Nang Ori, kopi dan teh lada hitam pertama dunia - Utusan Malaysia

Nang Ori, kopi dan teh lada hitam pertama dunia

NANG Ori merupakan produk keluaran usahawan Borneo.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERMULA dengan hanya menjual produk lada secara kecil-kecilan di Pasar Borneo Sri Kembangan, kini jenama produk tempatan negeri Sarawak yang kian dikenali iaitu Nang Ori berjaya mencipta kopi dan lada hitam pertama di dunia.

Pengasas Nang Ori, Awaeang Kwasin, idea untuk menghasilkan inovasi mengolah produk kopi dan berasaskan lada hitam tercetus apabila mendapati hasil tanaman lada boleh diperkembangkan lagi bukan sahaja untuk produk biji lada kering dan serbuk untuk kegunaan masakan.

Beliau berkata, modifikasi untuk menghasilkan kopi dan teh lada yang merupakan produk terbaharu Nang Ori, diyakini bakal mendapat sambutan meluas terutama bagi penggemar kafein.

“Justeru, kami ingin mengetengahkan khasiat lada hitam dalam produk minuman kami yang kaya dengan antioksidan dan mampu menghilangkan kerandangan serta bersifat anti bakteria tidak baik.

“Malah kandungan ‘piperine’ yang terdapat di lada hitam boleh membantu meneutralkan radikal bebas yang membahayakan tubuh dan mencegah dari terhasilnya sel-sel yang boleh menyebabkan kanser,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Usahawan berusia 47 tahun itu, menceritakan idea tercetus untuk menghasilkan produk minuman kaffein berasaskan lada apabila mendapati di kopi putih Ipoh cukup terkenal di Pulau Pinang dan Perak.

“Daripada situ, saya dengan kerjasama rakan serta agensi penyelidikan menghasilkan beberapa produk dengan menggunakan serbuk dan patu lada hitam untuk menghasilkan beberapa produk yang mudah dikomersialkan secara meluas,” katanya.

Antara produk inovasi terbaru minuman Nang Ori ialah Teh Susu Lada Hitam Dengan Kurma, Kopi Lada Hitam Bersama Tongkat Ali, Kopi Latte Lada Hitam Bersama Madu dan teh serbuk lada.

Selain boleh didapati di pasar raya besar di seluruh Malaysia, produk lada Nang Ori kini berjaya memasuki pasaraya besar Brunei, Singapura, Hong Kong dan China.

Dalam pada itu, katanya, Nang Ori kini dalam proses untuk memasuki pasaran Jepun.

“Walaupun untuk jualan berskala kecil namun kami menyasarkan untuk mengeskport secara kontena ke negara berkenaan,” jelasnya.

Justeru, kata beliau, Nang Ori akan sentiasa mengenalpasti peluang pasaran sedia ada dengan melakukan analisis secara mendalam dan dapat menentukan trend yang boleh dimanfaatkan bagi memperluaskan perniagaan itu,

“Kami akan sentiasa memastikan pembangunan produk baharu adalah berdasarkan analisis pasaran, dengan ini perniagaan ini mampu untuk menghasilkan beberapa variasi produk yang boleh menarik minat pelanggan dan dapat membezakan Nang Ori daripada pesaing,

“Seiring dengan visi kami iaitu menjadikan Nang Ori sebagai pilihan nombor satu produk lada di persada dunia kelak,” katanya.

Beliau berkata sebagai usahawan desa, kejayaan yang dicapainya pada hari ini diyakini bahawa ada terselit juga peluang rezeki kepada orang lain maka tercetusnya untuk mewujudkan beberapa ejen pemasaran Nang Ori.

Beliau menambah, pihaknya mengutamakan wanita dan suri rumah berpendapatan rendah untuk melakukan aktiviti jualan dan pemasaran secara dalam talian, yang mana setakat ini Nang Ori sudah mempunyai enam ribu lebih ejen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN