Nama Zara Qairina Mahathir kini terpahat dalam ingatan rakyat Malaysia sebagai simbol kebimbangan terhadap keselamatan dan kesejahteraan pelajar. Walaupun punca sebenar kematiannya masih dalam siasatan, insiden tragis ini membuka mata masyarakat terhadap potensi bahaya tekanan emosi dan isu buli yang mungkin tersembunyi dalam persekitaran pendidikan.
Sehingga Oktober 2024, Kementerian Pendidikan (KPM) merekodkan 6,208 kes buli pelajar sekolah di seluruh negara menerusi Sistem Sahsiah Diri Murid (SDM).
Kita sering terlepas pandang pembuli tidak semestinya tampil dengan sifat kasar atau ganas secara terang-terangan. Ramai daripada mereka kelihatan biasa seperti seorang pelajar cemerlang, rakan yang peramah atau individu disegani dalam kalangan rakan sebaya. Namun di sebalik senyuman itu, wujud kecenderungan untuk mendominasi, mengawal dan menjatuhkan orang lain secara halus.
Justeru, mengenali ciri-ciri personaliti pembuli menjadi langkah penting dalam mencegah berlakunya penderaan emosi yang berpanjangan.
Hasil kajian antarabangsa pada 2022 mendapati pembuli boleh dikategorikan kepada tiga jenis utama iaitu verbal, siber dan fizikal atau terang-terangan.
Pembuli verbal lazimnya menjatuhkan mangsa melalui ejekan, penghinaan atau memulaukan secara halus. Manakala, pembuli siber pula mengambil kesempatan melalui platform digital seperti media sosial dan aplikasi mesej dengan menyebar kandungan menghina atau ugutan secara tanpa nama. Sementara itu, pembuli fizikal lebih cenderung bertindak kasar secara langsung seperti menolak, memukul atau mengugut secara terbuka. Kajian itu juga menunjukkan setiap jenis pembuli ini mempunyai kaitan tersendiri dengan masalah kesihatan mental.
Ada juga dalam kalangan pembuli yang menunjukkan ciri-ciri narsistik, iaitu merasakan diri lebih hebat dan berhak memperlekehkan orang lain. Dalam sesetengah kes, pembuli sendiri datang daripada latar belakang bermasalah seperti pernah menjadi mangsa penderaan atau kurang perhatian di rumah. Personaliti sebegini boleh mendorong mereka untuk memindahkan tekanan atau kemarahan terhadap individu lain yang dianggap lemah.
Sebagai langkah pencegahan awal yang selari dengan keperluan memahami pembuli, anak-anak perlu didedahkan dengan pengetahuan untuk mengenali personaliti pembuli sejak di bangku sekolah lagi. Pendidikan tentang ciri-ciri dan tingkah laku pembuli perlu disampaikan secara konsisten melalui sesi bimbingan, modul kendiri dan kempen kesedaran agar mereka dapat mengenal pasti tanda-tanda awal sebelum menjadi mangsa.
Usaha menggalakkan pelajar untuk tampil melaporkan insiden buli perlu diperkasakan dengan mewujudkan persekitaran yang selamat dan bebas stigma. Pelajar harus diyakinkan yang laporan mereka akan dilayan secara serius, sulit dan tanpa risiko balas dendam. Guru, kaunselor dan pihak pentadbiran perlu dilatih untuk memberikan sokongan emosi serta perlindungan sewajarnya kepada mangsa.
Platform seperti peti aduan rahsia, aplikasi aduan digital atau sistem rakan sebaya boleh menjadi medium alternatif yang mesra pelajar. Lebih penting lagi, budaya sekolah mesti dibina atas asas empati, hormat dan keberanian untuk menegur ketidakadilan. Apabila pelajar percaya suara mereka didengari dan dilindungi, maka keberanian untuk melaporkan buli akan tumbuh, sekali gus memperkukuh benteng keselamatan sosial dalam kalangan generasi muda.-UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. HASLINA MUHAMAD
Jabatan Antropologi dan Sosiologi,
Fakulti Sastera dan Sains Sosial,
Universiti Malaya










