BILANGAN transaksi skim Beli Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL) dilaporkan meningkat daripada 83.8 juta transaksi pada separuh tahun kedua 2024 kepada 102.6 juta transaksi pada separuh tahun pertama tahun ini. Jumlah nilai transaksi BNPL juga didapati meningkat sebanyak 31 peratus daripada RM7.1 bilion pada separuh kedua tahun lalu kepada RM9.3 bilion pada separuh pertama tahun ini.
Peningkatan ketara BNPL dikhuatiri boleh menimbulkan risiko kemudaratan terutamanya kepada pengguna kredit rentan iaitu mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau berpendapatan rendah, atau kurang arif dalam urusan kewangan.
Jujurnya, jika pengguna gagal mengawal nafsu perbelanjaan serta tidak celik dalam soal pengurusan kewangan pasti akan terjerat dengan hutang yang tinggi dan sukar dijelaskan. Mudahnya, skim BNPL boleh menjadi ancaman besar kepada pengguna dalam meningkatkan hutang peribadi jika gagal menguruskannya dengan bijak dan teratur.
Perangkaan terkini yang dikeluarkan oleh Pasukan Petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna (CCOB) menunjukkan skim BNPL menyumbang kepada 0.2 peratus daripada jumlah hutang isi rumah setakat Mac 2025.
Satu lagi fakta yang perlu diberi perhatian serius ialah kira-kira 40 peratus daripada jumlah dan nilai transaksi BNPL pada separuh pertama 2025 disumbangkan oleh segmen belia berumur 30 tahun ke bawah.
Jadi, kita khuatir golongan belia terutamanya yang sering dikaitkan dengan budaya FOMO (Fear of Missing Out) akan mudah terperangkap dengan hutang yang tinggi apabila membuat pembelian panik tanpa kawalan.
Tindakan membuat pembelian dengan cepat tanpa berfikir panjang terutamanya tanpa mempedulikan kemampuan kewangan yang didorong oleh perasaan bimbang dan takut dilabel ketinggalan dari orang lain boleh memberikan impak negatif jangka panjang kepada kehidupan belia.
Pelbagai kajian selama ini menunjukkan golongan belia masih kurang celik tentang ilmu pengurusan kewangan peribadi dan mudah berhutang seperti penggunaan kad kredit yang tinggi sehingga ramai yang diisytihar muflis.
Misalnya, data yang dilaporkan pihak berkuasa sebelum ini menunjukkan seramai 5,272 belia berusia 34 tahun ke bawah diisytiharkan muflis dalam tempoh 2020 hingga 2025. Lebih membimbangkan apabila trend kebankrapan dalam kalangan belia menunjukkan peningkatan di mana pada tahun 2024 terdapat 877 kes, meningkat sebanyak 150 kes berbanding 727 pada tahun sebelumnya.
Ironinya, kita perlu beri perhatian serius kepada fakta di mana berdasarkan rekod Jabatan Insolvensi Malaysia, punca utama kes kebankrapan pada tahun 2024 adalah pinjaman peribadi yang menyumbang sebanyak 2,776 kes ataupun 46.4 peratus daripada keseluruhan 5,977 kes bankrap iaitu hampir 50 peratus.
Justeru, kita tidak mahu skim BNPL ini menjadi bom jangka panjang yang memberikan ancaman terbesar kepada kehidupan rakyat negara ini khususnya golongan belia.
Ini tidak mustahil untuk berlaku kerana hakikatnya pada ketika ini anggota masyarakat berhadapan dengan pelbagai cabaran ketidaktentuan ekonomi untuk meneruskan kelangsungan hidup. Faktor seperti peningkatan kos sara hidup, lonjakan harga barangan keperluan, serta kadar gaji yang secara relatifnya masih tidak mampu menampung keperluan kos sara hidup dengan mudahnya boleh mendorong kita gelap mata dan berhutang.
