Jangan jadi umat Islam yang tiada integriti

Jangan jadi umat Islam yang tiada integriti

PERBUATAN seperti menyebar fitnah, rasuah, kutip derma untuk keuntungan sendiri merupakan perbuatan yang sia-sia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FITNAH merupakan perbuatan yang sangat keji dan dilarang dalam Islam. Namun begitu, hukum dan larangan tersebut dikesampingkan begitu sahaja oleh sesetengah individu kerana tuntutan nafsu.

Perbuatan saling menuduh seseorang melakukan fitnah semacam permainan bagi sesetengah individu.

Dari perspektif Islam, menuduh seseorang melakukan fitnah juga merupakan dosa yang besar. Mungkin ada yang tidak mengetahuinya. Malang sekali, banyak yang mengetahuinya tetapi tetap melakukannya.

​Rasuah pula begitu berleluasa, terutama dalam kalangan penjawat awam tanpa mengira pangkat dan kedudukan. Lazimnya, rasuah wang yang melibatkan individu berpangkat tinggi lebih besar jumlahnya.

Perasuah juga semacam lupa amalan tersebut juga merupakan kesalahan dari segi undang-undang dan dosa di sisi Islam. Jika gagal ditangani, kesannya buruknya bukan sahaja kepada perasuah tetapi juga kepada masyarakat dan negara.

​Segelintir ahli agama aktif berdakwah dan mengajar hukum-hakam di sana sini. Malang sekali ada yang tewas oleh nafsu sendiri. Tanpa diduga, golongan ini menjadikan murid atau orang yang ditolongnya sebagai tempat memuaskan nafsu.

Tidak malukah mereka apabila mereka dibawa ke mahkamah dengan tangan bergari? Semuanya boleh berlaku apabila iman dan nilai kemanusiaan lenyap ketika kejadian.

Sesetengahnya mengutip derma kononnya untuk mendirikan pondok, surau dan membiayai makan minum serta menjaga kebajikan anak-anak yatim. Dengan memperlihatkan hasrat yang begitu murni, orang ramai turut menderma mengikut kemampuan.

Aneh sekali apabila ada antara mereka yang menggunakan wang tersebut untuk bermewah-mewah sehingga ada antara mereka yang terkesan.

Ada juga yang didakwa kerana menggunakan wang kutipan zakat orang ramai. Di manakah maruah dan iman mereka sehingga sanggup dipandang hina oleh masyarakat bukan Islam?

Demikianlah antara beberapa gejala yang menghantui masyarakat negara ini sehingga kini. Semuanya berlaku apabila manusia hilang pertimbangan kerana melihat habuan dan peluang yang terhidang.

Ketika itu, soal kesalahan dan hukuman diketepikan dengan mengharapkan nasib menyebelahi mereka.

Di dunia, mereka dipandang hina, manakala di akhirat mereka tidak terlepas daripada menerima hukuman daripada Allah Yang Maha Esa. – UTUSAN

NAWI ISMAIL
Pesara guru

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN