“BERKORBAN apa sahaja, harta ataupun nyawa, itulah kasih mesra, sejati dan mulia.”
Bait-bait puitis daripada lagu ciptaan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee bersama Allahyarham Datuk Jamil Sulong itu menggambarkan nilai pengorbanan yang amat luhur sehingga seseorang sanggup melepaskan sesuatu yang bernilai demi memperoleh makna kehidupan yang lebih besar dan berkekalan.
Lirik tersebut menjelaskan, pengorbanan bukan sekadar satu tindakan tetapi lambang keikhlasan, kasih sayang dan kekuatan jiwa yang lahir daripada prinsip hidup yang teguh.
Dalam konteks semasa, nilai-nilai tersebut sangat relevan untuk dijadikan pedoman ketika organisasi dan warganya berdepan pelbagai cabaran serta perubahan yang semakin kompleks.
Persoalannya, masih wujudkah individu yang sanggup berkorban demi organisasi ketika institusi itu sendiri sedang melalui pelbagai ujian dan tekanan?
Ada yang beranggapan pengorbanan terhadap organisasi yang sedang dilanda kesukaran tidak menjanjikan apa-apa. Bagi mereka, kelangsungan diri sendiri perlu diutamakan kerana organisasi belum tentu mampu menawarkan ganjaran setimpal atas kesetiaan dan pengorbanan pekerjanya.
Pandangan ini sememangnya mempunyai asas tertentu, namun jika dilihat secara lebih luas, pemikiran sedemikian boleh menghakis nilai kebersamaan serta semangat perjuangan kolektif dalam sesebuah organisasi.
Ketika organisasi berdepan cabaran, inilah masanya setiap warga berganding bahu, sanggup berkorban tenaga, idea dan usaha demi membantu organisasi bangkit semula.
Dalam keadaan inilah semangat ‘patah sayap bertongkat paruh, patah paruh bertongkat siku, patah siku bertongkat dagu, patah dagu bertongkat kuku’ perlu disemai dalam diri setiap warga organisasi agar mereka terus cekal mendepani cabaran dengan penuh ketabahan dan keikhlasan.
Perubahan persekitaran masa kini, sama ada berpunca daripada faktor ekonomi, sosial dan politik, telah mengubah landskap kehidupan dan dunia pekerjaan secara menyeluruh.
Perubahan ini bukan sahaja melibatkan teknologi dan proses kerja, malah turut menyentuh aspek budaya organisasi, nilai, sikap, struktur pentadbiran serta harapan terhadap pekerja dan institusi.
Akibatnya, pelbagai cabaran kompleks muncul melibatkan keselamatan pekerjaan, kesihatan fizikal dan mental, kecukupan kemahiran, peluang kerjaya serta tahap produktiviti warga kerja.
Dalam keadaan sebegini, pengorbanan bukan lagi satu pilihan, sebaliknya menjadi keperluan penting demi memastikan kelangsungan dan kekuatan organisasi.
Pengorbanan juga melahirkan ikatan psikologi yang mendalam antara pekerja dengan organisasi sehingga mampu menyemai komitmen, kesetiaan dan rasa kebersamaan.
Dalam konteks ini, pengorbanan tidak seharusnya ditafsirkan hanya melalui tindakan besar seperti bekerja tanpa henti atau menyumbang tenaga secara berlebihan.
Sebaliknya, pengorbanan turut hadir melalui kesanggupan menerima perubahan, menyesuaikan diri dengan norma kerja baharu dan mengetepikan ego demi kepentingan bersama.
Namun begitu, organisasi juga tidak boleh mengambil kesempatan terhadap kesetiaan dan pengorbanan pekerja. Sebaliknya, organisasi perlu melaksanakan strategi yang mampu menyuburkan rasa dihargai dalam kalangan warga kerja.
Komunikasi dua hala yang telus, penghargaan terbuka, peluang kenaikan pangkat berasaskan merit serta pelaburan dalam latihan dan pembangunan kerjaya mampu meningkatkan semangat kebersamaan dalam organisasi.
Pada masa sama, pekerja juga perlu bersikap realistik dan tidak terlalu mengharapkan balasan segera atas setiap pengorbanan yang dilakukan.
Sekiranya organisasi mampu menyediakan persekitaran kerja yang sihat, tekanan kerja yang terkawal, ruang kebebasan melaksanakan tugas serta peluang menikmati masa berkualiti bersama keluarga, itu sudah cukup untuk membentuk kesejahteraan hidup yang sebenar.
Pengorbanan yang lahir daripada keikhlasan dan kesedaran kolektif merupakan tunjang utama kekuatan sesebuah organisasi. Nilai ini mampu menghalang lahirnya budaya negatif seperti iri hati, dendam dan khianat yang boleh merosakkan hubungan sesama warga kerja.
Dalam organisasi yang subur dengan nilai pengorbanan dan kasih sayang, setiap individu tidak lagi bersaing secara tidak sihat, sebaliknya saling menyokong demi kejayaan bersama. Inilah makna sebenar pengorbanan yang bukan sahaja indah dalam bait lagu tetapi turut menjadi kekuatan untuk mengangkat organisasi melangkah lebih jauh dengan jiwa yang besar, hati yang ikhlas dan semangat yang utuh. – UTUSAN
DR. ZAFIR KHAN MOHAMED MAKHBUL
Pengurusan Sumber Manusia dan Pengurusan Organisasi
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)










