KES buli di asrama yang berulang sejak kebelakangan ini membuktikan masalah tersebut tidak lagi boleh dianggap sebagai insiden terpencil.
Setiap kali kejadian berlaku, perhatian masyarakat tertumpu kepada hukuman terhadap pelaku, kelemahan pengawasan warden dan tanggungjawab pihak sekolah.
Semua aspek itu penting, namun persoalan yang lebih utama ialah mengapa pelajar yang mempunyai kecenderungan melakukan keganasan masih berjaya melepasi proses pemilihan untuk tinggal di asrama.
Oleh itu, mekanisme kemasukan perlu dinilai semula dengan menjadikan sahsiah, disiplin dan kematangan emosi sebagai syarat utama, bukan sekadar pencapaian akademik.
Pengesahan daripada guru kelas, guru disiplin, guru bimbingan dan kaunseling serta pentadbir sekolah hendaklah dibuat secara jujur, telus dan berintegriti.
Jika seseorang pelajar mempunyai sejarah membuli, melakukan ugutan, mencederakan rakan atau kerap melanggar peraturan, maklumat tersebut perlu direkodkan dengan tepat.
Tujuannya memastikan intervensi dapat dilaksanakan lebih awal sebelum mereka ditempatkan dalam komuniti berasrama.
Malangnya, ada yang cenderung memberikan laporan terlalu positif bagi memudahkan urusan. Tindakan sedemikian menyebabkan sekolah yang menerima pelajar gagal memperoleh gambaran sebenar tingkah laku mereka.
Akibatnya, individu yang bermasalah berisiko mempengaruhi penghuni lain dan mewujudkan budaya buli yang akhirnya menjejaskan keselamatan seluruh warga asrama.
Asrama menuntut setiap penghuni menghormati privasi, bekerjasama, bertanggungjawab dan mematuhi peraturan sepanjang masa. Tanpa nilai tersebut, konflik mudah tercetus dan akhirnya membuka ruang kepada perlakuan buli.
Proses pemilihan juga mesti dilaksanakan secara adil tanpa dipengaruhi latar belakang keluarga, kedudukan sosial atau sebarang bentuk campur tangan.
Semua calon hendaklah dinilai menggunakan kriteria yang sama, termasuk rekod disiplin, kestabilan emosi, sikap bertanggungjawab, kemahiran bergaul dan kesediaan hidup dalam komuniti.
Kementerian Pendidikan wajar memperkenalkan borang penilaian sahsiah yang lebih menyeluruh merangkumi aspek hubungan dengan rakan, kemampuan mengawal kemarahan, sikap hormat, kepimpinan, kejujuran, semangat kerjasama dan rekod disiplin.
Namun, pelajar yang pernah melakukan kesalahan tidak seharusnya terus disisihkan. Mereka masih berhak diberi peluang untuk berubah melalui kaunseling, program pemulihan, latihan pengurusan emosi dan pembangunan sahsiah.
Sekiranya menunjukkan perubahan yang konsisten, permohonan mereka boleh dipertimbangkan semula. Pendekatan ini lebih mendidik dan memberi ruang kepada pembentukan peribadi yang lebih baik.
Ibu bapa perlu berganding bahu dengan sekolah dalam membentuk akhlak anak sejak di rumah.
Nilai hormat, empati, tanggungjawab dan kawalan diri mesti dipupuk agar mereka memahami bahawa buli, sama ada secara fizikal, lisan, psikologi mahupun dalam talian, tidak boleh diterima dalam apa jua keadaan.
Usaha membanteras buli tidak boleh bermula selepas tragedi berlaku.
Pencegahan perlu dilaksanakan sebelum seseorang pelajar diterima memasuki asrama, kemudian disusuli pemantauan berterusan oleh warden, guru, kaunselor dan kepimpinan pelajar.
Proses tapisan yang telus serta penilaian sahsiah yang jujur mampu mewujudkan persekitaran asrama yang lebih selamat, harmoni dan kondusif.
Asrama bukan sekadar tempat menghimpunkan pelajar cemerlang, tetapi medan membentuk generasi berilmu, berdisiplin dan berakhlak mulia. – UTUSAN
AZLIZA AZIZUL
Batu Pahat, Johor









