Ahli majlis dapat elak salah guna kuasa dalam DBKL

Ahli majlis dapat elak salah guna kuasa dalam DBKL

CADANGAN utama bagi menyelesaikan kemelut salah guna kuasa adalah dengan meminda Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 bagi membolehkan pelantikan ahli majlis di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DAKWAAN isu rasuah dalam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mencerminkan kelemahan sistem semak dan imbang dalam pentadbirannya. Tanpa pengawasan dalaman yang efektif, pegawai atasan berpotensi menyalahgunakan kuasa, terutama dalam hal kelulusan tender dan projek.

Ketelusan yang lemah serta kuasa yang terlalu berpusat menjadikan keputusan dibuat tanpa pemantauan, membuka ruang kepada rasuah.

Ketiadaan ahli majlis dalam struktur DBKL menjadi punca utama kepada masalah ini. Berbeza dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) lain, ahli majlis berperanan besar dalam menyemak keputusan, mewakili suara rakyat dan memastikan ketelusan dalam pentadbiran.

Mereka turut terlibat dalam menggubal dasar, menyemak bajet dan memantau perkhidmatan perbandaran. Tanpa mereka, kuasa tertumpu sepenuhnya kepada Datuk Bandar dan pengarah eksekutif, dengan pengawasan lembaga penasihat yang terhad.

Cadangan utama bagi menyelesaikan kemelut ini adalah dengan meminda Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 bagi membolehkan pelantikan ahli majlis di DBKL. Langkah ini dapat memperkukuh sistem semak dan imbang, meningkatkan ketelusan serta kebertanggungjawaban dalam semua aspek pentadbiran.

Dengan adanya ahli majlis, keputusan besar perlu dibincang dan diluluskan bersama sekali gus mengurangkan ruang salah guna kuasa.

Ahli majlis juga mampu mempertingkat kualiti perkhidmatan DBKL melalui penyampaian aduan rakyat secara terus. Mereka boleh menjadi jambatan antara komuniti dan pentadbiran, memastikan dasar yang dilaksanakan benar-benar relevan. Kehadiran mereka turut menambah kepercayaan rakyat terhadap DBKL.

Akhirnya, pelantikan ahli majlis bukan sekadar perubahan struktur tetapi langkah besar ke arah tadbir urus yang lebih telus, cekap dan bebas rasuah. Ia penting untuk memulihkan integriti dan keyakinan awam terhadap DBKL.-UTUSAN

HAYATUL KAMIL TERMUDI
Bekas Ahli Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya
Kuala Lumpur (DBKL)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN