MUKADIMAH
POLITIK negara kecoh sebentar gara-gara empat ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mengambil tindakan bertentangan dengan parti tersebut, iaitu menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ada yang menyatakan tindakan itu bercanggah dengan perlembagaan parti, namun dalam masa yang sama ahli Parlimen pembangkang harus memikirkan cara untuk menyalurkan bantuan kepada rakyat di kawasan dalam keadaan tiada sebarang peruntukan yang diberi oleh kerajaan.
Menyentuh kontroversi yang berlaku, ikuti temu bual eksklusif wartawan Utusan Malaysia, ASLINDA NASIR bersama salah seorang wakil rakyat pembangkang yang digelar pengkhianat iaitu Ahli Parlimen Labuan, DATUK SUHAILI ABDUL RAHMAN.
TIADA SIAPA MINTA SOKONG
Saya tidak boleh bercakap untuk ahli Parlimen lain sebab saya tidak tahu hujung pangkalnya. Tetapi saya bercakap untuk diri saya sekarang. Untuk diri saya, tiada orang yang approach.
Saya sendiri yang bercakap dengan Ketua Menteri Sabah (Datuk Seri Hajiji Noor), tolong bisik kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), saya akan nyatakan sokongan kepada PM.
Yang ‘Datuk Botak’ atau apa pun tiada yang datang kepada saya. Kalau Wan Ahmad Fayhsal (Wan Ahmad Kamal) ada bukti, hantarlah kepada polis, biar polis buat kerja, yang dia sibuk ulas atas rostrum itu buat apa?
PENGKHIANAT?
Kalau betul saya pengkhianat macam yang Wan Ahmad Fayhsal kata, pecatlah, buat apa gantung enam tahun? Kerana dalam tempoh enam tahun saya tidak boleh buat apa-apa. Kalau tidak pecat saya, mereka takkan dapat undi saya juga, dia pecat atau tidak pecat, Bersatu tetap rugi kerana saya takkan beri mereka undi lagi, kenapa?
Mereka gantung saya enam tahun, I’m nobody to you. Kenapa saya nak dengar cakap mereka? Logiknya pilihan raya empat tahun lagi, apa maksudnya? Bermakna mereka takkan nak saya lagilah untuk jadi calon. Dalam tempoh PRU-16, saya masih digantung, jadi kenapa saya perlu sokong mereka?
Mereka lupa, mereka berurusan dengan orang bukan calang-calang. Saya bukan orang baharu dalam dunia politik. Saya anak didik Tun Daim (Zainuddin), saya berpolitik zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi), zaman itu lebih kronik dari sekarang. Dan saya akan terus bercakap. Apa sahaja berkaitan Labuan dan rakyat.
SEBAB PINDAH KERUSI
Kerana blok yang saya duduk sekarang adalah blok hard core. Ramai yang pemimpin kanan pembangkang duduk di situ, mintalah Wan Ahmad Fayhsal pindah di sana.
Ini adalah keputusan Speaker dan saya sendiri tidak selesa duduk di tempat sekarang kerana saya menghormati kiri, kanan, depan, belakang. Itu sebab saya memilih untuk berpindah, bukan apa pun, saya memang tidak selesa.
Cuba fikir kalau saya berada di tempat yang sama, saya berdiri, kena boo kanan kiri kanan, tidakkah akan jadi gaduh? Saya dekat hujung dunia pun tak apalah, saya seorang-seorang, boo la kau, saya tidak sakit jiwa pun.
ADA TELEFON MP LAIN MINTA SOKONG PM?
Sebelum saya buat pengumuman untuk sokong PM, kita ada mesyuarat jawatankuasa Perikatan Nasional (PN), jadi semasa itu kita bercerita tentang kesusahan ahli Parlimen yang tidak mendapat peruntukan.
Jadi, bila saya dah umum dan dapat peruntukan, saya nak kongsi dengan geng-geng ini. Sebab ada yang cakap dekat saya “kau jangan tertipu”, jadi saya nak beritahu itu bukan bohong sebab saya dah dapat, tinggal nak belanja sahaja.
Kedua, PN ini ada 74 orang, kita ada group chat, dia (Gerik) buka satu kumpulan lagi, ada 13 orang, saya difahamkan oleh salah seorang dalam kumpulan itu sebab saya tidak termasuk.saya punya pemikiran mungkin dia (Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob) tengah berfikir-fikir, jadi saya telefon Gerik, niat untuk berkongsi peruntukan yang dijanjikan PM itu betul. Maknanya PM tidak bohong.
Kalau Wan Ahmad Fayhsal kata saya telefon sewaktu mesyuarat, itu bohong sebab Gerik hubungi saya balik pada hari berikutnya. Bila saya jawab, dia terus pass pada Hamzah (Datuk Seri Hamzah Zainuddin).
Kalau bukan pasal peruntukan ini, tidak ada sebab saya nak telefon Gerik pun. Dia memang tidak ada peruntukan dan dia sangat-sangat memerlukan. Saya kata, ‘memang betul you sokong kerajaan you dapat peruntukan. Datuk Seri Anwar tidak berbohong.
Saya bukan kemaruk nak duit, ini bukan untuk saya, ini untuk rakyat di Labuan kerana mereka ini bukan B40, bawah lagi dari B40 kerana ramai yang miskin tegar. Bila mereka mengadu, saya nak kata apa? Oh, saya tiada peruntukan sebab kita pembangkang. Begitukah? Jadi bila saya jumpa PM, dia kata, Suhaili, you akan dapat sama dengan ahli Parlimen kerajaan lain.
MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN
Siapa yang tawarkan ini? Saya sendiri tidak tahu. Dan salahkah kalau betul ditawarkan? Itu penghormatan kepada Sabah yang mana selama 40 tahun, Sabah tidak dapat apa-apa pengiktirafan. Kalau betul PM lantik, Sabah Sarawak akan hargai PM sampai bila-bila. Tidak kalahlah PRU-16 nanti.
Kena ingat, Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tan Sri Harris Salleh kalah gara-gara Labuan diserahkan kepada Persekutuan. Orang Sabah benci Tun Mahathir gara-gara Labuan diserahkan kepada Persekutuan.
Soalannya, salahkah kalau ditakdirkan saya dilantik? Saya layak, bukan tidak layak, saya ahli Parlimen, bukan senator, saya sudah masuk penggal ketiga, bukan penggal pertama.
KENA BOIKOT MP BERSATU
Semua orang sudah boikot saya. Antara kami berempat, saya ini dikira pengkhianat besar di mata mereka walaupun orang kedua yang umum. Saya rasa, saya overshadow mereka yang lain lah. Bukan salah saya, saya jenis media friendly, semua yang telefon pun saya jawab.
Tetapi pada saya semua perlu tahu perkara sebenar, apa yang berlaku. Kalau tidak, semua orang akan hidup dengan cerita yang direka-reka ini, konon saya ini operator.
PERTIMBANG SEMULA TINDAKAN DIBUAT
Tidak. Saya tidak akan sokong apa-apa gerak kerja untuk jatuhkan kerajaan pimpinan PM kerana kepada saya, terbukti Anwar kotakan janji. Setelah saya berbincang dengan Anwar selama satu jam, saya melihat kesungguhan untuk memulihkan semula ekonomi negara.
Apa yang diperlukan adalah kestabilan politik, untuk itu saya tidak akan berganjak bagi memberi sokongan kepada beliau. Itu sahaja.
HALA TUJU SELEPAS INI
Sekarang saya sudah sokong kerajaan, kalau dipecat, saya jadi ahli Bebas sehingga habis tempoh. Bukan tiada ahli Bebas yang sokong kerajaan. Apa yang kecoh sangat? Saya pesan kepada Wan Ahmad Fayhsal hentikan cari publisiti murahan. Jaga kawasan you kerana dia menang atas sokongan Pas, bukan Bersatu pun.
Saya menang Labuan bukan kerana kekuatan Bersatu, tetapi kekuatan Suhaili Abdul Rahman, anak watan Labuan. Orang Pas di Labuan tidak sampai 800 orang, Pas pula tidak sampai 2,000, saya menang 8,000 lebih, mana datang 5,000 lebih lagi? Dan saya menang selepas tiga penggal, bersamaan 15 tahun, saya bertanding kembali dan saya menang.
Saya ada sejarah bangunkan Labuan dari 1999 sehingga 2009, lapangan terbang, sekolah, pelabuhan semua masa saya. Lepas PRU-16 lain cerita.Kita bercakap tentang penggal ini dulu. Dan ini kenyataan terakhir saya, selepas ini saya tidak lagi akan menjawab apa jua soalan kerana saya akan fokus terus untuk rakyat di Labuan.
Saya minta maaf kerana menyinggung hati beberapa pihak tetapi sebagai pemimpin yang dipilih rakyat, saya berhak membuat pilihan untuk pengundi di kawasan saya. – UTUSAN










