Malaysia antara peneraju teratas pembayaran tanpa sentuh

Malaysia antara peneraju teratas pembayaran tanpa sentuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA kini berada dalam kelompok dua hingga tiga negara teratas di Asia Pasifik dari segi penggunaan pembayaran tanpa sentuh, didorong peningkatan infrastruktur pembayaran digital serta penerimaan meluas pengguna terhadap transaksi tanpa tunai.

Perkembangan itu turut dipacu penggunaan pembayaran mudah alih dan kad tanpa sentuh yang semakin meluas dalam urusan harian, sekali gus memperkukuh kedudukan negara sebagai antara pasaran pembayaran digital paling aktif di rantau ini.

Ketua Perkhidmatan Nilai Tambah Serantau bagi Asia Tenggara Visa, Varun Mahindru berkata, pembayaran tanpa sentuh memerlukan keseluruhan ekosistem pembayaran bergerak seiring, termasuk institusi kewangan, pengeluar kad dan peniaga.

Katanya, semua pihak perlu memastikan kad pembayaran dan terminal transaksi menyokong fungsi tanpa sentuh bagi mempercepatkan penggunaan teknologi itu secara lebih meluas.

“Jika dilihat di Asia Pasifik, Malaysia merupakan antara negara dengan kadar penembusan pembayaran tanpa sentuh tertinggi.

“Pembayaran tanpa sentuh direka untuk menjadi lebih mudah, lancar dan pantas kepada pengguna dan itulah masa depan pembayaran yang kami mahu fokuskan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Dalam masa sama, beliau berkata, teknologi tokenisasi rangkaian kini menjadi antara elemen penting dalam memperkukuh keselamatan pembayaran digital.

Menurutnya, teknologi itu membolehkan nombor kad 16 digit pengguna digantikan dengan token unik yang hanya boleh digunakan untuk transaksi tertentu, sekali gus mengurangkan risiko penyalahgunaan data sekiranya berlaku kebocoran maklumat.

Jelasnya, semua pembayaran mudah alih seperti Apple Pay, Google Pay dan Samsung Pay menggunakan tokenisasi rangkaian bagi memastikan nombor kad sebenar tidak disimpan dalam peranti pengguna.

“Telefon itu sendiri tidak pernah menyimpan nombor 16 digit peribadi pengguna. Ia hanya menyimpan token rangkaian yang direka untuk digunakan pada peranti tersebut sahaja.

“Jika token itu dicuri sekalipun, ia tidak boleh digunakan kerana terhad kepada penggunaan tertentu,” jelasnya.

Varun berkata, penggunaan tokenisasi meningkat dengan ketara sejak pandemik Covid-19 susulan lonjakan transaksi tanpa sentuh dan pembayaran digital.

“Jika dilihat kepada jumlah kad Visa di pasaran, kini terdapat tiga kali lebih banyak token kerana satu kad boleh mempunyai beberapa token yang digunakan di tempat berbeza,” ujarnya.

Dalam pada itu, Varun berkata, Asia Pasifik masih mencatat kadar penipuan transaksi kad harian yang rendah, namun trend penipuan kini semakin tertumpu kepada pembayaran masa nyata dan kod QR.

Katanya, perkembangan itu mendorong Visa meningkatkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan analitik tingkah laku bagi membantu institusi kewangan membezakan transaksi mencurigakan dan transaksi sah.

Menurutnya, teknologi seperti Featurespace dibangunkan untuk memahami corak tingkah laku pengguna, termasuk perubahan luar biasa seperti penambahan penerima bayaran baharu atau perubahan pada peranti pengguna.

“Penipuan hari ini boleh kelihatan seperti transaksi biasa. Tetapi apabila dilihat dalam konteks tingkah laku pengguna, sistem boleh mengenal pasti sesuatu yang tidak normal.

“Pada masa sama, kami juga mahu memastikan transaksi sebenar tidak disekat tanpa sebab,” katanya.

Beliau berkata, teknologi tokenisasi dan AI juga dijangka memainkan peranan penting dalam perkembangan perdagangan digital masa depan termasuk ‘agentic commerce’ iaitu penggunaan ejen pintar untuk membuat pembelian bagi pihak pengguna.

Tambahnya, semua perkembangan itu memerlukan infrastruktur pembayaran yang selamat dan fleksibel bagi memastikan keyakinan pengguna terus terpelihara dalam ekosistem pembayaran digital yang semakin berkembang.-UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN