Ekosistem kewangan Islam Malaysia perlu berubah

Ekosistem kewangan Islam Malaysia perlu berubah

PERANAN Malaysia dalam ekosistem kewangan Islam global bukan sekadar mengejar prestij dan kedudukan tetapi membangunkan sistem berpaksikan etika, keadilan dan ihsan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM ucapan sempena Persidangan Meja Bulat Cendekiawan Syariah Antarabangsa (iSHAR 2026), Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa supaya kewangan Islam terus inovatif, inklusif dan berdaya saing di peringkat domestik dan global.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tiga saranan Perdana Menteri itu wajar disambut tetapi nilainya akan ditentukan oleh pelaksanaan kelak.

Antara inti pati ucapan tersebut ialah seruan ke arah menyuburkan kepimpinan pemikiran syariah. Anwar mahukan kepimpinan bukan sahaja berakar umbi pada tradisi tetapi responsif dan tangkas mendepani perkembangan semasa.

Keseimbangan ini penting kerana dua kegagalan itu sama-sama berisiko. Misalnya, industri yang terlalu berhati-hati akan ketinggalan, manakala industri yang terlalu ghairah berinovasi boleh terpesong daripada roh syariah. Cabaran yang mungkin timbul ialah bagaimana mahu bergerak pantas tanpa mengorbankan kesahihan sedia ada.

Anwar turut mengingatkan peranan Malaysia dalam ekosistem kewangan Islam global bukan sekadar mengejar prestij dan kedudukan tetapi membangunkan sistem berpaksikan etika, keadilan dan ihsan. Peringatan ini wajar berikutan kedudukan dalam indeks global sangat membanggakan. Ukuran sebenar kejayaan ialah sejauh mana sistem kewangan Islam meringankan beban rakyat dan menyokong satu sistem ekonomi yang adil.

Anwar juga menegaskan perlunya memperkukuh kerjasama strategik antara cendekiawan, pengawal selia, institusi kewangan dan pihak berkepentingan untuk duduk semeja menjayakan resolusi tersebut. Tanpa kerjasama ini, jurang antara resolusi, fatwa dan produk akan terus ada.

Beberapa cabaran mungkin perlu ditangani terlebih dahulu. Pertama, inovasi yang diimpikan mesti berpaksikan maqasid syariah, bukan sekadar meniru produk konvensional dengan kontrak yang berlainan. Kerajaan pernah menyuarakan hasrat untuk menggalakkan produk kewangan Islam yang adil, berakar daripada nilai Islam sebenar dan tidak menjadi cerminan produk konvensional.

Kedua, inovasi memerlukan permintaan. Penyelidikan dan inovasi yang tulen sukar dihasilkan tanpa permintaan daripada umat Islam sendiri. Sebagai contoh, literasi kewangan Islam perlu dipertingkatkan berikutan pengguna masih tidak memahami perbezaan antara kedua sistem ekonomi dan supaya mereka dapat membuat penilaian yang baik selain menggunakan perkhidmatan dengan telus.

Ketiga, penggunaan teknologi yang canggih menimbulkan persoalan syariah baharu. Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) lebih menumpukan pendigitalan sistem kewangan seperti tokenisasi aset, mata wang digital bank pusat dan peluasan sandbox. Ini menyebabkan cendekiawan dan ahli akademik dalam bidang kewangan Islam perlu memahami istilah teknologi dan konsepnya supaya keputusan syariah dapat dibuat dalam keadaan tepat serta mutakhir.

Seruan Anwar supaya kewangan Islam kekal inovatif ialah satu seruan yang wajar dan betul. Yang masih belum teruji ialah bagaimana produk ini memberi manfaat kepada rakyat dan berpaksikan syariah. Jika kerjasama dapat diterjemahkan antara ahli akademik, pengawal selia dan industri, maka kita dapat melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang terkehadapan dalam bidang kewangan Islam. –UTUSAN

MUHAMMAD ANDZARWIR ZAKARIA
Pelajar Ijazah Doktor Falsafah,
di Institut Islam Hadhari,
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini