SEKOLAH sememangnya menjadi tempat utama kanak-kanak menimba ilmu, namun pendidikan tidak terhad kepada mata pelajaran yang diajar di dalam bilik darjah. Pendidikan turut merangkumi pengetahuan, kemahiran, nilai, sikap serta pilihan yang membentuk perkembangan dan masa depan mereka.
Gaya hidup yang semakin pantas serta perubahan dalam masyarakat turut mempengaruhi pendekatan pembelajaran. Justeru, ibu bapa dan guru perlu menyediakan kanak-kanak menghadapi persekitaran semasa melalui kaedah dan teknik yang lebih sesuai dengan keperluan mereka.
Pendedahan kepada perkara baharu bukan sahaja meningkatkan keyakinan diri dan harga diri, malah membantu mereka mengenal minat serta membina hala tuju masa depan.
Setiap kanak-kanak mempunyai keunikan tersendiri. Mereka perlu diberikan ruang dan kebebasan untuk belajar, melakukan kesilapan serta memahami kesilapan tersebut.
Walaupun bilik darjah menjadi ruang penting untuk memperoleh pengetahuan akademik dan bukan akademik, perkembangan mereka tidak seharusnya terhad kepada empat dinding. Pengalaman daripada persekitaran luar juga mampu memperkaya proses pembelajaran.
Persekitaran yang mesra penting dalam membentuk hubungan sosial sejak di sekolah rendah. Guru dan ibu bapa perlu mewujudkan suasana selesa supaya kanak-kanak dapat bergaul, bekerjasama dan belajar memahami orang lain. Pembelajaran tidak formal melalui aktiviti bersama rakan turut membantu membina semangat berpasukan.
Kaedah pembelajaran inklusif pula membuka ruang untuk mereka saling memahami. Pada masa sama, budaya bertanya soalan dapat membantu kanak-kanak menyelesaikan keraguan serta mencetuskan idea baharu.
Pembelajaran berasaskan aktiviti juga berkesan dalam memperkenalkan konsep, pengetahuan dan pengajaran hidup. Aktiviti seperti permainan, pembinaan mainan serta kegiatan kreatif menjadikan proses pembelajaran lebih menyeronokkan dan mudah difahami.
Kaedah pembelajaran bersepadu melalui gambar, cerita visual, lukisan, matematik dan sains pula membantu kanak-kanak memahami serta mengingati sesuatu konsep dengan lebih mendalam. Pendekatan ini turut menghubungkan pembelajaran sosial dengan kemahiran teknikal.
Pengajaran hidup pula perlu dikaitkan dengan pengalaman sebenar. Ibu bapa boleh berkongsi pengalaman sendiri sebagai teladan supaya kanak-kanak memahami makna kejayaan, kegagalan, usaha dan tanggungjawab.
Pencapaian wajar dihargai, manakala kegagalan perlu dijadikan ruang untuk bangkit dan mencuba lagi.
Sikap positif juga perlu dipupuk sejak kecil agar mereka melihat pembelajaran sebagai proses berterusan. Apabila matlamat belum tercapai, usaha mereka harus dihargai, bukan dikritik. Setiap pengalaman boleh menjadi peluang untuk belajar dan membina nilai serta moral.
Kemahiran menghadapi cabaran akhirnya menjadi bekalan penting dalam kehidupan. Menghargai pencapaian kanak-kanak dapat meningkatkan keyakinan, sekali gus mendorong mereka berani mencuba perkara baharu dan tidak mudah berputus asa. –UTUSAN
N.V. Subbarow
Pegawai Pendidikan Kanan
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)











