Feri tersangkut pukat nelayan terkandas di Kuala Perlis

Feri tersangkut pukat nelayan terkandas di Kuala Perlis

FERI Express Bahagia 98 yang tersangkut pada pukat nelayan sedang dibantu sebuah lagi feri milik Konsortium Langkawi Ferry Line Ventures di perairan Kuala Perlis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Sebuah feri penumpang membawa seramai 251 penumpang dari pulau ini terkandas di perairan Kuala Perlis dipercayai akibat tersangkut pukat nelayan di alur pelayaran, pagi ini. 

Pengurus Operasi Konsortium Langkawi Ferry Line Ventures Sdn. Bhd., Leftenan Komander (B) Norhafiz Abdul Wahid berkata, feri tersebut berlayar dari Langkawi pada pukul 9.30 pagi dan sepatutnya tiba di Terminal Feri Kuala Perlis pada pukul 10.30 pagi.

“Feri Express Bahagia 98 dipercayai tersangkut pada pukat nelayan yang dipasang secara melintang di alur pelayaran, tidak jauh dari terminal Kuala Perlis.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ketika ini kami masih dalam usaha untuk memindahkan kesemua 251 penumpang untuk dibawa ke Terminal Feri Kuala Perlis,” katanya di sini hari ini.

Norhafiz berkata, perjalanan feri dari Kuala Perlis yang dijadualkan pada pukul 12.30 tengah hari tadi juga terpaksa dibatalkan susulan kejadian feri yang terkandas itu.

Tambahnya, pihaknya akan membuat laporan polis berkaitan insiden itu kerana telah mencemarkan imej dan menyebabkan kerugian kepada operator feri.

Sementara itu, seorang penumpang yang juga penduduk Langkawi, Zue Hassan, 50, berkata, dia menghubungi Jabatan Laut kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi bagi meminta bantuan.

“Ketika ini ada dua buah bot milik polis dan nelayan yang membawa keluar kanak-kanak dan warga emas secara berperingkat.

“Saya sepatutnya ada urusan di Sungai Petani tetapi saya diberitahu feri terkandas kerana ada pukat nelayan yang diletakkan di laluan feri,” ujarnya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini