Akta ganti AUKU tak boleh wujudkan sekatan baharu terhadap mahasiswa, ahli akademik - Zahid Hamidi - Utusan Malaysia

Akta ganti AUKU tak boleh wujudkan sekatan baharu terhadap mahasiswa, ahli akademik – Zahid Hamidi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

KUALA LUMPUR: Akta yang bakal menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 kelak tidak boleh mewujudkan bentuk sekatan baharu terhadap mahasiswa serta ahli akademik.

 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata perbahasan berhubung AUKU kini tidak lagi perlu memfokus persoalan sama ada akta itu harus dikekal atau dimansuhkan, kerana kerajaan sudah membuat keputusan untuk memansuhkannya.

 

Sebaliknya, beliau berkata, perhatian perlu diberi kepada kerangka perundangan dan tadbir urus baharu yang mampu memberi autonomi lebih besar kepada universiti, selain memastikan kebertanggungjawaban dapat diukur.

 

“Jangan sekat mahasiswa melalui cara lain. Jangan juga sekat ahli akademik melalui cara lain.

 

“Sebab itu pada konvensyen ini, kita meletak kepercayaan kepada Menteri Pendidikan Tinggi (Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir) untuk menterjemahkan tanggungjawab dan harapan bersama ini kepada tindakan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan dan Penyerahan Resolusi Konvensyen Pendidikan Melayu 2026, di sini, hari ini.

 

Presiden UMNO itu berkata, autonomi universiti perlu disertai ukuran prestasi yang jelas, termasuk aspek kualiti pembelajaran, mobiliti graduan dan impak penyelidikan.

 

Berdasarkan pengalamannya sebagai aktivis mahasiswa, Ahmad Zahid berpandangan, golongan itu perlu diberi ruang untuk lebih aktif dalam proses membuat keputusan dan menyumbang idea baharu.

 

“Tidak perlu dan tidak semestinya berada di jalanan atau di sudut pidato setiap minggu, atau mengadakan perarakan dengan memakai baju berlainan warna setiap minggu.

 

“Bagaimanapun, saya yakin pemimpin mahasiswa serta mahasiswa secara keseluruhannya akan membentuk pemikiran lebih maju tanpa AUKU yang menyekat pemikiran dan minda mereka,” katanya.

 

Sementara itu, Zambry dalam ucapan pada konvensyen berkenaan pula berkata, peralihan daripada AUKU kepada kerangka baharu perlu dilaksanakan secara sistematik bagi memperluas autonomi universiti, kebebasan akademik dan ruang mahasiswa untuk bersuara serta berorganisasi, tanpa menjejaskan tadbir urus dan operasi universiti.

 

Beliau berkata, undang-undang gantian itu perlu memberi tumpuan kepada pembangunan intelek dan sahsiah mahasiswa, dengan kebebasan disertai tanggungjawab, tatakelakuan baik serta kebertanggungjawaban.

 

 

 

© New Straits Times Press (M) Bhd

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×