Adakah tahanan rumah hidup sama seperti banduan dalam penjara?

Adakah tahanan rumah hidup sama seperti banduan dalam penjara?

TAHANAN rumah boleh mencetuskan perasaan tidak puas hati orang ramai disamping boleh menghantar isyarat salah dalam menangani kes jenayah berat dalam negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEKIRANYA pihak kerajaan masih ingin melaksanakan undang–undang khusus berkaitan proses hukuman tahanan rumah maka perlu dikuatkuasakan dengan adil dan saksama untuk semua pihak. Pelaksanaan tahanan rumah tidak boleh hanya terpakai kepada individu tertentu, ahli politik dan golongan elit sahaja.

Satu kajian yang terperinci perlu dilakukan sebelum hukuman tahanan rumah ini dilaksanakan.

Pihak kerajaan harus mengenal pasti golongan atau pesalah yang boleh diberikan tahanan rumah. Ini kerana tidak semua pesalah harus diberikan dengan tahanan rumah.

Kes–kes melibatkan bunuh, keganasan, jenayah seksual, rasuah, pecah amanah, salah guna kuasa dan lain–lain kes jenayah berat tidak sepatutnya diberikan hukuman tahanan rumah kerana dilihat sebagai satu keistimewaan luar biasa yang diberikan kepada pesalah berkenaan.

Malah dibimbangi boleh mencetuskan perasaan tidak puas hati orang ramai disamping menghantar isyarat salah dalam menangani kes jenayah berat dalam negara.

Hukuman tahanan rumah sepatutnya diberikan kepada kes–kes yang kurang berat serta tidak melibatkan kepentingan awam dan negara. Pesalah yang diberi tahanan rumah tidak seharusnya dibiarkan hidup senang, mewah dan boleh melakukan apa sahaja.

Syarat dan prosedur ketat yang diberikan kepada semua banduan dalam penjara harus dikenakan kepada semua pesalah tahanan di rumah juga.

Pesalah yang diberi tahanan rumah ini juga harus dipantau 24 jam oleh pihak berkuasa penjara dan tidak boleh melakukan sebarang proses sosial atau komunikasi dengan mana–mana pihak termasuk ahli keluarga tanpa kebenaran.

Ini juga termasuklah larangan membela haiwan kesayangan seperti kucing, burung dan lain–lain lagi.

Lebih baik rumah yang ditentukan sebagai tempat tahanan dikosongkan sepenuhnya supaya pesalah melalui kehidupan bersama pegawai penjara sepanjang proses hukuman ini dijalankan.

Pendek kata, rumah itu arus dijadikan seperti penjara. Paling penting, tahanan rumah dan ahli keluarga harus menanggung segala kos perbelanjaan dan pengurusan sepanjang hukuman.

Wang negara dan rakyat tidak seharusnya digunakan bagi menampung kehidupan tahanan rumah.-UTUSAN

 

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Fakulti Syariah & Undang–Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×