Seekor orang utan betina bersama anak diselamatkan akibat jerebu - Utusan Malaysia

Seekor orang utan betina bersama anak diselamatkan akibat jerebu

ANAK orang utan berpaut pada ibu haiwan itu di Borneo. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia menyelamatkan seekor orang utan betina dan anaknya daripada asap kebakaran hutan di pulau Borneo, menurut pegawai pada Khamis.

Kepulauan yang luas itu telah berdepan usaha selama berminggu-minggu untuk membendung kebakaran hutan yang menyebabkan kabut asap tebal menyelubungi beberapa kawasan di Borneo dan Sumatera, dengan jerebu turut bergerak merentasi sempadan ke Malaysia, Singapura serta Filipina.

Bertindak berdasarkan maklumat yang diterima, pegawai pemuliharaan menemui orang utan itu pada Rabu di wilayah Kalimantan Tengah selepas ia dilihat berpaut pada bahagian atas sebatang pokok, kata pegawai agensi pemuliharaan tempatan, Muriansyah, kepada AFP.

Haiwan itu dikelilingi jerebu yang berpunca daripada kawasan tanah gambut berhampiran yang terbakar, menyebabkan pegawai segera memindahkannya.

“Jika kami tidak menjalankan operasi menyelamat, saya bimbang akan keselamatan orang utan itu,” kata Muriansyah, yang seperti kebanyakan rakyat Indonesia hanya menggunakan satu nama dan merujuk kepada risiko kesihatan yang ditimbulkan oleh kabut asap.

Semasa operasi tersebut, penyelamat mendapati orang utan berkenaan sedang membawa seekor anak.

Pegawai menamakan ibu orang utan itu Raya, yang dianggarkan berusia 20 tahun, sempena nama jalan berhampiran tempat ia ditemui. 

Anak betinanya yang berusia setahun pula dinamakan Rayu, kata Muriansyah.

Beliau berkata kawasan yang baru terbakar dan keadaan gelap menambahkan lagi kerumitan operasi menyelamat yang dijalankan pada waktu malam.

Pemeriksaan awal oleh doktor veterinar mendapati kedua-dua orang utan itu tidak mengalami kecederaan dan tidak terjejas teruk akibat asap, kata Muriansyah.

Kedua-dua orang utan itu kemudian dibawa ke sebuah klinik untuk pemerhatian, kata Heriyanto, pegawai agensi sumber asli dan pemuliharaan wilayah Kalimantan Tengah.

“Jika mereka sihat dan boleh dilepaskan segera ke habitat liar, mereka akan dilepaskan,” kata Heriyanto kepada AFP. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×