Ini ditambah pula dengan situasi golongan muda yang masih bergelut untuk memperoleh peluang pekerjaan yang setimpal dengan kelayakan yang juga dengan mudahnya akan mengheret mereka ke kadar keterhutangan yang serius jika gagal menguruskan skim BNPL ini dengan bijak.
Justeru, anggota masyarakat perlu berhati-hati dan sentiasa berwaspada apabila berhasrat untuk menggunakan skim BNPL ini. Sebagai pengguna, kita ada hak dan bertindaklah dengan penuh hikmah dan bijak supaya tidak menyesal kemudian hari.
Jadilah pengguna yang bijak dengan mengutamakan pembelian barangan atau perkhidmatan yang perlu dan bukannya bertindak membeli ikut kemahuan atau trend. Dalam hal ini, kita menasihatkan golongan belia agar perlu ada daya tahan yang tinggi dan tidak perlu rasa malu atau terikut-ikut dengan budaya FOMO.
Setiap perbelanjaan yang hendak dilakukan juga perlulah bersandarkan kepada konsep mengukur baju di badan sendiri yakni berbelanja dan berhutang mengikut kemampuan diri masing-masing. Pendekatan yang wajar digunakan ialah perbelanjaan mesti berpaksikan kepada kedudukan aliran tunai serta kemampuan untuk membayar balik hutang tersebut.
Congaklah betul-betul keperluan tunai dan perbelanjaan bulanan yang diperlukan dengan menetapkan had maksimum hutang yang wajar dan boleh dibayar supaya ekonomi diri dan keluarga sentiasa stabil. Kita tidak mahu pada akhirnya terpaksa mengambil hutang baharu untuk tutup hutang lama umpama gali lubang tutup lubang.
Dalam pada itu, bagi mendidik diri supaya dapat mengawal disiplin belanja serta memperkasa kemampanan kewangan untuk jangka masa panjang adalah disyorkan agar setiap individu berusaha untuk meningkatkan tahap pengetahuan tentang literasi kewangan masing-masing.
Literasi kewangan yang dimaksudkan mencakupi kefahaman dan kemahiran tentang beberapa elemen asas seperti kemahiran dalam memahami pengurusan kewangan peribadi, perancangan belanjawan diri dan keluarga serta teknik untuk menguruskan hutang.
Apapun harapan dan syor utama ialah seboleh-bolehnya gunakan kemudahan skim BNPL hanya apabila betul-betul terdesak dan diperlukan sahaja. Jangan cepat tergoda dengan pelbagai tawaran menarik bayaran balik secara fleksibel yang ditawarkan.
Dalam konteks ini, kita menyambut baik langkah proaktif pihak kerajaan yang telah membentangkan Rang Undang-Undang Kredit Pengguna (RUUKP) 2025 untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat baru-baru ini. Ia dibentang sebagai usaha kerajaan memperkenalkan undang-undang komprehensif bagi melindungi pengguna kredit dan menstruktur semula landskap industri kredit negara.
Sebuah badan berkanun yang dikenali sebagai Suruhanjaya Kredit Pengguna atau SKP akan ditubuhkan di bawah RUUKP bagi menangani permasalahan ini dalam usaha melindungi kepentingan pengguna kredit. Secara prinsipnya, suruhanjaya ini akan mengawal selia sektor perniagaan yang kini tidak dikawal selia oleh mana-mana pihak, melalui rangka kerja pelesenan dan pendaftaran yang akan dilaksanakan di bawah RUUKP.
Tuntasnya, di samping pelbagai inisiatif pihak kerajaan, kita sebagai pengguna perlu pikul tanggungjawab dan lebih cakna dengan skim BNPL ini kerana jika tidak diuruskan dengan bijak akan meletakkan diri dalam kancah keterhutangan yang serius. – UTUSAN
NOOR Mohamad Shakil Hameed ialah Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat) di Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), Universiti Putra Malaysia (UPM).











