Ambil iktibar daripada kegagalan masuk universiti pilihan

Ambil iktibar daripada kegagalan masuk universiti pilihan

KECEMERLANGAN akademik tidak seharusnya dinilai hanya melalui gred atau angka, sebaliknya turut melibatkan kesesuaian minat, bakat serta keperluan pasaran kerja.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM beberapa hari kebelakangan ini, tular kisah seorang pelajar yang memperoleh keputusan akademik tertinggi di peringkat pra-universiti, namun menghadapi cabaran apabila tidak mendapat tempat dalam jurusan yang diinginkan di universiti pilihan.

Kisah ini cukup memberi pengajaran kepada kita semua tentang beberapa perkara penting dalam dunia pendidikan. Pertama, pemilihan jurusan harus sejajar dengan kelayakan dan kompetensi. Kecemerlangan akademik tidak seharusnya dinilai hanya melalui gred atau angka, sebaliknya turut melibatkan kesesuaian minat, bakat serta keperluan pasaran kerja. Justeru, pelajar digalakkan menilai kekuatan diri sebelum membuat pilihan agar perjalanan akademik lebih terarah dan realistik.

Kedua, konsep rezeki dan peluang wajar difahami dengan lebih luas. Tidak semua individu akan mendapat apa yang diingini pada percubaan pertama. Namun, peluang yang hadir mungkin lebih sesuai untuk membentuk masa hadapan yang lebih baik.

Ketiga, bersyukur dengan laluan yang diberikan. Dalam konteks pendidikan tinggi, tempat di universiti adalah sebuah keistimewaan yang tidak dimiliki oleh semua. Walaupun seseorang itu mungkin merasa kecewa, namun realitinya ribuan pelajar lain masih menanti peluang yang sama. Kesedaran ini seharusnya menumbuhkan rasa syukur, sekali gus memotivasikan pelajar untuk memanfaatkan apa jua jurusan yang diberikan.

Selain itu, masyarakat juga harus memainkan peranan dalam memberikan sokongan emosi dan panduan kepada pelajar. Tekanan sosial yang berlebihan untuk memasuki bidang popular atau dianggap berprestij sering kali mengaburi penilaian sebenar tentang kesesuaian diri.

Peranan ibu bapa, guru serta kaunselor amat penting dalam mendidik pelajar yang setiap jurusan mempunyai nilai dan kelebihan tersendiri. Tuntasnya, pendidikan bukan hanya tentang memenuhi kehendak semata-mata tetapi juga membentuk ketahanan diri, kesedaran terhadap realiti serta keupayaan menyesuaikan diri dengan cabaran.

Dengan itu, pelajar akan lebih matang dalam memilih, bersyukur dalam menerima dan tekun dalam berusaha.-UTUSAN

AZIQAH YAZID
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×