Menuntut ilmu bukan sekadar mencari jawapan

Menuntut ilmu bukan sekadar mencari jawapan

KITA tidak kekurangan guru yang berilmu tetapi kita kekurangan murid yang benar-benar bersedia untuk berguru dengan adab dan rendah hati.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam kesibukan mengejar pencapaian akademik, sijil dan kemahiran, ada satu perkara asas yang sering terlepas pandang dalam dunia pendidikan. Adakah kita sebagai murid, pelajar atau penuntut ilmu masih benar-benar menghayati adab terhadap guru? Dalam budaya kita, guru bukan sekadar penyampai ilmu. Mereka juga pembimbing jiwa, pembina watak dan penunjuk arah kehidupan. Menuntut ilmu memerlukan lebih daripada usaha menghafal dan mencari jawapan. Ia juga menuntut kerendahan hati untuk menerima tunjuk ajar dengan penuh hormat dan kesungguhan.

Namun, cabaran lebih besar muncul apabila seseorang memasuki alam universiti. Di sini, pelajar semakin bebas dan guru tidak lagi bertindak secara langsung seperti di sekolah. Ramai pelajar menganggap pensyarah hanya sebagai penyampai silibus atau pemeriksa tugasan. Namun hakikatnya, pensyarah dan penyelia akademik ialah pendidik yang membimbing pelajar bukan hanya dari sudut ilmu, malah dari sudut pemikiran dan nilai. Justeru, adab dalam bentuk lebih matang perlu diamalkan iaitu seperti hadir kuliah tepat pada masa, berkomunikasi dengan sopan melalui emel, tidak meniru dalam tugasan dan bersikap terbuka terhadap pandangan serta teguran.

Dalam dunia digital hari ini, teknologi sering menggantikan peranan guru secara tidak langsung. Ramai pelajar lebih cenderung bertanya kepada mesin carian daripada bertemu dengan pensyarah atau penyelia. Kemudahan ini, walaupun membantu, kadangkala mengurangkan nilai interaksi insan dalam proses pembelajaran. Apabila pelajar mula berasa cukup dengan jawapan pantas dari internet, mereka mungkin terlepas peluang memperhalusi kefahaman melalui perbincangan yang beradab dan mendalam bersama guru. Lebih membimbangkan, sikap ini boleh melahirkan generasi yang tidak sabar, kurang hormat dan lebih gemar ‘menuntut jawapan’ daripada bersedia mendengar tunjuk ajar.

Bagi pelajar siswazah dan pascasiswazah, hubungan dengan penyelia membawa dimensi yang lebih mendalam. Mereka tidak lagi menerima pengajaran dalam bentuk kuliah semata-mata tetapi bimbingan intelektual yang memerlukan kematangan emosi dan profesional. Adab berguru dalam konteks ini termasuklah keupayaan mengurus masa dengan berdisiplin, menyediakan draf kerja yang kemas sebelum pertemuan serta terbuka dalam menerima kritikan dan pandangan alternatif. Penyelia bukan sahaja menilai hasil penyelidikan tetapi turut membentuk keperibadian akademik dan integriti pelajar.

Tanpa adab yang tinggi, hubungan ilmiah boleh menjadi tegang dan menjejaskan kualiti pembelajaran.

Kesan pengabaian terhadap adab berguru amat besar. Ilmu yang diperoleh mungkin banyak tetapi tidak akan meresap ke dalam jiwa. Pelajar yang bijak tetapi angkuh mudah terjatuh dalam ujian kehidupan. Lebih parah, jika generasi muda mula memandang rendah terhadap guru dan pendidik, masyarakat akan kehilangan arah kerana nilai tidak lagi dijadikan asas pencarian ilmu.

Kita tidak kekurangan guru yang berilmu. Apa yang kurang ialah murid yang benar-benar bersedia untuk berguru dengan adab dan rendah hati. Dalam usaha membina bangsa yang berilmu, adab adalah akar yang menyuburkan pokok ilmu. Tanpa akar itu, ilmu hanya akan tumbuh sementara, rapuh dan mudah rebah. Guru tetap cahaya sepanjang zaman dan menghormati mereka bukan sekadar satu amalan tetapi tanda kematangan sebagai penuntut ilmu. – UTUSAN

SYED AZMAN SYED ISMAIL
Pelajar pascasiswazah Fakulti Pendidikan
Universiti Kebangsaan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN