Guru bukan sekadar mengajar tapi membimbing jiwa

Guru bukan sekadar mengajar tapi membimbing jiwa

GURU bukan sahaja penyampai ilmu, tetapi pembina jiwa dan akhlak generasi..
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PROFESION guru merupakan kerjaya yang mulia dan amat penting dalam pembinaan tamadun manusia. Namun, dalam dunia yang semakin mencabar, khususnya dengan kemajuan teknologi dan kecerdasan buatan (AI), peranan seorang guru kini tidak hanya tertumpu pada penyampaian ilmu semata-mata. Sebaliknya, mereka perlu menjadi murabbi iaitu pendidik yang membentuk akhlak dan jiwa pelajar berteraskan nilai tauhidik.

Murabbi bukan sekadar menyampaikan fakta akademik tetapi mendidik secara menyeluruh. Sebagai contoh, guru sains bukan hanya menerangkan proses penciptaan manusia secara saintifik tetapi turut mengaitkannya dengan kebesaran Allah seperti yang dijelaskan dalam al-Quran. Pendekatan ini mampu menyemai kesedaran spiritual dalam diri pelajar, menjadikan ilmu lebih bermakna dan membumi dalam kehidupan.

Lebih daripada itu, murabbi juga bertindak sebagai ejen epistemologi yang membantu pelajar memahami nilai di sebalik ilmu dan tindakan mereka. Dalam mendidik pelajar yang bermasalah, guru seharusnya tidak menghukum secara terbuka tetapi mendekati mereka dengan kasih sayang, memberikan kefahaman setiap tindakan memberi kesan kepada diri, keluarga dan masyarakat.

Pendekatan ini selari dengan pandangan Ibn Khaldun, yang menekankan guru perlu memahami jiwa dan latar belakang pelajar, bukan hanya menyampaikan ilmu.

Pendidikan yang holistik juga menuntut agar guru tidak terlalu fokus pada aspek kognitif sahaja. Falsafah Pendidikan Kebangsaan menggariskan pembangunan insan perlu merangkumi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Oleh itu, murabbi perlu mendidik pelajar bukan sahaja untuk memperoleh keputusan cemerlang tetapi juga untuk menjadi individu berakhlak dan mampu menyumbang kepada masyarakat secara berkesan.

Profesor Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar menekankan konsep Epistemologi Tauhidik, iaitu pendekatan ilmu dalam Islam yang berteraskan pengenalan terhadap Allah. Dalam konteks pendidikan, ilmu bukan sesuatu yang bebas nilai tetapi mesti dipandu oleh prinsip tauhid. Guru sebagai murabbi bertanggungjawab mengaitkan semua ilmu kepada Pencipta dan mendidik pelajar agar nilai dan akhlak mereka berlandaskan kepada keimanan.

Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulumuddin menyatakan bahawa guru ialah insan yang menyempurnakan manusia dan kedudukannya hampir dengan para nabi. Ini menggambarkan betapa besarnya amanah seorang guru.

Guru harus menjadi qudwah hasanah (teladan yang baik) kerana murid belajar bukan hanya daripada kata-kata tetapi juga melalui pemerhatian. Ini selari dengan teori pembelajaran sosial Albert Bandura.

Dalam dunia moden yang sarat dengan tekanan teknologi, pelajar kini menghadapi cabaran emosi dan akhlak seawal usia muda.

Menurut David Elkind dalam bukunya The Hurried Child, kanak-kanak hari ini dipaksa ‘dewasa sebelum waktunya’ akibat pengaruh teknologi. Mereka menerima lambakan maklumat sebelum sempat membina kematangan emosi. Oleh itu, guru dan ibu bapa harus bersama-sama berganding bahu untuk membimbing mereka dengan menanamkan nilai tauhid dan kesedaran spiritual sebagai benteng pertahanan.

Oleh itu, karakter murabbi perlu dibina sejak peringkat awal latihan perguruan. Guru bukan sahaja penyampai ilmu, tetapi pembina jiwa dan akhlak generasi.

Nilai Epistemologi Tauhidik harus menjadi asas pendidikan moden dengan memastikan ilmu disampaikan bukan dalam kekosongan tetapi dengan kesedaran tentang makna hidup, tanggungjawab kepada masyarakat dan hubungan dengan Tuhan.

Dengan pendekatan ini, bakal pendidik akan mampu melahirkan generasi bertauhid yang bersedia mendepani cabaran dunia tanpa kehilangan jati diri. – UTUSAN

MUHAMMAD HAFIZ
BUKHARI MOHD. KHADARI
Pelajar Kulliyyah Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×