Kembara Borneo: Agong, Raja Permaisuri nasihat rakyat titik berat

Kembara Kenali Borneo: Agong, Raja Permaisuri nasihat rakyat titik berat keselamatan diri

AL-SULTAN Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menyertai jelajah Kembara Kenali Borneo yang bermula hari ini. -GAMBAR IHSAN ISTANA NEGARA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rakyat dinasihatkan menitikberatkan keselamatan diri terutama semasa berada di bahu jalan raya serta mematuhi arahan daripada pihak berkuasa tempatan di setiap lokasi yang dirancang bagi jelajah Kembara Kenali Borneo diadakan. 

Begitulah titah peringatan yang disampaikan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ketika berkenan menyertai jelajah berkenaan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Mejar Jeneral Datuk Zahari Mohd. Ariffin dalam kenyataan berkata, Seri Paduka Baginda berdua juga menzahirkan rasa amat teruja dengan sambutan hebat rakyat sebaik keberangkatan tiba di Tawau, Sabah sempena jelajah tersebut, petang semalam.

Menurut beliau, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa amat terharu dengan kehadiran ribuan rakyat yang meluangkan masa seawal pukul 12 tengahari dan menanti dengan penuh sabar di sepanjang 34 kilometer perjalanan dari Lapangan Terbang Tawau ke hotel penginapan untuk bertemu dan bersalaman dengan Baginda berdua.

“Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bertitah, walaupun baginda yang memandu sendiri kereta dengan ditemani Raja Permaisuri Agong, pasangan diraja itu mengambil masa selama hampir enam jam ke hotel penginapan. Baginda berdua amat gembira kerana dapat menyantuni rakyat di sepanjang perjalanan yang sepatutnya memakan masa lebih kurang 30 minit.

“Seri Paduka Baginda bertitah, baginda dan Raja Permaisuri Agong juga amat terharu dengan semangat yang ditunjukkan oleh rakyat pada hari pertama baginda berdua berangkat tiba di Sabah bagi merealisasikan impian menelusuri Sabah dan Sarawak bermula hari ini di Tawau dan berakhir di Teluk Melano, Kuching, Sarawak pada 13 September kelak.

“Susulan daripada sambutan hebat itu, Al-Sultan Abdullah menasihati rakyat di setiap lokasi yang dirancangkan bagi program Kembara Kenali Borneo untuk menitikberatkan keselamatan diri terutama semasa berada di bahu jalan raya serta mematuhi arahan daripada pihak berkuasa tempatan.

“Seri Paduka Baginda turut bertitah agar semangat perpaduan yang terserlah pada sambutan Hari Kebangsaan baru-baru ini juga ditunjukkan oleh rakyat Sabah dan Sarawak pada sambutan Hari Malaysia pada 16 September kelak,” katanya. 

Mengulas lanjut, Zahari berkata, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya atas majlis sambutan keberangkatan tiba baginda berdua. 

Katanya, ia termasuk penganjuran Majlis Pelancaran Kembara Kenali Borneo dan Santapan Malam Bersama Masyarakat Tawau, semalam.

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Kerajaan Negeri Sabah serta Sarawak dalam merealisasikan Kembara Kenali Borneo.

“Seri Paduka Baginda berdua juga mengambil kesempatan ini mengajak seluruh rakyat untuk bersama-sama mendoakan agar impian pengembaraan baginda berdua yang julung kali diadakan dalam mendekati rakyat di Sabah dan Sarawak dipermudahkan serta berjalan dengan lancar dan jayanya,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya