Sistem pendidikan negara untuk siapa sebenarnya?

Sistem pendidikan negara untuk siapa sebenarnya?

KEADILAN merupakan hak anak muda untuk mendapatkan pendidikan percuma dan berkualiti.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP kali isu matrikulasi dibahaskan, ia sering terseret ke dalam naratif perkauman. Segelintir pihak melihatnya sebagai isu kuota kaum, meritokrasi atau persaingan antara etnik. Padahal, persoalan lebih penting ialah sejauh mana sistem ini benar-benar membantu anak-anak muda yang terpinggir.

Naratif perkauman akhirnya menutup ruang untuk membincangkan isu sebenar, iaitu soal ketidakadilan sosial. Pendidikan tidak sepatutnya dilihat sebagai perbalahan siapa dapat lebih atau kurang berdasarkan kaum, tetapi bagaimana seluruh rakyat tidak kira bangsa, agama atau kemampuan ekonomi boleh mendapatkan peluang yang setara.

Isu pendidikan tidak boleh dilihat hanya dari sudut laluan masuk ke universiti. Masalah sebenar ialah struktur pendidikan itu sendiri, jurang bandar-luar bandar, jurang kaya-miskin, jurang kaum A-kaum B dan yang paling ketara beban kos pengajian di universiti awam.

Selagi universiti kekal berbayar, selagi itu pendidikan akan lebih mudah diakses oleh golongan kaya berbanding miskin. Sistem kita akhirnya hanya mengekalkan ketidaksamaan sosial yang sedia ada.

Isu ini masih berlegar di tahap retorik biasa, matrikulasi inklusif, akses lebih luas dan peluang sedia ada sudah cukup baik. Soalan besar yang gagal disentuh ialah bagaimana untuk membina sistem pendidikan yang benar-benar bebas daripada diskriminasi dan terbuka untuk semua.

Ada yang beranggapan pendidikan percuma di universiti hanyalah idealisme anak muda, tidak realistik dalam keadaan ekonomi negara. Namun, pengalaman negara lain menunjukkan sebaliknya.

Jerman misalnya, melaksanakan pendidikan percuma di universiti awam sejak 2014. Chile pula, selepas desakan besar-besaran gerakan mahasiswa pada 2011, akhirnya memperkenalkan pendidikan tinggi percuma secara berperingkat bermula 2016.

Argentina, Cuba, Finland dan Norway juga menawarkan pendidikan universiti percuma kepada rakyat mereka. Negara-negara ini sedar pelaburan terbesar bukan pada projek mega atau pembinaan lebuh raya tetapi pada modal insan yang berpendidikan dan bebas daripada beban hutang.

Jika negara lain mampu, mengapa Malaysia tidak? Kita bukanlah negara termiskin di dunia. Malaysia sering berbangga dengan status negara berpendapatan pertengahan tinggi, malah sering mengisytiharkan projek ratusan bilion ringgit. Tetapi apabila ditanya soal pendidikan percuma, jawapan yang diberi ialah “tidak mampu”. Sebenarnya, ia bukan soal mampu atau tidak tetapi mahu atau tidak.

Jika melihat dalam konteks Malaysia, Sarawak merupakan satu-satunya wilayah yang sedang menuju ke arah idea besar pendidikan percuma, ini bermakna ia bukanlah sesuatu yang mustahil untuk negara kita.

Persoalan ini wajar kita tanya bersama, universiti di Malaysia sedang berkhidmat untuk siapa? Untuk kerajaan semasa? Untuk menjaga status quo? Atau untuk benar-benar membela suara rakyat, terutama anak muda miskin, luar bandar dan kelompok marjinal yang terpinggir?

Selagi universiti dan pembuat dasar lebih selesa berbicara tentang angka kemasukan tanpa menyentuh beban hutang, selagi itu pendidikan akan kekal sebagai hak istimewa bagi yang mampu, bukan hak asasi untuk semua.

Keadilan pendidikan tidak boleh lagi ditunda. Anak muda berhak mendapatkan pendidikan percuma dan berkualiti. Itu sahaja jalan sebenar untuk membina sistem pendidikan yang adil, inklusif dan benar-benar membebaskan rakyat daripada ketidaksamaan sosial. –UTUSAN

HAMDIN NORDIN
Jurucakap Federasi Pemuda Kebangsaan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN