Platform e-dagang tawar BNPL disaran kawal selia kendiri

Platform e-dagang tawar BNPL disaran kawal selia kendiri

BNPL
FUZIAH Salleh melihat pameran pada Majlis Penutup TikTok Shop Summit dan perasmian Kempen Beli Barangan Malaysia, di Shah Alam, Selangor, semalam. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Penyedia platform e-dagang yang menawarkan perkhidmatan ‘Beli Sekarang, Bayar Kemudian’ (BNPL)’ diseru melakukan kawal selia kendiri bagi melindungi pengguna.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, saranan itu berikutan akta berkaitan e-dagang setakat ini belum dibawa ke peringkat Parlimen.

Menurutnya, syarikat e-dagang perlu sentiasa memastikan platform itu digunakan dengan baik dan mempunyai integriti.

“Dalam keadaan sekarang, kita kena bersama ‘self regulate’ (kawal selia kendiri) dan melindungi pengguna dengan membawa budaya yang baik.

“Ia juga termasuk memeriksa dahulu latar belakang pengguna (sebelum menawarkan BNPL),” katanya selepas merasmikan penutupan TikTok Shop Summit dan perasmian Kempen Beli Barangan Malaysia, semalam.

Utusan Malaysia Isnin lalu melaporkan jumlah transaksi BNPL melonjak kepada 102.6 juta transaksi dalam suku pertama tahun ini berbanding 83.8 juta transaksi pada separuh kedua tahun 2024.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying ketika membentangkan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Kredit Pengguna di sidang Dewan Rakyat memaklumkan peningkatan mendadak itu membuktikan kepesatan pertumbuhan sistem kredit baharu yang kini menjadi pilihan ramai.

Peningkatan itu mencetuskan kebimbangan terhadap risiko kewangan pengguna terutama golongan mudah terjejas dan menjerat pengguna yang tiada pendapatan tetap atau berpengetahuan lemah dalam literasi kewangan.

Nilai keseluruhan transaksi BNPL juga meningkat daripada RM7.1 bilion kepada RM9.3 bilion dalam tempoh yang sama, iaitu peningkatan sebanyak 31 peratus.

Tambah Fuziah, inisiatif mengelak unsur penipuan antaranya dilaksanakan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menerusi SSM BizTrust.

“BizTrust merupakan syarikat yang mempunyai integriti dan bukannya scammer (penipu). Selain itu, TikTok juga memperkenalkan ‘Safe Shop’. Kedua-duanya itu boleh diguna pakai bagi melindungi pengguna daripada penipuan dan sebagainya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×