WATAN ialah istilah keramat yang semakin menjadi nadi perjuangan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Ia bukan sekadar slogan tetapi hala tuju yang membentuk identiti universiti dalam melahirkan graduan berkompetensi tinggi, berjiwa kebangsaan serta berorientasikan kesejahteraan masyarakat.
Segala aspek di UKM sama ada pendidikan, penyelidikan mahupun aktiviti warga berpaksikan nilai watan.
UKM ditubuhkan hasil aspirasi rakyat untuk memartabatkan bahasa Melayu dan memperkukuh jati diri kebangsaan.
Justeru, universiti ini memikul ‘hutang jasa’ kepada masyarakat yang perlu terus dilunaskan melalui kecemerlangan ilmu dan sumbangan berterusan. Selagi UKM berdiri di bumi Bangi, selagi itulah amanah ini harus digalas dengan penuh tanggungjawab.
Konsep watan turut memperkukuh peranan setiap fakulti, termasuk Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), dalam menghasilkan penyelidikan berimpak, pendidikan berkualiti serta inovasi yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat.
FKAB bukan sahaja mengejar petunjuk prestasi utama (KPI) tetapi berusaha memastikan setiap pencapaian memberi nilai kepada kesejahteraan negara.
Antara fokus utama ialah penyediaan prasarana pembelajaran yang kondusif seperti makmal, studio dan ruang inovasi termasuk kerjasama industri melalui Makmal Pengajaran Industri.
Pada masa sama, kebajikan warga universiti, kemampanan kewangan, serta budaya kerja berpasukan turut diberi keutamaan bagi memastikan kelestarian institusi.
UKM juga menzahirkan jiwa masyarakat melalui pelbagai program seperti misi bantuan banjir, program STEM (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik) ke desa dan inisiatif komuniti.
Ilmu tidak hanya berkembang di bilik kuliah tetapi turut disalurkan kepada masyarakat luar bandar bagi melahirkan generasi berilmu dan berdaya saing.
UKM juga memperkukuh jaringan antarabangsa melalui kampus dan kerjasama global di Jerman, China dan Asia Barat.
Mahasiswa UKM pula dipupuk sebagai Pewaris Watan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Dalam tempoh pengajian, mereka digalakkan aktif dalam akademik, kepimpinan dan khidmat masyarakat sebagai persediaan menjadi pemimpin masa hadapan.
UKM berhasrat menjadi universiti bertaraf dunia yang bukan sahaja cemerlang dalam ranking global, tetapi terus menang di mata dunia dan di hati masyarakat. Watan menjadi jiwa yang menyatukan seluruh warga UKM dalam satu perjuangan berteraskan ilmu, amanah dan kesejahteraan negara. – UTUSAN
PROFESOR RAFIZI RAHMAD
Universiti Kebangsaan Malaysia










