Hidup mewah atas harta anak yatim - Utusan Malaysia

Hidup mewah atas harta anak yatim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kehilangan ketua keluarga tempat isteri dan anak-anak bergantung seharusnya diringankan dengan sifat ihsan waris terdekat.

Jika tiada waris keluarga terdekat, tanggungjawab itu diserahkan kepada ibunya dan ahli keluarga belah ibu anak-anak yatim.

Minggu ini saya kongsikan kisah Munira atau Moon (bukan nama sebenar) anak yatim yang menjadi mangsa ketamakan ibu saudara yang diamanahkan untuk memastikan kebajikan mereka.

Dalam kes Moon, disebabkan bapa tiada keluarga, maka urusan harta diserahkan kepada ibu saudara sebelah arwah ibunya.

Ibu saudara yang awalnya berjanji untuk menguruskan harta anak-anak saudara, rupanya mempunyai niat lain iaitu menggunakan harta peninggalan arwah untuk kegunaan peribadi.

Moon sangat terkilan kerana keadaan lebih buruk disebabkan campur tangan suami kepada ibu saudaranya itu, dalam setiap keputusan melibatkan mereka adik beradik .
Kata Moon dia tiada niat membuka aib sesiapa.

“Tujuan saya berkongsi cerita mahu beri pengajaran kepada semua bahawa soal memakan harta anak yatim bukan perkara main-main yang boleh diambil mudah,” tulisnya dalam emel kepada saya baru-baru ini.

Menceritakan kisah 10 tahun lalu, dia dan dua adiknya, Anuar dan Sarina sekelip mata menjadi yatim piatu.

Mereka tiga beradik kehilangan kedua ibu bapa sekali gus pada Syawal ke tiga akibat kemalangan jalan raya.

Semasa kedua ibu bapa mereka meninggal, Moon ketika itu berusia 15 tahun dan tinggal di asrama.

Dia kini berusia 25 tahun. Manakala Anuar dan Sarina, masing-masing berusia 23 dan 20 tahun.

Ketika ibu dan ayah meninggal dunia, adik-adik masih kecil.

Ibu saudara yang dipanggil Mak Lang bersetuju menjaga mereka adik beradik atas persetujuan suami yang yang ketika itu mengusahakan kedai runcit di kampung.

Arwah ibu Moon ialah kakak kandung Mak Lang. Mereka hanya dua beradik.

Bapanya pula anak tunggal dan tiada saudara mara lain.

Tulis Moon, walaupun tinggal dengan ibu saudara, layanan serta kasih sayang tidak sama dan jauh sekali daripada ibu ayah kandung.

Setiap kali Moon pulang bercuti dari asrama ada sahaja cerita yang tidak sedap didengar daripada adik-adik tentang Mak Lang dan Pak Lang serta anak-anak mereka.

Mak Lang mempunyai dua orang anak.

Usia mereka juga sebaya Anuar dan Sarina.

Moon sendiri tidak tahu kenapa layanan yang diberikan Mak Lang sekeluarga sangat berbeza.

Pada hal sebelum ibu bapa mereka meninggal dunia, hubungan kekeluargaan sangat akrab.

Anuar dan Sarina dikerah melakukan pelbagai kerja rumah. Setiap kali makan, mereka akan diasingkan dengan pelbagai alasan.

Mereka hanya berpeluang makan semeja dengan keluarga Mak Lang apabila Moon pulang dari asrama.

“Saya perhatikan sahaja tingkah laku Mak Lang sekeluarga. Tiada apa-apa yang mampu saya buat ketika itu.

“Namun setiap kali pulang, saya sering nasihatkan adik-adik agar mereka tekun belajar dan masuk ke asrama penuh seperti saya,” tulis Moon.

Berkat usaha dan doa, Anuar ditawarkan ke asrama penuh di Perak selepas tamat Darjah Enam.

Dua tahun selepas itu Sarina pula menyusul.

Dia dan adik-adik hanya pulang ke rumah Mak Lang paling kerap dua minggu sekali.

Moon berjaya menyambung pengajiannya ke menara gading.

Disebabkan keputusan cemerlang Moon dalam setiap peperiksaan, dia ditawarkan biasiswa dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Dengan biasiswa itu, Moon menggunakannya untuk membayar yuran dan perbelanjaan semasa di kampus.

Dalam keperitannya meneruskan kelangsungan hidup sebagai pelajar dari minggu, bulan dan tahun lain pula hal dengan kisah Mak Lang, suami dan anak-anaknya.

Kehidupan Mak Lang sekeluarga semakin berubah dan mewah.

Mak Lang sekeluarga telah berpindah ke rumah lebih besar dan selesa di pekan berhampiran.

Sehinggalah pada suatu hari, rahsia kemewahan Mak Lang sekeluarga terbongkar.

Semasa dia pulang ke kampung untuk menziarahi pusara ibu dan ayah, salah seorang kenalan arwah ibu memberitahu perkara sebenar.

Moon agak terkejut bahawa selama ini Mak Lang sekeluarga menggunakan wang dan harta tinggalan ibu bapa mereka.

Ini termasuk digunakan untuk mengembangkan perniagaan Pak Lang dalam bidang hartanah.

Untuk mendapatkan keshahihan, Moon cuba bertanya terus kepada Mak Lang, namun lain pula jadinya.

Mak Lang sekeluarga terus memusuhi Moon dan adik-beradiknya.

Hubungan mereka semakin dingin. Kedatangan mereka tiga beradik ke rumah Mak Lang tidak pernah dialu-alukan.

“Keadaan itu berterusan selama bertahun-tahun lamanya. Namun kami tetap menziarahi dan menghormati Mak Lang lebih-lebih dengan keadaannya yang sudah tiga tahun terlantar kerana serangan angin ahmar.

“Pak Lang pula kini dalam penjara kerana terlibat dalam isu rasuah,” tulis Moon dalam emelnya.

Tambah Moon, dia baru sahaja mendapat pekerjaan di salah sebuah syarikat perbankan di ibu negara selepas tamat pengajian, manakala adik-adiknya meneruskan pengajian di universiti tempatan.

Kisah Moon ini wajar dijadikan pengajaran kepada semua.

Setiap waris atau pentadbir harta khususnya bagi pihak anak-anak yatim hendaklah berusaha menunaikan tanggungjawab di bahu masing-masing.

Sesungguhnya, kebaikan yang dilakukan terhadap anak-anak yatim tidak sia-sia kerana akan mendapat balasan yang baik di dunia dan akhirat.

Sebagaimana salah satu Riwayat, Rasulullah SAW bersabda:

Barang siapa yang mengambil anak yatim dari kalangan Muslimin, dan memberinya makan dan minum, Allah akan memasukkannya ke dalam syurga, kecuali apabila ia berbuat dosa besar yang tidak terampuni. (HR.Tirmidzi).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×