KUALA LUMPUR: Anak bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Nooryana Najwa meluahkan rasa kecewa apabila pelaksanaan tahanan di rumah terhadap bapanya ditangguhkan sementara oleh Jabatan Peguam Negara.
Nooryana yang enggan mengulas panjang mengenai undang-undang kemudian menyerahkan perkara itu kepada pasukan peguam.
Beliau namun berkata, sepatutnya hari ini adalah hari yang menggembirakan mereka sekeluarga dan sudah bersedia untuk menyambut kepulangan bapanya.
Katanya, malam ini bukan rezeki buat mereka sekeluarga.
“Sejak pagi tadi, Yana sekeluarga tidak putus-putus berhubung dengan pelbagai pihak kerana mahu pastikan semuanya berjalan lancar supaya ayah dapat pulang ke rumah hari ini.
“Seperti yang media laporkan, sekitar jam 12 tengah hari tadi, denda RM50 juta sudah dibayar kepada mahkamah oleh UMNO.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyumbang kepada Tabung Solidariti Datuk Seri Najib.
“Tak kiralah besar atau kecil, setiap sumbangan adalah sangat bermakna bagi keluarga saya.
“Ia jelas menunjukkan betapa ramai yang menyayangi dan memberikan sokongan kepada Datuk Seri Najib,” katanya menerusi perkongsian di media sosial malam ini.
Nooryana berkata, pagi tadi beliau menunggu di luar mahkamah. Selepas bayaran dibuat, mereka menerima perintah mahkamah untuk pembebasan tahanan rumah Datuk Seri Najib.
“Perintah itu kemudian dibawa ke penjara Kajang dan seperti yang kami faham berdasarkan perintah pengampunan bersyarat Tuanku Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, bayaran RM50 juta adalah syarat utama untuk (Datuk Seri) Najib menjalani baki hukuman secara tahanan rumah.
“Bayaran RM50 juta itupun sudah dilaksanakan. Kami kemudian dimaklumkan yang pihak penjara akan membawa ayah pulang selepas menerima perintah mahkamah berkenaan.
“Mula-mula kami diberitahu pukul 5 petang, kemudian berubah ke 8.30 malam. Jadi kami tunggu.
“Tapi sekitar jam 2 petang tadi, kami dapat maklumat yang pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang cuba menangguhkan pembebasan ayah.
“Namun, kami sekeluarga masih yakin sebab kami difahamkan daripada segi prosedur, perintah mahkamah yang sudah dikeluarkan sepatutnya mencukupi.
“Tetapi akhirnya Jabatan Peguam Negara mengeluarkan kenyataan untuk menangguhkan proses terbabit,” katanya.
Nooryana berkata, sekiranya ada syarat lain, kenapa tidak dimaklumkan lebih awal dan kalau masih terdapat halangan, mengapa menerima bayaran RM50 juta hari ini?
“Apa yang berlaku ini mengingatkan kami kepada pengalaman akhir titah addendum sebelum ini. Banyak kali berlaku perubahan dan keadaan tidak menentu dengan penangguhan demi penangguhan.
“Setiap kali kami rasa ayah dah semakin hampir nak balik, ada sahaja halangan baharu. Sampai bila?
“Kami cuma memohon keadilan, ketelusan. Kami mahu perintah Sultan Ibrahim dihormati dan kedaulatan undang-undang ditegakkan.
“Kepada daddy. Saya tahu awak tidak menonton perkara ini malam ini.Tapi saya harap daddy tahu kami sedang buat segalanya yang kita mampu untuk bawa daddy balik.
“Kami tahu daddy rindu keluarga ini dan kami semua juga rindukan daddy,”katanya.
Terdahulu media melaporkan UMNO mengesahkan sudah menyelesaikan segala proses pembayaran kepada pihak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pagi tadi, sebagai syarat untuk Najib menjalani tahanan di rumah.











