KAJIAN oleh Panduan Gaji Hays Asia 2024 melibatkan 2,800 pekerja, merangkumi 2,014 pekerja profesional dan 832 pekerja biasa mendedahkan bahawa gaji bukan lagi alasan utama pekerja memilih untuk kekal dalam sebuah syarikat di Malaysia.
Sebaliknya, kajian itu mendapati keinginan untuk mencari cabaran baharu mengatasi gaji sebagai sebab utama.
Apa yang lebih menarik, pilihan kerja yang fleksibel telah dipilih sebagai sebab paling tinggi melebihi pertimbangan gaji.
Ini jelas menunjukkan bahawa aturan kerja secara fleksibel menjadi tarikan utama untuk para pekerja. Banyak kajian yang telah dilakukan di serata dunia juga mendapati para pekerja lebih menggemari aturan secara fleksibel ini. Adalah penting supaya majikan menghormati kehendak dan kemahuan pekerja mereka terhadap perkara ini.
Proses pembaharuan perlu dilakukan terhadap sistem aturan kerja dalam negara kita.
Bergantung kepada jenis pekerjaan, pelaksanaan sistem pekerjaan secara fleksibel membawa banyak manfaat bukan sahaja terhadap diri pekerja malah kepada produktiviti organisasi tempat mereka bekerja.
Pelaksanaan sistem pekerjaan secara fleksibel ini memudahkan urusan pihak pekerja untuk menjalankan kerja mereka tanpa perlu mengharungi kesesakan jalan raya serta risiko kemalangan jalan raya serta berada di dalam bangunan pejabat dari pagi hingga ke petang.
Pelaksanaan pekerjaan secara fleksibel ini juga dapat menjimatkan wang, masa serta tenaga para pekerja. Segala manfaat yang diperoleh ini dapat mengurangkan beban dan tekanan kepada pihak pekerja sekaligus menjadikan pekerja lebih produktif serta dapat memberi khidmat yang terbaik kepada pihak organisasi tempat kerja mereka. Ia juga dapat memberi lebih banyak keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi para pekerja itu sendiri. Pekerja yang gembira akan membawa manfaat untuk semua pihak. – UTUSAN
DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)










