MINGGU Sains Negara 2025 anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) kembali dengan pendekatan yang lebih mantap dan inklusif, membawa semangat baharu dalam menyemarakkan minat pelajar serta masyarakat umum terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Dengan tema “Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi dan Mengarusperdanakan Inovasi”, program ini bertujuan menjadikan ilmu sains dan teknologi lebih mudah diakses, difahami dan dihargai oleh semua lapisan masyarakat khususnya generasi muda.
Ia dianjurkan bagi melibatkan pelbagai pihak termasuk pelajar, pendidik, institusi pengajian tinggi, industri dan orang awam dalam memperkukuh pemahaman serta minat terhadap sains, teknologi dan inovasi (STI).
Ini seiring dengan keperluan negara untuk melahirkan lebih ramai tenaga profesional tempatan dalam bidang tersebut bagi mencapai sasaran negara berteknologi tinggi menjelang 2030.
Di bawah inisiatif Minggu Sains 2025, dua program penjelajahan sains utama dijangka memberi tumpuan iaitu Kembara Sains Borneo dan Rehlah Sains untuk memastikan manfaat pembudayaan STI dinikmati secara menyeluruh, merentas geografi termasuk kawasan pedalaman dan pinggir bandar.
Minggu Sains 2025 turut memperkenalkan inisiatif Tajaan Minggu Sains Negara (MSNTaja) yang membuka peluang kepada agensi kerajaan, pihak swasta dan NGO untuk turut serta menyokong pelaksanaan program pembudayaan STI di seluruh negara. Minggu Sains 2025 akan menjelajah ke enam zon utama di seluruh negara, bermula di Sarawak, diikuti Sabah, Terengganu, Johor, Kedah dan berakhir di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Setiap lokasi akan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti interaktif termasuk pameran pendidikan STEM, persembahan sains yang mengujakan, kuiz interaktif, bengkel pendidikan dan pameran kerjaya berasaskan teknologi masa depan.
Pelbagai program menarik berteraskan STI menanti melalui pertandingan kreatif, pameran maya, kuiz interaktif dan aktiviti pembelajaran digital yang menyeronokkan. Layari laman media sosial MOSTI dan Minggu Sains Negara untuk maklumat lanjut. – UTUSAN
KEMENTERIAN SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI










