KUALA LUMPUR: Sekali lagi, kira-kira 50 peserta dari pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini berhimpun bagi menyerahkan memorandum yang menuntut bekas Ahli Parlimen Pandan yang juga pemimpin Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli agar segera bersara dan berhenti fitnah.
Kali ini, himpunan yang diadakan di pejabat Rafizi di Dataran Pandan Prima, di sini, turut menuntut agar Rafizi bertaubat dan tidak menyokong isu khalwat yang membabitkan sahabat baiknya, Nik Nazmi Nik Ahmad yang juga bekas Ahli Parlimen Setiawangsa.
Antara pertubuhan NGO yang terlibat ialah Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas), Sekretariat Suara Wanita Nasional (SWN), Anak Muda Negara (Gen.Z), Bangkit Nasional (BANGKIT), Yayasan Masih Ada Yang Sayang (MAYS) dan Pertubuhan Demi Bangsa Negara (DEMI).
Jurucakap gabungan NGO yang juga aktivis politik dari PEKEMAS, Faizan Mohd Nor berkata, berbanding himpunan di ibu pejabat Bersama sebelum ini, himpunan tersebut bertujuan untuk memberi tekanan yang lebih serius kepada Rafizi yang tidak mahu bertaubat dari menfitnah.
“Kami dari NGO terpanggil untuk bangkit berdemonstrasi untuk mendesak Rafizi agar tidak mengulangi perkara tidak bermoral, berunsur fitnah, seperti mana yang dilakukan ke atas exco Angkatan Muda Keadilan (AMK), Amira Alias baru-baru ini.
“Kami juga mempersoalkan tindakan Rafizi yang didakwa semakin rancak menyerang pimpinan kerajaan dan ahli PKR, termasuk mereka yang sudah bersama-sama parti sejak zaman reformasi, susulan keputusan pemilihan parti baru-baru ini,” jelasnya.
Sebelum ini, Amira Alias menegaskan bahawa cukup-cukuplah Rafizi Ramli menipu dan fitnah orang ketika membidas Rafizi Ramli yang didakwa membuat tuduhan tidak berasas terhadap latar belakang politik bapanya.
Terbaru, bekas Ahli Parlimen PKR, N. Gobalakrishnan menyifatkan Rafizi Ramli sebagai ‘bangsat politik’ dan ‘sampah masyarakat’ susulan kritikan pemimpin itu terhadap tokoh reformasi, Alias Yusof.
Rafizi sepatutnya menghormati jasa dan pengorbanan pejuang reformasi yang berjuang sejak awal penubuhan gerakan itu, bukannya memperlekeh individu yang banyak menyumbang kepada perjuangan PKR kerana sumbangan veteran seperti Alias menjadi antara faktor yang membolehkan Rafizi mencapai kedudukan sebagai menteri sebelum ini, ujar N. Gobalakrishnan.
Mengulas lanjut, Faizan berkata, politik Malaysia akan terus menjadi cacamarba selagi ada politikus seperti Rafizi Ramli yang hanya gemar menimbulkan kekecohan dan kekalutan, tanpa ada asas atau bukti yang kukuh untuk menyokongnya.
“Dengan herdikan oleh veteran PKR dan amaran dari AMK itu, sudah tiba masanya untuk Rafizi berundur sepenuhnya dan menghentikan politik fitnah, adu-domba agar politik Malaysia boleh melalui proses kematangan yang lebih tinggi menuju PRU16 nanti,” jelasnya. – UTUSAN











