebut membuktikan rumah kecil bukan penghalang untuk tampil bergaya. Dengan perancangan teliti dan keserasian bersama pasangan, tema hitam dan putih boleh menjadi pilihan elegan yang selesa untuk didiami.

Berbelanja ikut keperluan, bukan nafsu

Menariknya, pasangan ini tidak menetapkan bajet hiasan rumah secara terlalu ketat. Sebaliknya, mereka mengamalkan perbelanjaan berperingkat mengikut keperluan tanpa menjejaskan perancangan kewangan keluarga.

Harga rumah yang dibeli pada nilai lebih rendah turut memberi ruang kepada mereka untuk berbelanja mengikut kemampuan. Barangan besar seperti kabinet dirancang lebih awal, manakala dekorasi kecil dibeli secara berperingkat mengikut kesesuaian bajet.

Sentuhan bunga segar

Bagi melengkapkan hiasan, Nadia turut memilih bunga segar sebagai elemen dekorasi kerana percaya ia mampu menghidupkan suasana dan menambah sentuhan semula jadi dalam rumah.

Bunga berwarna putih menjadi pilihan bagi mengekalkan keserasian dengan tema hitam dan putih. Ia diletakkan di beberapa sudut rumah termasuk dapur, sekali gus memberi kesan menenangkan kepada mata dan minda.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN