BNPL perangkap kewangan peribadi

BNPL perangkap kewangan peribadi

BELI Dulu, Bayar Kemudian (BNPL) kini menjadi sebahagian daripada kaedah pembayaran harian rakyat Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAYANGKAN anda mempunyai akaun pada 10 platform Beli Dulu, Bayar Kemudian (BNPL), dengan setiap satu menawarkan had pembiayaan sekitar RM5,000.

Tanpa perlu beratur di bank atau mengisi pelbagai borang, anda berpotensi memperoleh pembiayaan sehingga RM50,000 hanya melalui telefon pintar.

Hanya dengan beberapa sentuhan pada skrin telefon pintar, pengguna boleh membeli sesuatu barangan dan menangguhkan pembayarannya ke satu tarikh yang ditetapkan.

Kemudahan ini mendorong pertumbuhan pesat BNPL di Malaysia. Pada 2025, sebanyak 243 juta transaksi bernilai lebih RM21 bilion direkodkan melibatkan 7.5 juta akaun aktif.

Statistik ini menunjukkan BNPL kini menjadi sebahagian daripada kaedah pembayaran harian rakyat Malaysia.

Hakikatnya, BNPL membantu pengguna mendapatkan barangan keperluan ketika berdepan kekangan aliran tunai, mengurus perbelanjaan sehingga hari gaji serta memberi lebih banyak pilihan pembayaran.

Namun, persoalan yang lebih penting ialah sama ada pengguna benar-benar mengawal penggunaan BNPL atau sebaliknya membiarkan sistem tersebut mempengaruhi keputusan pembelian mereka.

Ramai pengguna merasakan mereka mampu membeli sesuatu kerana jumlah ansuran bulanan kelihatan kecil. Hakikatnya, BNPL tidak menjadikan sesuatu barangan lebih murah.

Sebaliknya, ia hanya mengubah persepsi pengguna sehingga harga yang tinggi kelihatan lebih mudah ditanggung. Perubahan persepsi inilah yang mendorong ramai membuat pembelian tanpa menilai kemampuan kewangan sebenar.

Keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila seseorang memiliki akaun pada pelbagai platform BNPL. Dalam situasi ini, pengguna sering gagal menjejaki jumlah keseluruhan komitmen yang ditanggung.

Malah, ada yang menggunakan satu kemudahan BNPL untuk melangsaikan tunggakan pada platform lain sehingga amalan ‘gali lubang, tutup lubang’ berlaku dalam bentuk digital.

Dari sudut reka bentuk sistem, BNPL menjadikan proses pembelian begitu pantas sehingga pengguna hampir tidak mempunyai ruang untuk berhenti seketika dan menilai sama ada pembelian tersebut benar-benar perlu atau sekadar memenuhi kehendak sementara.

Semakin mudah sesuatu transaksi dilakukan, semakin tinggi kecenderungan seseorang membuat keputusan secara impulsif tanpa memikirkan kesannya terhadap kewangan pada bulan-bulan berikutnya.

Ironinya, walaupun 98 peratus pengguna menganggap BNPL mudah diuruskan dan 95 peratus berpuas hati dengan perkhidmatan tersebut, namun baki hutang tertunggak meningkat kepada RM4.9 bilion.

Keadaan ini membuktikan kemudahan yang memberikan keselesaan pada hari ini belum tentu menjamin ketenangan kewangan pada masa hadapan.

Lebih membimbangkan, sebanyak 73 peratus pengguna BNPL terdiri daripada golongan B40. Majoriti mereka menggunakan kemudahan ini untuk membeli keperluan harian.

Situasi ini menunjukkan penggunaan BNPL bukan sekadar dipengaruhi sikap berbelanja tetapi turut berpunca daripada tekanan kos sara hidup, pendapatan yang terhad dan cabaran mengurus kewangan isi rumah.

Bagi memastikan industri ini berkembang secara bertanggungjawab, kerajaan memperkenalkan Akta Kredit Pengguna 2025 untuk mengawal selia penyedia BNPL.

Kelewatan pembayaran kini boleh direkodkan dalam CTOS dan CCRIS. Langkah ini mengingatkan pengguna walaupun proses mendapatkan pembiayaan semakin mudah, tanggungjawab melunaskan hutang tetap perlu diutamakan.

Sebelum menekan butang untuk BNPL, tanyalah diri sendiri sama ada pembelian itu benar-benar suatu keperluan atau sekadar memenuhi keinginan.

Jika jawapannya kerana belum perlu membayar hari ini, mungkin keputusan terbaik ialah menangguhkan pembelian tersebut. Ingatlah, hutang yang ditangguhkan hari ini tetap perlu dijelaskan pada masa hadapan. – UTUSAN

NOOR ASLINDA ABU SEMAN
Johor Business School,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN