Generasi muda tonggak kelangsungan institusi diraja

Generasi muda tonggak kelangsungan institusi diraja

GENERASI muda memainkan peranan penting dalam mempertahankan institusi diraja sebagai simbol kedaulatan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INSTITUSI diraja merupakan lambang kedaulatan, perpaduan dan identiti negara yang perlu dipelihara oleh seluruh rakyat Malaysia.

Dalam sistem raja berperlembagaan, institusi diraja memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan politik, keharmonian masyarakat serta kelangsungan tradisi dan budaya negara.

Oleh itu, generasi muda sebagai pewaris kepimpinan masa hadapan mempunyai tanggungjawab besar dalam mempertahankan institusi diraja agar terus dihormati dan relevan sepanjang zaman.

Golongan muda perlu memahami sejarah, fungsi dan kepentingan institusi raja berperlembagaan dalam sistem pemerintahan negara.

Kefahaman ini penting supaya mereka tidak mudah terpengaruh dengan ideologi atau pandangan negatif yang boleh menjejaskan keharmonian negara.

Generasi muda juga perlu menunjukkan sikap hormat dan taat setia kepada raja dan negara.

Sikap ini boleh diterapkan melalui pengamalan nilai sopan santun, menghormati simbol negara dan menjaga keharmonian masyarakat berbilang kaum.

Institusi diraja menjadi simbol perpaduan rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa. Oleh itu, mereka perlu memainkan peranan sebagai ejen perpaduan demi memastikan keamanan negara terus terpelihara.

Dalam era digital masa kini, golongan muda turut bertanggungjawab menggunakan media sosial secara beretika. Penyebaran fitnah, penghinaan dan maklumat palsu berkaitan institusi diraja boleh memberi kesan buruk terhadap kestabilan negara.

Dengan sikap bertanggungjawab ketika menggunakan platform digital mampu membantu pertahankan imej dan maruah institusi diraja.

Di samping itu, penglibatan generasi muda dalam program-program kenegaraan, aktiviti patriotik dan forum sejarah juga penting bagi meningkatkan kesedaran tentang peranan institusi diraja.

Aktiviti seperti sambutan Hari Kebangsaan, seminar sejarah dan program perpaduan dapat memupuk semangat cintakan negara dalam kalangan anak muda. Kesedaran ini akan melahirkan generasi yang lebih menghargai keamanan dan kestabilan yang dinikmati hari ini.

Generasi muda memainkan peranan penting dalam mempertahankan institusi diraja sebagai simbol kedaulatan negara. Dengan memiliki ilmu pengetahuan, semangat patriotisme, sikap hormat serta penggunaan media sosial secara beretika membolehkan golongan muda mampu memastikan institusi diraja terus kekal dihormati dan menjadi tunjang perpaduan negara untuk generasi akan datang. –UTUSAN

 

NUR NABIHA HUDA ROSMAN
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Interpersonal Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN