Hadkan juga tempoh penggal wakil rakyat

Hadkan juga tempoh penggal wakil rakyat

SAMPAI bila rakyat kita hendak tengok muka-muka yang sama dan idea-idea yang sama setiap kali Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) mula bersidang?
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CADANGAN bagi mengehadkan jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal atau 10 tahun seperti yang sedang hangat diperkatakan pada ketika ini patut juga dilakukan kepada semua wakil rakyat dalam negara kita sama ada di peringkat persekutuan ataupun di peringkat negeri.

Seseorang individu itu boleh menjadi wakil rakyat selama mana yang mereka mahu, malah boleh menjadi wakil rakyat untuk selama-lamanya juga melainkan sekiranya mereka sakit tenat, menjadi bankrap atau muflis, disabitkan dengan kesalahan oleh mahkamah dan dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau didenda tidak kurang daripada RM2,000.

Ini adalah penting supaya peluang dan ruang yang mencukupi dapat diberikan kepada semua warganegara Malaysia yang layak untuk tampil bertanding dan seterusnya menjadi wakil rakyat dalam negara kita.

Pada masa yang sama juga, kita dapat elakkan mana-mana individu tertentu menjadi wakil rakyat untuk satu tempoh yang sangat lama hingga boleh terdedah dengan risiko salah guna kuasa, rasuah dan kesalahan-kesalahan yang lain.

Dengan mengehadkan tempoh jawatan yang dipegang oleh semua wakil rakyat ini juga, kita dapat memberi lebih banyak ruang dan peluang kepada muka-muka baharu yang memiliki idea-idea baharu dan lebih bernas daripada muka-muka lama untuk memberi khidmat kepada rakyat dan membangunkan negara kita.

Kuasa monopoli mana-mana individu dalam memegang jawatan wakil rakyat sama ada sebagai ahli Parlimen di Dewan Rakyat ataupun sebagai ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Dewan-Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu dikawal dan dihadkan demi kemajuan dan kemakmuran negara kita.

Setiap rakyat Malaysia patut diberi ruang dan peluang untuk jadi seorang wakil rakyat sama ada di peringkat persekutuan ataupun di peringkat negeri dan ini dapat dijayakan sekiranya kita mengehadkan tempoh masa berkhidmat setiap “Yang Berhormat (YB)” sama ada di peringkat persekutuan ataupun di peringkat negeri sekurang-kurangnya selama 10 tahun atau dua penggal seperti yang turut dicadangkan terhadap tempoh khidmat Perdana Menteri pada ketika ini.

Sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, ruang dan peluang yang luas harus diberikan kepada semua pihak untuk tampil menjadi wakil rakyat dan menyumbang bakti mereka kepada negara kita.

Sampai bila rakyat kita hendak tengok muka-muka yang sama dan idea-idea yang sama setiap kali Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) mula bersidang? Negara kita tidak boleh hanya bergantung pada individu-individu tertentu sahaja untuk menjadi wakil rakyat dan pemimpin dalam negara kita.

Ramai lagi rakyat Malaysia yang layak untuk masuk bertanding dalam proses pilihan raya serta menjadi wakil rakyat kita.

Ruang dan peluang yang mencukupi perlu diberikan kepada semua rakyat Malaysia untuk bekerja dan berkhidmat sebagai wakil rakyat.

Sudah sampai masanya, negara kita mengambil satu langkah yang lebih berani dan drastik terhadap perkara ini.

Semua pihak harus melihat cadangan ini dari sudut yang positif iaitu bagi mengukuhkan lagi prinsip dan amalan demokrasi dalam negara kita.

Pihak kerajaan dan semua pemimpin dalam negara kita boleh meneliti cadangan ini dengan lebih teliti bersama dengan pakar-pakar yang berkaitan sebelum mengambil sebarang keputusan yang muktamad. – UTUSAN

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN