SEREMBAN: Hari pertama inkues bagi mengenal pasti punca kematian Iman Zhafran Abdullah, 10, yang ditemukan tidak sedarkan diri di dalam tandas sebuah sekolah di Senawang di sini tahun lalu menyaksikan lokasi kejadian dilawati Koroner Mahkamah Seremban hari ini.
Koroner, Tasnim Abu Bakar tiba di sekolah itu kira-kira pukul 2 petang diiringi polis dan pegawai mahkamah sebelum dilihat meninggalkan lokasi sejam kemudian.
Turut serta ialah Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi dan peguam yang mewakili keluarga mangsa, Muhammad Yazid Mohamad Salim. Bapa mangsa, Muhammad Hafizuddin Abdullah, 41, turut hadir di sekolah berkenaan.
Lawatan itu diadakan bagi memberikan gambaran kepada Koroner sebelum inkues terhadap Iman Zhafran dijalankan dengan saksi dan pegawai penyiasat menunjukkan lokasi kejadian.
Sebelum ini, media melaporkan seramai 51 saksi akan dipanggil bagi membantu prosiding inkues berkenaan.
Mahkamah Koroner menetapkan prosiding inkues berkenaan berlangsung selama tujuh hari, dengan setiap prosiding dijadualkan dari pukul 2.30 hingga 4.30 petang.
Pada 2 Oktober tahun lalu, Iman Zhafran, murid tahun empat, ditemukan tidak sedarkan diri di dalam tandas sekolah berkenaan sebelum disahkan meninggal dunia.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad sebelum ini dilaporkan berkata, hasil siasatan mendapati mangsa meninggal dunia akibat tekanan pada leher.
Beliau berkata, kes itu diklasifikasikan mengikut Seksyen 507C Kanun Keseksaan berkaitan buli melalui komunikasi, selain seramai 35 individu termasuk murid, guru, kakitangan sekolah, doktor dan ahli keluarga mangsa telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan. – UTUSAN











