DI sebalik keluasan studio yang agak terhad, ruang kediaman milik Dahlia Natasya Muhamad Azlan membuktikan satu perkara iaitu kreativiti tidak pernah bergantung pada saiz.
Dengan susunan yang bijak serta sentuhan peribadi yang kuat, kediaman studio ini berjaya tampil sebagai ruang yang bukan sahaja menarik, malah penuh karakter.
Dahlia Natasya berkata, pemilihan tema eklektik yang ceria dan selesa menjadi kunci utama dalam menghidupkan suasana dalaman. Baginya, studio ini bukan sekadar cantik untuk dipandang, tetapi juga mampu membangkitkan emosi dan rasa gembira setiap kali melangkah masuk.

“Dengan keluasan yang terhad, setiap inci ruang dimanfaatkan sepenuhnya. Rak terbuka, kabinet penyimpanan, penyangkut dinding serta perabot bersaiz kompak dipilih dengan sangat teliti,” katanya kepada Seri.
Dengan keberanian bereksperimen, perancangan yang teliti serta sentuhan peribadi, sebuah studio kecil mampu berubah menjadi ruang yang memberi inspirasi dan menceriakan suasana.
Daya tarikan utama studio ini terserlah melalui warna-warna pastel dengan elemen retro, disempurnakan pula oleh koleksi peribadi yang memberi sentuhan unik dan penuh karakter.
Setiap sudut dan objek yang dipilih mempunyai peranan tersendiri, sekali gus menjadikan ruang kecil ini terasa hidup, hangat dan tidak pernah membosankan.

Menurut Dahlia Natasya, susunan dibuat secara kemas dan terancang supaya walaupun ruang dipenuhi warna serta hiasan, ia tidak kelihatan sempit atau serabut.
Katanya, proses menghias studio dilakukan secara berperingkat. Dengan anggaran perbelanjaan sekitar RM2,000 hingga RM4,000, transformasi dibuat sedikit demi sedikit tanpa memberi tekanan kewangan.
“Banyak penjimatan dibuat dengan mencari barangan unik secara atas talian dan memadankannya dengan perabot mampu milik. Dengan teknik susunan yang teliti dan gaya dekorasi yang sesuai, semua perabot asas di studio ini diberi nafas baharu,” katanya.
CABARAN MENGHIAS
Dahlia berkata, penggunaan pelbagai warna dan elemen hiasan yang tidak dikawal boleh membuatkan ruang kelihatan terlalu padat dan sesak.
Justeru itu, dia menitikberatkan supaya tidak menggunakan dekorasi yang bertindan dan boleh mengganggu keselesaan ruang.
Oleh itu, Dahlia menetapkan perancangan rapi sebagai kunci utama dalam memastikan setiap elemen yang dipilih saling melengkapi, sekali gus mengelakkan ruang kelihatan sesak dan tidak teratur.

Katanya, langkah tersebut dapat memastikan studionya kekal kemas, tersusun dan praktikal, sekaligus memberikan keselesaan maksimum untuk kegunaan harian.
“Pada masa yang sama, ia mampu mengekalkan identiti visual yang unik serta nilai kreativiti yang telah dirancang dengan teliti sejak awal.
Hal ini menjadikan ruang tersebut bukan sahaja serbaguna tetapi juga penuh inspirasi,” katanya.
Inspirasi reka bentuk bagi bahagian dapur kecil, bilik tidur dan ruang tamu mini diperolehnya daripada pelbagai sumber seperti Pinterest dan Instagram.
Elemen daripada dapur kecil hingga ke bilik tidur turut digabungkan secara harmoni, dengan penekanan pada penggunaan warna-warna ceria, fungsi yang praktikal serta sentuhan peribadi.
Gabungan inspirasi tersebut akhirnya membentuk sebuah studio yang bukan sahaja cantik malah selesa.










