Malaysia tidak seharusnya bertolak ansur dengan sikap sambil lewa dalam urusan pemilihan dan pemantauan pemandu bas.
Kerap kali rakyat dikejutkan dengan berita kemalangan ngeri melibatkan pengangkutan ini dan lebih menyedihkan apabila siasatan mendedahkan pemandu memiliki saman trafik tertunggak, tiada rekod pemeriksaan kesihatan yang sah atau dikesan positif dadah selepas kejadian.
Tindakan ‘menyesal kemudian’ harus dihentikan. Malaysia perlu mencontohi negara-negara maju yang menganggap pemandu pengangkutan awam sebagai penjaga keselamatan awam.
Malangnya, di Malaysia, pengambilan pemandu bas masih terlalu mudah. Asalkan seseorang memiliki lesen memandu kelas E, boleh diambil bekerja walaupun tidak menjalani ujian air kencing secara berkala atau mempunyai rekod saman lampau. Perkara ini amat membimbangkan kerana bas bukan sekadar kenderaan besar tetapi membawa puluhan nyawa, dan kadangkala pelajar sekolah yang masih kecil. Maka, saringan awal dan berkala terhadap pemandu mesti dianggap wajib, bukan sebagai prosedur tambahan yang hanya dilakukan selepas berlaku kemalangan.
Rekod saman lalu lintas pemandu dan kenderaan yang digunakan perlu diaudit sekurang-kurangnya setiap tiga bulan. Pemandu yang mengumpul saman tanpa penyelesaian atau menunjukkan corak pemanduan berisiko harus digantung tugas sementara sehingga kes diselesaikan. Ini bukan sekadar memastikan kepatuhan undang-undang tetapi juga amaran yang tugas memandu tidak boleh dipandang ringan.
Syarikat pengendali bas juga tidak boleh terlepas daripada tanggungjawab. Mereka wajib mempunyai unit dalaman yang memantau kesihatan, disiplin dan rekod prestasi pemandu secara berkala. Syarikat yang gagal mematuhi peraturan ini sepatutnya dikenakan tindakan tegas termasuk penggantungan lesen operasi.
Penumpang juga berhak untuk mengetahui maklumat pemandu. Sistem maklumat pemandu sepatutnya dipaparkan secara terbuka di dalam bas, lengkap dengan nama, gambar dan status kesihatan semasa. Ini akan meningkatkan ketelusan dan menjadi kawalan sosial terhadap kelakuan pemandu.
Kemalangan di Gerik yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 9 Jun lalu wajar menjadi titik perubahan dalam pengurusan keselamatan jalan raya, bukan sekadar tambahan statistik kematian. Kita tidak boleh lagi membenarkan mana-mana individu memegang stereng bas tanpa disaring secara menyeluruh dari segi fizikal, mental dan disiplin.
Peluang pekerjaan tidak sepatutnya menjadi alasan untuk mengabaikan keselamatan. Seorang pemandu yang gagal ujian air kencing atau memiliki sejarah pemanduan berisiko bukan sahaja membahayakan dirinya, malah seluruh penumpang di dalam bas.
Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu memainkan peranan lebih aktif dengan mewujudkan sistem pemantauan pintar. Ini bermakna setiap bas yang beroperasi mesti melalui imbasan elektronik bagi mengesahkan status pemandu, termasuk keputusan terkini ujian dadah dan jumlah saman aktif.
Data ini mesti disepadukan dalam sistem pangkalan data nasional dan dikemas kini secara masa nyata. Di samping itu, kamera pemantauan dan Sistem Pengesan Global (GPS) boleh digunakan untuk menjejak corak pemanduan serta kadar kelajuan bagi mengenal pasti sebarang tingkah laku berisiko awal sebelum tragedi berlaku.
Sebagai rakyat, kita tidak harus diam. Suara pengguna sangat penting untuk menekan syarikat dan kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap isu keselamatan. Laporan awam, maklum balas pengguna dan tekanan media sosial boleh menjadi alat pemantauan alternatif. Apabila rakyat bersuara, pihak berkuasa tidak boleh lagi beralasan. – UTUSAN
MD HELMI MISIAN
Batu Pahat,
Johor










