Bantu golongan muda yang mahu berkeluarga

Bantu golongan muda yang mahu berkeluarga

RAMAI anak muda ingin berkahwin dan membina keluarga tetapi terhalang oleh faktor seperti kos sara hidup, pekerjaan tidak stabil, kekurangan akses penjagaan anak dan kebimbangan terhadap masa hadapan. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARI Penduduk Sedunia dan sambutan 2025 mengetengahkan tema ‘Memperkasa golongan muda untuk membentuk keluarga yang mereka inginkan dalam dunia yang adil dan penuh harapan’.

Suara anak muda perlu didengar. Ramai anak muda masih ingin berkahwin dan membina keluarga tetapi terhalang oleh faktor seperti kos sara hidup, pekerjaan tidak stabil, kekurangan akses penjagaan anak dan kebimbangan terhadap masa hadapan. Maka, penyelesaian yang diperlukan ialah ekosistem yang menyokong, bukan sekadar seruan untuk berkeluarga dengan segera.

Isu kependudukan hari ini adalah krisis semasa yang menuntut tindakan dasar yang inklusif dan progresif. Kadar Kesuburan Jumlah (TFR) negara kini ialah 1.7 anak, jauh di bawah paras penggantian 2.1 anak. Malaysia juga mencatatkan penurunan kelahiran sebanyak lebih 11 peratus pada suku pertama 2025 berbanding tahun sebelumnya.

Strategi menyeluruh sedang dilaksanakan khusus untuk golongan muda seperti subsidi Program Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti (BuAI) kepada 1,300 pasangan suami isteri yang layak, penjagaan anak serta kemudahan cuti ibu bapa yang lebih fleksibel bagi meringankan beban dalam merancang dan memulakan kehidupan berkeluarga. Bersempena sambutan tahun ini, acara kemuncak sambutan Hari Penduduk Sedunia 2025 akan dianjurkan pada 21 Julai (Isnin) bertempat di Lanai Kijang, Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur.

Uniknya, sambutan Hari Penduduk Sedunia 2025 turut diperluas ke peringkat negeri sepanjang Julai dan Ogos melalui penganjuran seminar-seminar bertemakan kependudukan dan keluarga yang akan digerakkan di seluruh negara. Maklumat lanjut berkaitan sambutan Hari Penduduk Sedunia 2025 boleh diperoleh melalui laman web rasmi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di: www.lppkn.gov.my dan hab penyelidikan kependudukan dan keluarga https://mprh.lppkn.gov.my/.-UTUSAN

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
Kementerian Pembangunan Wanita,
Keluarga dan Masyarakat

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN