Ratu kereta mewah, kumpul Porsche, Ferrari

Ratu kereta mewah kumpul Porsche, Ferrari, Lamborghini

ferrari
GENTING HIGHLANDS 19 MEI 2024 - Datuk Wenddi Anne Cheong, 61 pemilik kereta Ferrari pada Majlis Perhimpunan Terbesar Ferrari (The Malaysia Book of Records) di Resorts World Genting. / M Firdaus M Johari
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KIRA-KIRA 14 tahun lalu, Pengasas Bersama Thomson Hospital Kota Damansara ini pernah bergelar wanita Malaysia pertama memiliki Porsche 911 Turbo S.

Kereta mewah dari Jerman itu dibeli oleh Datuk Dr. Wenddi Anne Chong, 61, dengan harga RM1.4 juta.

Minat mendalam pada bidang automotif mendorong usahawan jelita ini berhabis hampir RM3 juta lagi.

Ia gara-gara mahu mendapatkan dua kereta idaman buatan Itali iaitu Lamborghini Gallardo yang bernilai kira-kira RM1.8 juta diikuti Ferrari 430 Spider (RM1 juta).

Kedua-duanya dimiliki selang setahun antara 2016 hingga 2017. Perkembangan itu sekali gus melayakkannya dinobatkan sebagai ratu kereta mewah dalam kalangan komuniti tersebut.

“Bila sudah ada dua kereta, kawan-kawan pula ‘cucuk’ dan minta saya lengkapkan koleksi dengan Ferrari.

“Kereta ditempah khas dari kilang di Maranello itu saya tunggu hampir setahun setengah untuk tiba ke pangkuan,” katanya kepada Seri ketika ditemui di Himpunan Ferrari Terbesar Malaysia di Genting Highlands baru-baru ini.

Beliau merupakan antara tiga pemandu ferrari wanita dalam acara anjuran Ferrari Owners’ Club Malaysia (FOCM).

Sebanyak 297 kereta mewah itu berhimpun pada acara berkenaan.

Wenddi Anne terjebak dalam hobi didominasi lelaki itu bukan untuk bermegah, sebaliknya untuk memperkasakan wanita.

Sebagai antara mangsa sindiran individu di sekeliling, beliau mahu membuktikan wanita juga boleh mengungguli apa jua bidang, setanding lelaki.

“Ketika itu, saya baru melalui episod perpisahan dan masyarakat seolah-olah memandang rendah kononnya saya tidak boleh berjaya tanpa suami di sisi.

“Akhirnya saya ambil keputusan beli kereta mewah dan menjadi satu-satunya wanita dalam kalangan komuniti pemilik yang terdiri daripada lelaki,” ujarnya.

Di awal penglibatannya, Wenddi Anne turut mempamerkan keberanian dengan berlumba dengan rakan-rakan lelaki di Sepang.

Duta Lamborghini pernah merekodkan kelajuan tertinggi 300 kilometer sejam (km/j).

Bagi memantapkan skil pemanduan beliau turut mengikuti kursus khas di Singapura.

Beliau turut aktif dalam aktiviti konvoi antaranya ke Bukit Fraser, utara tanah air di samping Phuket, Thailand.

“Kebanyakan pemandu lelaki ditemani pasangan atau teman mereka di sebelah tetapi saya pula berseorangan ketika itu.

“Apabila berhenti di stesen minyak, serba-serbi perlu dibuat sendiri termasuk mengisi petrol di samping bergegas ke tandas bagi memastikan tidak ketinggalan dalam konvoi,” katanya yang kini sudah kembali berumahtangga.

KOS JAGA, SELENGGARA 

Wenddi Anne menitikberatkan rutin penyelenggaraan kereta bagi mengekalkan prestasi mantap dan menjamin tahap keselamatan ketika memandu.

Lebih RM120,000 dibelanjakan setahun yang meliputi RM50,000 bagi Lamborghini manakala Ferrari (RM40,000) dan Porsche (RM30,000). Namun, semakin berusia sesebuah kereta, semakin tinggi perbelanjaan tersebut berikutan keperluan menukar bahagianbahagian tertentu yang uzur.

“Saya sangat mengambil berat aspek penyelenggaraan termasuk tayar, kerana kereta mudah terbalik dan kemalangan jika tidak seimbang .

“Walaupun ketiga-tiganya bukan kenderaan harian tetapi saya sentiasa pastikan ia digerakkan sekurang-kurangnya 11 kilometer setiap minggu seperti disarankan juruteknik di pusat servis,” katanya.

Prestasi baik itu membolehkan model Ferrarinya diiktiraf sebagai antara yang paling ‘terjaga’ di Malaysia, sekali gus menarik minat rakan-rakan untuk membeli.

Tetapi, tawaran itu ditolak oleh Wenddi Anne kerana belum berhasrat untuk melepaskan kenderaan tersebut buat masa.

Beliau masih mahu meneruskan hobi mewah itu, namun tidak akan menambah lagi koleksi disebabkan faktor usia.

“Saya percaya setiap orang ada musim-musim tertentu dalam hidup dan fasa saya kini adalah untuk menikmati pemanduan serta menjaga ketiga-tiganya.

“Bila makin berusia, jenama bukan lagi keutamaan. Kereta harian kegemaran saya sekarang adalah Proton Iriz dan Mini Cooper,” kongsinya.

Di sebalik fungsi dan rekaan yang memukau, beliau mengakui kereta mewah terlalu rendah hingga sukar untuk keluar dari kenderaan.

Situasi itu kini dihadapi suaminya kerana keadaan kaki yang tidak kuat dan perlu keluar dengan perlahan-lahan dengan mengikut teknik betul.

“Keluarkan satu kaki dahulu, kemudian pusingkan badan disusuli sebelah lagi kaki sebelum berdiri,” katanya yang diiktiraf sebagai Usahawan Berpengaruh Malaysia dan Personaliti Paling Bergaya.

Sekeluarga suka Ferrari

Bermula dengan minat suami mengumpul kereta mewah, sedikit sebanyak menyuntik rasa cinta seorang surirumah pada Ferrari.

Datin Norhazelim Che Hussin, 35, mula memandu kenderaan itu sejak 2013 lagi dengan model termahal dimiliki ialah 812 GTS yang berharga RM4.5 juta.

Bahkan, beliau dan suami, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin merupakan individu pertama di Malaysia memiliki kenderaan tersebut.

Ibu kepada tiga anak berusia antara tiga hingga 11 tahun ini tertarik dengan Ferrari kerana keunikan rekaan di samping warna klasik, merah yang menjadi identiti jenama itu.

“Pada peringkat awal pemanduan, memang agak mencabar tetapi bila sudah biasa, timbul rasa seronok sebab kelajuan dan keselesaan ditawarkan.

“Walaupun bawa laju melebihi 200 km/j tetapi kita tidak akan rasa sebarang gegaran,” katanya. Jika mengikuti konvoi, kereta dipandu oleh suami dan aktiviti itu turut disertai ipar, biras serta anak saudara menggunakan kereta masing-masing.

Jelas Norhazelim, minat pada kenderaan itu turut dikongsi adikberadik suaminya dan kesemua koleksi mereka ditempatkan di garaj sama di rumah.

Ada empat buah Ferrari dikumpul keluarga besar berkenaan termasuk 458 Italia, F8 Tributo serta 488 Pista Spider.

Ujarnya, dua buah lagi sudah ditempah iaitu model Purosangue dan Roma Spider yang dijangka tiba tahun depan.

Selain Ferrari, keluarga besar ini turut mengumpul Lamborghini dan motosikal mewah.

Cipta rekod MBOR

Presiden FOCM, Abu Rizal Bakri Sulaiman berkata, acara himpunan Ferrari terbesar dianjurkan dengan kerjasama Resorts World Genting baru-baru ini berjaya mencipta sejarah dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

Kali terakhir inisiatif itu diadakan pada 2020 dengan penyertaan 100 kereta, namun kini jumlahnya melonjak ke 297 buah.

Katanya, selain mengeratkan hubungan ahli, acara itu secara tidak langsung membolehkan orang ramai melihat secara dekat pelbagai model Ferrari.

“Walaupun kereta buatan Itali ini sinonim dengan merah, tetapi pengunjung berpeluang melihat warna-warna lain seperti hitam, kuning, biru, putih dan kelabu,” katanya.

Dalam perancangan masa depan kelab berkenaan merancang melawat kilang Ferrari di Itali di samping memperbanyakkan konvoi ke tempat-tempat menarik di sekitar Malaysia.

Antara aktiviti konvoi pernah diadakan adalah ke Desaru, Johor diikuti Pulau Penang dan Tanjung Jara, Terengganu.

FOCM ditubuhkan pada 2013, memiliki 180 ahli termasuk dalam kalangan generasi muda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×