Setiap sakit ada penawar– Tun Hasmah

Setiap sakit ada penawar – Tun Hasmah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ketika menemani suami tercinta dalam lawatan rasmi ke Filipina pada Mac 2019, tiba-tiba rasa sakit mencengkam payudara kirinya.

Kesakitan itu berlarutan selama empat hari, sehingga air mata Tun Dr. Hasmah Mohd. Ali, 99, menitis dalam diam dan malam-malamnya sukar untuk lena.

Namun, beliau memilih untuk tidak berkongsi dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad, yang ketika itu memikul amanah sebagai Perdana Menteri.

“Berkali-kali saya urut payudara tetapi sakitnya tidak juga hilang, lantas saya minta pembantu peribadi di Malaysia untuk mengatur janji temu dengan doktor.

“Setibanya di tanah air pada hari Jumaat, saya terus ke hospital menjalani pemeriksaan tanpa memberitahu suami,” katanya dalam perkongsian di Pusat Perubatan Prince Court baru-baru ini.

Tiga hari kemudian, segala persoalan terjawab apabila doktor mengesahkan beliau menghidap kanser payudara dengan ketumbuhan bersaiz 7 milimeter (mm).

Hasmah yang ketika itu berusia 93 tahun tidak terkejut, sebaliknya tenang dan reda dengan berita disampaikan doktor.

“Sebenarnya saya sudah menjangka ada sesuatu tidak kena dengan tubuh. Bukan kerana latar belakang saya dalam bidang perubatan, tetapi kerana kesakitan luar biasa yang mendorong saya untuk segera buat pemeriksaan.

“Bila doktor datang ke rumah membawa keputusan diagnosis, barulah suami dan anak-anak tahu tentang keadaan saya.

“Mulanya Tun M marah sebab saya rahsiakan sepanjang kami di Manila. Dalam masa sama, dia juga takut dengan kemungkinan lain,” jelasnya.

 

Kikis stigma malu, takut buat pemeriksaan
Kanser bukan sesuatu yang asing dalam keluarga Hasmah kerana dua kakaknya, Tan Sri Dr. Saleha dan Jamiah serta anak saudara turut meninggal dunia akibat penyakit sama.

Bagaimanapun, beliau bersyukur penyakit itu dikesan pada peringkat awal, membolehkannya menerima rawatan segera menggunakan kaedah radioterapi intrabedah (IORT).

Dengan gabungan IORT dan pengambilan ubat hormon selama lima tahun, negarawan ini kini bebas daripada kanser.

“Saya ada sejarah keluarga yang menghidap kanser, jadi memang saya sentiasa berjaga-jaga. Syukur Alhamdulillah, Allah masih panjangkan usia.

“Sebelum jatuh sakit, saya dijemput ke Prince Court untuk melancarkan teknologi IORT itu.

“Tak lama kemudian, takdir menentukan saya sendiri menjadi pesakit yang menjalani rawatan tersebut,” katanya mengimbas kembali detik itu.

Dengan pengalaman peribadinya, Hasmah menyeru wanita agar segera mendapatkan pemeriksaan jika terdapat tanda-tanda luar biasa pada tubuh.

Jelasnya, stigma takut atau malu untuk berjumpa doktor perlu dikikis demi menjaga kesihatan dan kesejahteraan diri.

“Saya faham ramai wanita baik yang muda mahupun sebaya, malu nak buat pemeriksaan sebab ia melibatkan bahagian tubuh yang sensitif.

“Ada juga yang takut menerima hakikat jika disahkan menghidap penyakit, tetapi takkan kita sanggup terus merana kesakitan dan tinggalkan suami, anak-anak serta cucu-cucu begitu sahaja?

“Tuhan turunkan penyakit, tetapi tuhan juga sediakan penawar. Jadi, kita mesti berikhtiar untuk berubat,” tegasnya.

Bagaimanapun, Hasmah mengingatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan rawatan alternatif yang tidak terbukti secara saintifik.

Langkah terbaik adalah dengan berjumpa dan mendapatkan nasihat pakar perubatan.

“Jangan percaya kepada bomoh atau bidan untuk merawat kanser,” katanya yang anggun berbaju kurung bunga rona merah jambu.

Selain itu, beliau menegaskan kepentingan pemeriksaan kesihatan berkala seperti mamogram, pap smear dan ujian Human Papillomavirus (HPV) bagi kaum hawa untuk pengesanan awal penyakit.

 

Main biola setiap hari
Di usia yang menjangkau seabad, Hasmah bersyukur kerana masih dikurniakan tubuh yang sihat dan minda tajam, sama seperti suaminya.

Beliau percaya, untuk kekal sihat, bukan sahaja tubuh perlu dijaga, tetapi minda juga mesti sentiasa aktif dan dirangsang.

Salah satu amalan harian yang dekat di hatinya ialah bermain biola dan piano.

“Aktiviti ini bukan sekadar hobi, malah dapat menenangkan dan menggembirakan fikiran.

“Saya mempunyai banyak lagu-lagu kegemaran antaranya, Mimpi Yang Tak Sudah dan Kuda Hitam.

“Malah, saya berbesar hati untuk mengajar warga emas lain bermain biola sebagai bukti yang usia bukan penghalang seseorang untuk mencuba perkara baharu,” katanya.

Hasmah juga gemar meluangkan masa dengan bermain kuiz ringan, sama ada secara bersendirian atau bersama rakan-rakan.

Contohnya, meneka nama negara dan apabila dilakukan berulang kali, ia membantu mengasah otak agar lebih tajam.

Selain itu, beliau dan suami aktif beriadah bersama-sama dengan berbasikal mengelilingi Tasik Putrajaya.

“Selain amalan-amalan tersebut, yang paling penting ialah menjaga pemakanan dan mendapatkan rehat yang mencukupi,” tambahnya.

 

 

Terlepas peluang jaga cucu

Sebagai isteri kepada bekas Perdana Menteri, kehidupan Hasmah sentiasa padat dengan tanggungjawab rasmi dan keperluan untuk mendampingi suami dalam pelbagai acara serta urusan negara.

Disebabkan itu, beliau tidak berkesempatan menikmati saat-saat manis membesarkan cucu seperti wanita seusianya.

“Saya terlepas peluang untuk bermanja dengan cucu kerana kebanyakannya belajar jauh di England. Bila tamat pengajian, masing-masing pula sibuk dengan kerjaya.

“Cuma seorang yang saya rapat iaitu Khadijah, anak kepada Mirzan.

“Waktu kecil, dia selalu tidur dengan saya, kadang-kadang, kakinya sampai ke kepala saya,” katanya tertawa.

Kini, Hasmah hanya berpeluang bertemu kesemua cucu dan cicitnya ketika perhimpunan keluarga.

Bagi mengubat rindu kepada telatah kanak-kanak, beliau menganggap anak-anak kecil pekerjanya seperti cucu sendiri.

“Sebab itulah dalam kereta dan di rumah saya ada banyak anak patung untuk mereka main,” katanya.

Sementara itu, menjelang ulang tahun kelahirannya pada 20 Julai ini, Hasmah mengakui tiada sebarang perancangan khusus untuk sambutan.

Kebiasaannya, beliau hanya menghabiskan masa di rumah sahaja.

“Saya tiada apa-apa rancangan, malah Tun M pun kata, tidak perlu buat demikian kerana takut yang dirancang tidak jadi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN