DAERAH Kulim, Kedah terkenal dengan kawasan perindustrian berteknologi tinggi sejak beberapa tahun lalu.
Namun, mungkin ramai yang tidak tahu kawasan ini juga sebenarnya terdapat banyak lokasi menarik untuk dilawati.
Daerah ini juga kaya dengan keindahan alam semula jadi, sesuai untuk mereka yang gemarkan suasana percutian yang tenang atau sekadar mahu healing.
Malah, bersempena Tahun Melawat Kedah 2025, daerah Kulim terus giat dan rancak menyajikan pelbagai aktiviti serta acara pelancongan untuk menarik pengunjung.
Daerah yang terletak di hujung sebelah barat Kedah dan bersempadan dengan Negeri Pulau Pinang ini menawarkan keunikan dan keindahan alam semula jadi terutama Taman Eco Rimba (TER).
Kulim juga terkenal dengan pelbagai jenis makanan yang menyajikan hidangan enak selain harga berpatutan yang menjadi satu lagi tarikan pelancong kerana ramai penduduknya terdiri dalam kalangan rakyat negeri lain yang berhijrah ke daerah ini untuk bekerja.
Rekreasi Sungai Sedim
Pertama, lokasi yang wajib dikunjungi adalah Rekreasi Sungai Sedim yang terletak di Mukim Sedim,kira-kira 30 kilometer (km) dari pusat bandar Kulim.
Kawasan ini yang menyajikan pemandangan cukup indah atau lokasi healing paling popular terutama bagi pengunjung yang meminati aktiviti sukan air dan perkelahan.
Pelbagai aktiviti disediakan seperti aktiviti kayak, bot getah, khemah.
Terdapat juga kemudahan lain seperti kawasan tapak perkhemahan dan chalet-chalet serta inap desa yang memberi peluang kepada pengunjung menikmati keindahan alam semula jadi secara lebih dekat.
Tarikan lain termasuk Tree Top Walk. Di sini terdapat titian kanopi sepanjang 950 meter dengan ketinggian 50 meter yang dahulunya dikenali sebagai titian terpanjang di dunia. Laluan Kanopi Sedim adalah titi gantung sepanjang 1.5km yang berada di kawasan Hutan Lipur Sedim terletak di kawasan kaki Gunung Inas yang cantik dan kaya dengan flora dan fauna.
Di samping merasai keseronokan menaiki titi gantung ini, pengunjung juga dapat menikmati keindahan alam semula jadi yang segar, hijau dan nyaman. Pengunjung juga boleh mengenal pasti setiap jenis pokok yang terdapat di Hutan Lipur ini kerana setiap bunga-bungaan telah dilabelkan.
REKREASI AIR PUTIH JUNJUNG

Lokasi ini tersenarai antara yang wajib dikunjungi jika berkesempatan ke Kulim.
Kawasan air terjun di Kampung Air Putih,Junjung ini menawarkan pemandangan yang cukup mendamaikan.
Pemandangan di sini pasti menambat hati pengunjung dengan suasana dikelilingi rimba nan hijau, kebun buah-buahan serta ladang getah yang terletak kira-kira 15km dari pusat bandar Kulim.
Kawasan ini sesuai untuk aktiviti perkelahan seisi keluarga kerana keadaan arus air sungai yang tidak terlalu kuat selain boleh dijadikan lokasi mandi-manda untuk merasai dingin air terjun yang menyegarkan di situ.
Kawasan Rekreasi Ulu Paip
Kawasan rekreasi Ulu Paip yang terletak di Karangan, merupakan kawasan perkelahan yang cukup sinonim dengan penduduk di sekitar daerah ini serta daerah berhampiran.
Lokasi ini juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti tandas dan dewan untuk orang ramai menjalankan altiviti riadah.
Malah, kawasan Ulu Paip ini amat sesuai untuk aktiviti keluarga berkelah serta mandi-manda kerana kedalaman sungai yang sederhana sesuai untuk kanak-kanak.
Lokasi ini juga menjadi tumpuan kaki pancing ikan air tawar jika memancing di kawasan hulu sungai yang banyak spesies ikan air tawar.
Ruza Agrotech

Terletak bersebelahan dengan Butterworth-Kulim Ekspresway (BKE) di Kampung Sungai Limau, Lunas, Ruza Agrotech merupakan tempat Agro Pelancongan yang mempunyai pelbagai aktiviti yang menarik terutama untuk kanak-kanak merasai aktiviti di air dengan harga tiket berpatutan.
Mempunyai kawasan yang luas dengan beberapa tema ia memberi pengalaman yang menarik untuk pengunjung mengambil gambar dengan suasana yang menarik.
Taman Burung Kulim
Taman Burung Kulim kini berwajah baharu dan merupakan tempat sesuai untuk keluarga.
Ia menawarkan tarikan mini zoo dengan harga tiket masuk berpatutan.
Kedudukannya di Jalan Tunku Bendahara di kawasan pusat bandar Kulim memudahkan orang ramai untuk mengunjunginya.
Pelbagai jenis spesies burung dan binatang yang dipamerkan di sini untuk memberi peluang pengunjung berinteraksi dengan haiwan-haiwan yang dipamerkan
Selain tempat pelancongan yang menarik daerah ini juga mempunyai lokasi kedai, gerai restoran makanan yang patut di kunjungi.
Lesung Padi Village

Lokasi di Kampung Syed Sheikh, Kelang Lama merupakan syurga makanan untuk sarapan pagi pengunjung dengan juadah pelbagai makanan melayu dan barat.
Antara menu menarik ialah nasi goreng ikan tumbuk dan lontong Kedah, nasi lemak bersama rendang daging, peknga dan banyak lagi.
Cendol Pak Din
Antara cendol di Kulim yang terkenal ialah Cendol Pak Din, terletak di kawasan Kampung Sungai Ular di simpang masuk ke Masjid Al Furqan Sungai Ular.
Sebelum ini , cendol ini berada di kawasan Taman Merak, namun kini berpindah ke lokasi baharu yang lebih selesa untuk pelanggan menikmati pelbagai menu cendol.
Nasi Ayam Periuk Besar
Nasi Ayam Periuk Besar (NAPB) bermula di Karangan Kulim dan kini sudah mempunyai dua cawangan iaitu di Kelang Lama,bangunan Mara Mall dan Lunas, Taman Mewah.
NAPB juga mempunyai cawangan di luar Kedah.
Antara menu yang wajib dicuba adalah nasi ayam madu dan nasi ayam bakar. Pilihan air juga pelbagai dan menyelerakan.
ABANG EE CAPATI
Terletak di Taman Cengal dan Jalan Lunas merupakan jenama restoran makanan yang sudah lama bertapak di Kulim.
Menu popularnya adalah capati dan roti arab.
Jangan lupa untuk mencuba dua menu ini jika berkesempatan berkunjung ke sini.
RESTORAN BUNGA KERTAS
Restoran ini terletak di Kampung Sungai Ular berhadapan Taman Merak yang menyajikan menu juadah makan tengah hari.
Bagi yang gemarkan masakan ala kampung dengan ulam-ulaman yang banyak, restoran ini antara yang wajib ada dalam senarai.
Pelbagai jenis masakan lauk-pauk,sayuran dan ikan bakar yang pastinya membuka selera ada di restoran ini.
Biasanya, pengunjung agak ramai ketika waktu makan tengah hari.-UTUSAN










