Tahun baharu adalah momen yang tepat untuk seseorang menetapkan azam baharu sebagai langkah awal menuju perubahan lebih baik.
Demikian juga perkongsian kisah Aziela (bukan nama sebenar) pada minggu ini yang mana tahun baharu membawa peluang dan permulaan kehidupan lebih baik kepadanya.
Dengan penuh keazaman, dia berjaya keluar daripada perkahwinan toksik dan nekad memulakan kehidupan baharu.
Dia memilih untuk meninggalkan semua penderitaan sempena tahun baharu, setahun lalu.
Selepas bertahun-tahun hidup dalam ketakutan, dia kini menjalani kehidupan lebih tenang dan bermaruah.
“Apa yang saya lakukan untuk diri sendiri dan memikirkan masa depan anak-anak,” ujarnya dalam pertemuan bersama saya baru-baru ini.
Memulakan cerita, Aziela telah berkahwin selama 15 tahun dengan Shamsudin (bukan nama sebenar) yang dikenali semasa sama-sama menuntut di salah sebuah universiti di selatan tanah air.
Pada awal perkahwinan, hubungan mereka penuh kasih sayang dan saling hormat-menghormati.
Namun, memasuki usia dua tahun perkahwinan, sikap Shamsudin berubah dan sifat sebenarnya terserlah.
Shamsudin menjadi seorang yang dingin, cepat baran dan suka mencari kesalahannya.
Sejak kelahiran anak sulung mereka, Iman (bukan nama sebenar), Aziela terus bekerja sambil menguruskan anak dengan bantuan pengasuh.
Walaupun penat, Aziela bahagia kerana dapat memenuhi tanggungjawabnya sebagai ibu dan isteri.
Namun, keadaan berubah selepas dia melahirkan anak keduanya, Danish (bukan nama sebenar).
Shamsudin memintanya berhenti kerja dengan alasan untuk menjaga Iman dan Danish sepenuhnya.
Pada awalnya Aziela rasa keberatan, namun terpaksa akur.
Bekas suami berjanji untuk menanggung semua keperluan keluarga.
Setahun dua, rumah tangga mereka baik-baik sahaja.
Namun, lama-kelamaan bekas suami mula menggunakan kewangan untuk mengawal kehidupannya.
“Saya perlu meminta izin untuk setiap perbelanjaan, termasuk membeli keperluan rumah dan anak-anak.
“Jika saya melakukan sesuatu yang tidak disukainya, seperti melawat keluarga tanpa izin, saya dihukum tidak akan diberi wang belanja berminggu-minggu,” katanya.
Bahkan kata Aziela, bekas suami sering merendah-rendahkannya, dengan berkata jika dia tidak bekerja, semua akan mati kebuluran.
Ujar Aziela, dia mula berasa terperangkap. Dia tidak memiliki simpanan sendiri dan setiap keputusan kewangan berada di bawah kawalan Shamsudin.
“Bekas suami juga seorang yang manipulatif, sering menyalahkan saya atas semua masalah yang berlaku dalam rumah tangga.
“Setiap kali saya cuba bersuara, bekas suami mengugut akan meninggalkan saya tanpa apa-apa,” imbas Aziela.
Lebih menyakitkan, Aziela sering menjadi mangsa cemuhan dan hinaan Shamsudin.
Sepanjang tempoh membesarkan anak-anak, Aziela menahan sabar.
“Layan saya masa dia hendak sahaja. Cakap kasar, herdik saya depan kawan-kawannya.
“Dia ingat bila dia labur kami dengan harta benda, dia boleh buat apa sahaja.
“Siap ugut saya, kalau bercerai saya dan anak-anak akan hidup miskin merempat,” katanya.
Aziela membuat keputusan besar untuk menoktahkan hubungan mereka pada Januari tahun 2024.
Kesabarannya tamat apabila pada suatu hari bekas suami menyamakan diri dengan pelacur.
“Bagi saya, ia adalah penghinaan yang berat dan menjejaskan maruah dan emosi saya.
“Saya sedar jika saya terus bertahan dalam perkahwinan toksi itu, anak-anak akan membesar dengan trauma dan mungkin mewarisi corak hubungan yang tidak sihat,” katanya.
Langkah pertama yang dilakukan adalah mencari sokongan dan mendapatkan bantuan daripada keluarganya, yang selama ini tidak tahu penderitaan dilalui.
“Alhamdulilah, selepas menceritakan kepada adik-beradik, mereka memberikan sokongan moral dan tempat untuk berlindung,” ujarnya.
Aziela turut mendapatkan nasihat daripada pejabat agama dan pertubuhan yang memperjuangkan hak wanita.
Aziela memfailkan tuntutan perceraian dan menuntut hak penjagaan anak-anak.
Beserta sokongan keluarga, rakan dan pihak berkuasa, dia berjaya memulakan hidup baharu sebagai ibu tunggal.
Dia bekerja sepenuh masa dan belajar kemahiran baharu untuk memperbaiki kehidupannya.
Dia juga meluangkan lebih banyak masa dengan anak-anak dan mencari kebahagiaan melalui beberapa aktiviti.
“Kebahagiaan adalah hak masing-masing. Tiada siapa yang perlu bertahan dalam hubungan toksik yang hanya membawa penderitaan.
“Saya bangkit demi anak-anak. Persekitaran yang damai lebih baik untuk perkembangan mereka daripada terus tinggal dalam konflik yang tiada berkesudahan,” ujarnya.
Pengajaran daripada kisah rumah tangga Aziela boleh menjadi panduan kepada wanita dan lelaki di luar sana untuk memperbaiki hubungan atau mempersiapkan diri dalam kehidupan berumahtangga.
“Setiap individu berhak untuk hidup tenang dan bahagia.
“Saya tidak nafikan harta dan wang penting untuk kelangsungan hidup dan pengurusan nafkah, tetapi ia bukan segala-galanya.
“Nafkah kasih sayang, perhatian dan layanan baik kepada anak isteri juga mustahak,’’ ujarnya.
Keberanian Aziela untuk bertindak bukan sahaja menyelamatkan dirinya tetapi juga masa depan anak-anak.
Kata Aziela, walaupun perpisahan itu sukar, dia berjanji untuk tidak memandang ke belakang.
Dia mahu memulakan tahun baru 2025 ini dengan azam untuk membina hidup yang lebih tenang dan bahagia.
Aziela kini menjalani hidup yang lebih bermakna bersama anak-anaknya, sekali gus membuktikan bahawa keazaman untuk berubah mampu membawa kebahagiaan.
Selepas setahun berlalu, Aziela sangat-sangat bersyukur kerana hidupnya tidak lagi dibayangi ketakutan dan dia yakin mampu memberi masa hadapan lebih baik kepada anak-anak.
Dalam Islam, membahagiakan isteri adalah salah satu tugas penting bagi seorang suami.
Sebagaimana dalam ayat al-Quran yang memberi panduan bagi suami bagaimana dapat memenuhi hak, membuat bahagia dan memuliakan isteri.
“Mereka (isteri-isteri) mempunyai hak yang sedikit lebih banyak (daripada kewajibannya) .”( Al-Baqarah ayat 228). –UTUSAN










