Membesar tanpa kasih bapa

Membesar tanpa kasih bapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAPA bukan sekadar pemimpin keluarga, tetapi merupakan figura penting dalam kehidupan anak-anak.

Selain berperanan sebagai pelindung, bapa juga menjadi pendidik dan contoh kepada anak-anak.

Minggu ini saya kongsikan kisah Nora (bukan nama sebenar) yang dibesarkan tanpa kehadiran seorang bapa dalam hidupnya.

Bapanya, Shamsudin (bukan nama sebenar) meninggalkan ibu ketika dia berusia tiga bulan, hanya kerana wanita lain.

Sejak itu Nora dibesarkan oleh ibunya sendirian. Kehidupan mereka dua beranak tidak mudah.

Ibunya, Khadijah (bukan nama sebenar) berusaha membesarkannya dengan cekal dan penuh air mata.

Siang malam ibunya bekerja untuk menampung kehidupan mereka dua beranak.

Di sebelah siang ibu bekerja di pusat asuhan di kawasan perumahan mereka, manakala pada sebelah malam bekerja di sebuah kedai makan.

Dalam kesibukan mencari rezeki, kasih sayang dan perhatian ibu kepadanya tidak pernah berkurangan.

Dalam pertemuan baru-baru ini, Nora mengakui tidak berniat untuk mengenang kisah lalu, apa lagi mahu mengaibkan darah daging sendiri, tetapi lebih kepada pengajaran buat lelaki yang bergelar suami dan bapa.

Sejak kecil dia berasa kekurangan dalam hidup kerana tidak mempunyai bapa seperti kawan-kawan lain.

Dia melihat kawan-kawan sekolah sentiasa ada bersama bapa mereka, sedangkan dia hanya bergantung kepada ibu yang sentiasa sibuk.

“Saya cuba bertanya ibu di mana ayah, namun ibu hanya membalas dengan senyuman dengan berkata ayah bekerja jauh.

“Bukan sekali dua, tetapi berkali-kali saya bertanya kepada ibu. Sehinggalah pada suatu hari ketika saya bertanya lagi, air mata ibu menitis menahan sebak dan memeluk saya. Sejak itu saya tidak lagi bertanya apa-apa berkaitan ayah,” ujar Nora memperlihatkan matanya berkaca.

Meniti dewasa, kehadiran ibu yang membesarkannya dengan penuh kasih sayang membuatkan dia semakin melupakan sosok tubuh seorang bapa.

Ibunya berperanan sebagai ibu dan bapa dalam satu masa.

“Saya diajar untuk berdikari oleh ibu dan menjadi cekal dalam apa juga keadaan,” ujarnya lagi.

Ketika di sekolah menengah kata Nora, mula timbul perasaan ingin tahu dalam dirinya. Dia mula memberontak dan rasa kekosongan.

Dia dahagakan kasih sayang, perhatian dan perlindungan daripada lelaki yang tidak pernah dimiliki sejak kecil.

Dia tidak tahu bagaimana rasa disayangi dan dilindungi oleh seorang bapa.

“Saya tidak mempunyai sesiapa yang boleh mengajar tentang dunia lelaki. Saya tidak tahu bagaimana seorang lelaki melayan wanita, begitu juga sebaliknya.

“Jauh disudut hati, saya sangat merindui kasih sayang seorang bapa yang tidak pernah dimiliki,” ujarnya.

Nora mula mencari perhatian di luar rumah ketika usianya 15 tahun.

Dia bergaul dengan kawan-kawan lelaki dan akhirnya jatuh cinta dengan seseorang yang jauh lebih tua daripadanya.

Lelaki itu berjaya mencuri hatinya. Nora berasa disayangi sehingga hampir terpedaya dengan sanggup menggadaikan maruah diri.

Sejak itu, Nora mula melihat lelaki sebagai manusia yang tidak boleh dipercayai.

Setiap kali menjalinkan hubungan dengan lelaki dia sekadar memasang niat untuk tidak serius.

“Kebencian terhadap lelaki semakin memuncak apabila mendapat tahu pada akhirnya, kenapa ibu sendirian membesarkan saya.

“Rupa-rupanya ayah curang dengan wanita lain dan meninggalkan ibu tanpa sebarang penjelasan,” ujarnya lagi.

Menurut Nora, dia hanya belajar setakat tingkatan Lima, walaupun keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diperoleh melayakkannya untuk menyambung pengajian .

Walaupun ibu agak kecewa, tetapi terpaksa akur dengan keputusannya untuk tidak meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Di usia 23 tahun, Nora semakin matang dalam melalui kehidupan. Dia bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta dan kehidupannya lebih stabil.

“Saya meminta ibu berhenti kerja. Sudah tiba masanya ibu berehat dan saya pula menjaganya. Saya mahu menggembirakan hati ibu selepas apa yang dilalui sepanjang hidupnya,” kata Nora lagi.

Sepanjang tempoh itu juga ramai lelaki mahu mendekati dan menjalinkan hubungan serius.

Namun, dia menolak dengan cari baik kerana masih sukar mempercayai lelaki .

Sehinggalah pada suatu hari, Nora bertemu dengan Anuar (bukan nama sebenar) yang berjaya mengubah 360 darjah hidupnya.

Berbeza dengan lelaki yang dikenali sebelum ini, Anuar tidak pernah mengambil kesempatan terhadap dirinya.

Nora yang pada awalnya sukar mempercayai niat baik lelaki itu, cuba menolaknya dan menganggap sama seperti lelaki-lelaki lain yang dikenali sebelum itu.

Ternyata Anuar tidak berputus asa untuk terus mendekatinya. Perlahan-lahan Nora diajar tentang kasih sayang dan kepercayaan.

Ketiadaan figura seorang bapa dalam hidup Nora ternyata telah membentuk dirinya menjadi seorang yang keras. Namun dalam masa sama sangat-sangat rapuh.

Jodoh Nora dan Anuar kuat, akhirnya mereka disatukan.

Melalui perkahwinan itu, Nora bukan sahaja menemui cinta sebenar seorang lelaki, tetapi juga ketenangan.

“Saya dan suami berjanji sekiranya mempunyai anak-anak, kami mahu membesarkan mereka dengan penuh kasih sayang.

Kisah Nora adalah contoh bagaimana ketiadaan sosok seorang bapa boleh memberi kesan negatif terhadap kehidupan seorang wanita.

Ini termasuk membentuk persepsi salah terhadap lelaki dan menyebabkan ketidakstabilan dalam hubungan lelaki dan wanita.

Sesungguhnya, dalam al-Quran banyak menceritakan tentang peranan suami dan bapa yang menjadi pemimpin kepada keluarganya.

Sebagaimana surah an-Nisa:34, “Kaum lelaki adalah pemimpin dan pegawai yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan , oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan..” – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×