Penerus legasi Dr Cardin

Penerus legasi Dr Cardin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEAWAL usia 12 tahun, jari-jemarinya ligat menyusun fail dan memasukkan data pekerja di syarikat milik bapanya.

Ketika rakan sebaya leka bermain di hujung minggu dan cuti persekolahan, Chong Charl Yee, 31, pula menekuni dunia kerja.

Itulah cara bapanya menanamkan nilai tanggungjawab dan disiplin dalam dirinya serta adik-beradik lain sebagai persediaan mewarisi jenama kasut ikonik negara, Dr Cardin.

Meskipun lahir dalam keluarga yang memiliki empayar perniagaan ternama, beliau tetap perlu menapak dari bawah.

“Ayah tidak pernah memanjakan anak-anak dan sejak kecil kami diajar berusaha untuk mencapai sesuatu.

“Dulu saya tidak faham kenapa perlu ‘bekerja’ lebih awal tetapi lama-kelamaan, saya sedar itulah cara ayah mengenal dan mengasah potensi, sambil membimbing kami ke dunia perniagaan,” katanya kepada Seri baru-baru ini.

Memasuki usia 15 tahun, skop kerjanya beralih kepada jurujual di butik-butik dan karnival jualan.

Dari situlah anak kedua daripada empat beradik ini mula belajar mengenai produk dan selok-belok berkomunikasi dengan pelanggan.

Sejurus tamat pengajian, lepasan University of Bristol ini menerajui subjenama Dr Cardin, Tomorrow Showtime.

Lapan tahun kemudian, khidmatnya ditagih di syarikat utama sebagai Ketua Pegawai Penjenamaan.

“Perancangan saya adalah untuk menimba pengalaman kerja di United Kingdom sebelum berkhidmat dengan ayah.

“Tetapi tidak kesampaian sebab ayah minta saya menguruskan jenama baru supaya syarikat boleh tersenarai di bursa saham.

“Dulu saya sangka tugasan ini mudah, hakikatnya ia mencabar dan tidak pernah berhenti,” katanya.

 

Selain beliau, tiga adik-beradik lain turut bertugas di syarikat sama tetapi dalam jabatan berbeza.

Di peringkat awal menjawat jawatan itu, Charl Yee tidak terlepas daripada stereotaip ‘anak bos’ lantas keupayaannya dipandang rendah.

“Di mata orang luar, golongan seperti saya sering dilabel beruntung kerana tidak perlu bersusah-payah mencari kerja mahupun mengikat perut seperti graduan lain.

“Sedangkan, saya juga menggalas amanah besar dan berat untuk memastikan legasi perniagaan ini terus kukuh di Malaysia.

“Contohnya di Tomorrow Showtime, saya terpaksa menguruskan semuanya sendiri daripada mencari bahan dan rekaan, menganjurkan acara hingga mencapai sasaran jualan kerana cuma ada dua pekerja sahaja,” katanya.

Antara transformasi besar yang dibawanya ialah penggunaan teknologi bagi memantapkan operasi syarikat yang sebelum ini manual.

“Kebanyakan pekerja ayah sudah berkhidmat puluhan tahun, jadi agak sukar untuk mengubah minda mereka.

“Tetapi saya tidak patah semangat dan akhirnya mereka boleh menerima idea orang muda,” katanya.

 

 

Bapa suri teladan
Jenama itu mula diasaskan datuknya pada 1989 sebagai pengeluar dan pengedar kasut lelaki berkualiti.

Apabila legasi diteruskan bapanya, bidang perniagaan beralih kepada peruncitan kerana faktor kos.

Walaupun hanya berkelulusan sekolah menengah, namun Charl Yee kagum dengan kejayaan bapanya mengembangkan Dr Cardin sehingga ke hari ini.

“Kerja kerasnya berbaloi apabila produk ini dapat dijual di lebih 150 gedung pakaian selain 20 butik, suatu ketika dahulu,” katanya.

Sebagai penyambung legasi, beliau berazam untuk mengukuhkan lagi perniagaan keluarganya yang berusia hampir empat dekad itu.

Kini, tumpuan perniagaan dirancakkan di platform e-dagang menerusi rekaan-rekaan kasut dan beg tangan moden serta segar bagi memenuhi citarasa generasi muda.

Sambutan yang diterima amat menggalakkan terutama dengan harganya yang berpatutan di samping keselesaan ditawarkan.

“Keutamaan adalah pada pasaran tempatan dahulu, kalau sudah kukuh barulah kami merancang untuk melebarkan sayap ke luar negara,” katanya

Keluarga besar, tinggal sebumbung
Menarik tentang Charl Yee ialah keluarganya tinggal sebumbung bersama empat daripada enam ibu saudaranya.

Malah, mereka merupakan ketua jabatan di syarikat.

“Justeru, setiap kali pulang, saya terpaksa mengelak bertembung dengan ibu saudara kerana segala hal-hal berbangkit di pejabat akan dibincangkan semula di rumah.

“Bagi mereka, rumah adalah pejabat kedua kerana sudah terbiasa bekerja 24 jam.

“Tetapi, untuk kami adik-beradik daripada generasi ketiga ini, keutamaan adalah kepada keseimbangan kerja dan kehidupan,” katanya tertawa.

Sepanjang sembilan tahun berkhidmat dengan bapanya, beliau tidak pernah mengambil cuti sakit jika tiada keperluan mendesak.

Muay thai
Di sebalik tubuh kecil molek, gadis ini sebenarnya aktif dalam muay thai.

Seni bela diri itu mula diceburi sejak dua tahun lalu bagi mengekalkan stamina dan kecergasan.

“Walaupun sakit dan lebam di sana sini, tetapi saya seronok bila dapat mencapai pergerakan tertentu,” katanya yang turut gemar menyanyi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN