SETIAP manusia berhak diberi ruang dan peluang untuk protes. Namun ia perlu dilakukan dengan baik dan patuh peraturan yang ditetapkan. Dalam melakukan kegiatan protes, semua pihak harus berhati–hati supaya tidak termasuk ke dalam perangkap atau jerat yang boleh menjejaskan maksud atau tujuan asal protes itu dilakukan.
Protes harus dilakukan dengan ikhlas demi masyarakat dan negara. Ia tidak wajar dilakukan demi kepentingan politik mana–mana pihak. Protes tidak patut dibenarkan untuk menjadi kempen politik.
Protes dan kempen politik harus dipisahkan sepenuhnya supaya hak asasi manusia untuk protes ini tidak tercemar dengan kegiatan politik.
Kebebasan bersuara dan meluahkan pendapat tidak perlu dilihat sebagai ancaman ataupun musuh pada setiap masa. Walaupun orang ramai sering diseru menggunakan kebebasan bersuara dan meluahkan pendapat yang telah diberikan dengan baik dan penuh tanggungjawab, namun pihak pemerintah juga perlu memainkan peranan untuk memastikan hak asasi setiap rakyat untuk bersuara dan meluahkan pendapat terus dihormati serta dilindungi.
Agak sukar bagi individu, masyarakat dan negara untuk maju serta bergerak ke hadapan sekiranya hak mereka untuk bersuara dan meluahkan pendapat tidak dihormati.
Hak orang ramai untuk bersuara dan memberi pendapat mesti diberi keutamaan supaya setiap orang tidak merasakan diri mereka dipinggirkan atau disisihkan dalam kemajuan mahupun pembangunan negara. Semua pihak harus berani mendengar setiap rintihan dan luahan hati rakyat walaupun ia merupakan proses yang sukar serta berat untuk dilakukan. Setiap pandangan harus didengari dan difahami dengan baik.
Sekiranya terdapat sebarang perbezaan pendapat, proses perbincangan dan perdebatan perlu dilakukan supaya semua pihak yang terlibat dapat memahami dengan lebih baik apa yang ingin disampaikan serta menyelesaikan sebarang jenis isu ataupun masalah berbangkit.-UTUSAN
DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)










