JAKARTA: Sebuah feri Indonesia yang membawa 243 penumpang dan anak kapal hilang komunikasi ketika belayar ke utara dalam cuaca buruk dari Jawa ke Borneo, kata pegawai penyelamat pada Ahad.
Kapal penumpang dan kargo Virgo Transport 8 bertolak dari Surabaya, Jawa Timur pada Sabtu sebelum berdepan cuaca buruk dan terputus hubungan dengan syarikat perkapalannya awal Ahad.
“Kami menerima laporan mengenai kehilangan komunikasi dengan kapal Virgo Transport 8 dan segera mengerahkan anggota selain (kapal) KN SAR Laksmana 241 ke lokasi terakhir yang diketahui,” kata Ketua Pejabat Pencarian serta Pertolongan Banjarmasin, I Putu Sudayana.
“Memandangkan jumlah penumpang dan anak kapal yang agak ramai, kami mengoptimumkan penyelarasan dengan semua pihak berkaitan bagi mempercepatkan proses pencarian serta memastikan keselamatan semua penumpang termasuk anak kapal,” tambahnya.
Operasi mencari dan menyelamat dilancarkan pada pagi Ahad, membabitkan tentera laut, polis dan syarikat perkapalan Virgo.
Kedudukan terakhir kapal itu dikesan di perairan Laut Jawa, kira-kira 150 kilometer dari destinasi, iaitu jeti Banjarmasin, kata Sudayana.
Kemalangan laut kerap berlaku di Indonesia, sebuah negara kepulauan yang mempunyai lebih 17,000 pulau dan sangat bergantung kepada pengangkutan bot untuk pergerakan harian serta sektor pelancongan.
Standard keselamatan yang longgar dan keadaan cuaca yang sukar diramal menjadi antara punca utama kejadian berkenaan.
Pada Isnin, sebuah bot laju yang membawa lapan orang, termasuk lima wartawan yang bekerja untuk agensi berita tempatan dan antarabangsa, hilang berhampiran gunung berapi Anak Krakatau di wilayah Banten manakala operasi mencari masih dijalankan.
Wartawan berkenaan dihantar untuk membuat liputan mengenai letusan gunung berapi itu yang menyebabkan lapangan terbang utama Jakarta dan beberapa lapangan terbang lain lumpuh.
Bulan lalu, kebakaran di atas sebuah feri mengorbankan seorang dan menyebabkan lima lagi hilang, manakala 211 orang diselamatkan di Selat Lombok, berhampiran pulau Bali, Indonesia.
Feri itu dalam perjalanan dari Bali ke Lombok ketika mengalami masalah pada awal pagi 12 Ogos.
Pada Julai, sebuah feri yang membawa lebih 70 orang karam ketika belayar berhampiran Selayar, sebuah pulau kecil di selatan Sulawesi. – AFP










